Kelantan: Balai perlepasan LTSIB Kota Bharu jadi 'litar rempit'?

Malaysiakini 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke menyatakan rasa kecewa dengan kelakuan golongan ‘mat rempit’ yang menjadikan kawasan balai perlepasan di terminal baru Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Kota Bharu sebagai ‘litar lumba’.

Tegasnya, perkara itu bukan sahaja menyedihkan tetapi sangat memalukan.

Menurutnya, kerajaan persekutuan membelanjakan hampir RM450 juta untuk menaiktaraf LTSIP untuk memastikan konektiviti udara yang lebih baik untuk negeri Kelantan dan menjadi pemangkin kepada pembangunan sosio ekonomi rakyat serta menarik lebih ramai pelancong ke negeri tersebut.

“Kelakuan golongan mat rempit ini di depan balai perlepasan terminal baru tersebut bukan sahaja membahayakan nyawa orang ramai yang menggunakan lapangan terbang tersebut, malah boleh dikatakan sebagai tindakan sabotaj terhadap keselamatan dan ekonomi negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu media tempatan melaporkan aktiviti merempit itu dikatakan berlaku sejak bulan Ramadan lalu sehingga berlarutan pada Jumaat malam apabila ia mulai tular di media sosial selepas dirakam oleh pengguna lapangan terbang terbabit.

Kawasan berkenaan dijadikan tempat golongan tersebut melakukan aktiviti dengan menunggang motosikal secara berbahaya.

Loke berkata, dia juga telah mengarahkan pengarah penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menjalankan operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di kawasan tersebut.

“Sesiapa yang berani merempit di depan airport akan disita terus motosikal mereka.

“Saya juga telah meminta pihak pengurusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) untuk memperketatkan laluan masuk dan keluar ke bangunan terminal untuk membendung gejala ini,” katanya yang juga setiausaha agung DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan