Pegawai daerah ditembak mati

KOSMO
KEADAAN trak pikap yang dipenuhi dengan kesan peluru di daerah Chanae, wilayah Narathiwat. - Amarin TV
BANGKOK – Sekurang-kurangnya dua orang termasuk pegawai daerah maut selepas trak pikap dinaiki mereka ditembak sekumpulan penyerang bersenjata di wilayah Narathiwat, selatan Thailand, lapor portal berita Thaiger. 

Polis dimaklumkan sekitar pukul 1 pagi (waktu tempatan) mengenai insiden tembakan di Dusongyo, daerah Chanae semalam. 

Selepas tiba di tempat kejadian, polis menemui sebuah trak pikap jenama Toyota tersadai di tepi jalan dengan kesan peluru yang banyak. 

Kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Monchai, seorang pegawai daerah dan Haidah Bueraheng yang berusia 27 tahun. 

“Mereka mengalami luka tembakan dan dibawa ke Hospital Chanae untuk bedah siasat,” kata polis. 

Siasatan awal mendedahkan bahawa pasangan itu sedang dalam perjalanan pulang selepas menyelesaikan urusan peribadi mereka. 

Polis percaya kumpulan penyerang bersembunyi di tepi jalan sebelum melepaskan berpuluh-puluh das tembakan ke arah trak pikap lalu melarikan diri. 

Polis masih mengumpul bahan bukti dan menyoal siasat beberapa saksi. – AGENSI

Tiada ulasan:

Catat Ulasan