Agensi

TANGKAP layar daripada video menunjukkan dua suspek berkenaan beberapa kali melalui sebuah gerai jualan air limau sebelum melakukan rompakan, pada 10 Jun lalu. Foto Jabatan Polis Boston
Boston: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa atas dua pertuduhan rompakan bersenjata selepas mengacukan sepucuk pistol ketika merompak gerai jualan air limau kanak-kanak di Boston, 10 Jun lalu, , lapor New York Times.
Remaja itu turut berdepan dua pertuduhan memiliki senjata api secara haram selepas ditahan Jabatan Polis Boston di Boston Selatan, Jumaat minggu lalu.
Menurut media tempatan, pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti remaja terbabit kerana dia masih di bawah umur.
Difahamkan, jenayah itu mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh bandar kerana menyasarkan gerai jualan air limau di tepi jalan yang menjadi tradisi musim panas bagi ramai kanak-kanak.
Menurut penyiasat dan ahli keluarga mangsa, remaja itu bersama seorang rakan subahat sudah lama memerhatikan gerai yang dikendalikan dua beradik, Juliette Byrne, 11, dan David Byrne, 12, selepas waktu persekolahan.
Polis berkata, kedua-dua suspek menghampiri mangsa dan bertanya sama ada gerai itu menerima pembayaran menggunakan Apple Pay sebelum merampas sebuah kotak berkunci berwarna merah jambu yang mengandungi wang tunai.
Dalam pada itu, ibu saudara kepada dua kanak-kanak itu, Tiffany Byrne berkata, kira-kira AS$80 (kira-kira RM325) dicuri dalam kejadian berkenaan.
Penyiasat berkata, salah seorang suspek kemudian memperlihatkan sepucuk senjata api berwarna hitam yang diselitkan pada bahagian pinggangnya sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.
Rakaman kamera keselamatan rumah yang dikeluarkan penyiasat menunjukkan suspek memakai topeng ketika melarikan kotak berkunci berkenaan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan