SPRM tahan bekas pengerusi kuil disyaki seleweng dana RM50,000

FMT Reporters

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengerusi sebuah kuil di Selangor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kuil berjumlah RM50,000.

Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 70an itu ditahan kira-kira 3 petang, Khamis lepas ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan tersebut pada November 2021 dan turut bersubahat dengan seorang lagi individu yang ditahan Mac lepas, dengan mengemukakan invois tuntutan bayaran perkhidmatan konsultansi berjumlah RM50,000 bagi tujuan kerja-kerja pembaikan kuil berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, tambahnya, kerja-kerja tersebut dipercayai tidak pernah dilaksanakan dan hanya helah untuk mengelirukan pihak pengurusan kuil.

Sumber itu berkata, siasatan kini tertumpu kepada kuil tersebut yang telah wujud sejak 1950an, yang mana sumber kewangan utamanya adalah melalui sumbangan serta derma daripada penganut Hindu yang beribadah di situ.

Beliau berkata, siasatan turut mendapati pendaftaran kuil tersebut telah dibatalkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) pada Oktober 2024.

Kuil tersebut juga didapati dibina di atas tanah kerajaan tanpa kebenaran yang sah.

“Keadaan kuil yang tidak berdaftar menyebabkan ketiadaan pemantauan oleh pihak berkuasa terhadap pengurusan kewangan dan perbelanjaannya, sekali gus membuka ruang kepada berlakunya penyelewengan dana sumbangan orang awam.

“Penyelewengan ini dipercayai telah memberi kesan kepada operasi serta kebajikan kuil, termasuk menjejaskan aktiviti keagamaan dan kepercayaan penganut terhadap pengurusan institusi tersebut,” kata sumber.

Pengarah SPRM Selangor Mohd Azwan Ramli yang mengesahkan tangkapan tersebut itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Menurutnya, kedua-dua suspek akan didakwa dalam masa terdekat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan