MOHD SHARKAWI LONDING

TANGKAP layar video yang tular memaparkan dua budak perempuan lari selepas seorang lelaki dalam kereta menunjukkan kemaluannya dalam kejadian di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menunjukkan kemaluan kepada dua kanak-kanak perempuan di Bandar Baru Uda di sini semalam.
Video tular berdurasi 44 saat itu memaparkan dua kanak-kanak tersebut sedang berjalan sebelum berhenti dan bercakap dengan seseorang dari dalam sebuah kereta berwarna hitam.
Kedua-dua mereka kelihatan terkejut sebelum melarikan diri, manakala kenderaan tersebut pula beredar dari lokasi tidak lama selepas itu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, pihaknya mengesan video itu di Facebook dan menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada pukul 4.46 petang.
“Laporan dibuat seorang lelaki berusia 33 tahun yang juga bapa salah seorang kanak-kanak tersebut. Siasatan mendapati kejadian berlaku pukul 1 tengah hari semalam.
“Bapa kanak-kanak itu memaklumkan anaknya yang berusia 12 tahun dan anak saudara berusia 10 tahun dipanggil pemandu kereta Honda Accord. Lelaki itu bertanyakan tandas sebelum menunjukkan kemaluannya kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat, anggota Unit Siasatan Jenayah Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Johor Bahru Utara menahan suspek berusia 54 tahun di sebuah rumah di Masai di sini pada pukul 11 malam tadi.-KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan