Iran hantar surat peringatan kepada PBB ekoran serangan loji nuklear Iran

Buletin TV3 

Serangan loji nuklear Iran tingkatkan risiko pencemaran radioaktif rentas sempadan
Imej satelit loji nuklear Bushehr di Iran. – Foto fail AFP/ Maxar Technologies
TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi memberi amaran kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung, serangan berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap loji nuklear negara itu yang boleh mengakibatkan risiko pencemaran radioaktif rentas sempadan.

Dalam surat rasmi pada Selasa lalu kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, Araqchi menyatakan, beberapa fasiliti nuklear Iran termasuk Loji Janakuasa Nuklear Bushehr yang digunakan untuk tujuan aman dan berada di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menjadi sasaran serangan AS dan Israel.

Beliau berkata, serangan berkenaan berisiko mencetuskan pencemaran radioaktif yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia dan alam sekitar di rantau berkenaan.

Araqchi turut mendakwa dalam tempoh sembilan bulan lalu, Iran berdepan dua “perang pencerobohan”, sambil mengkritik kegagalan Majlis Keselamatan PBB dan IAEA untuk mengutuk tindakan berkenaan atau mengambil langkah pencegahan.

Dalam surat itu, beliau turut menyenaraikan beberapa siri serangan sejak 1 Mac lalu, antaranya kemudahan nuklear Natanz diserang sebanyak dua kali pada 1 Mac, serangan berhampiran loji Bushehr pada 17 Mac dan pengeboman beberapa lokasi di Natanz pada 21 Mac lalu.

Serangan berulang berhampiran loji aktif Bushehr disifatkan sebagai “amat membimbangkan” kerana boleh mencetuskan kebocoran radiasi.

Iran menegaskan tindakan tersebut melanggar beberapa resolusi antarabangsa termasuk resolusi PBB serta prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa.- AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan