5 lelaki warga China disyaki terlibat sindiket pecah rumah ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket pecah rumah membabitkan warga asing selepas menahan lima lelaki China dalam dua serbuan berasingan di Sri Petaling dan Pudu, Ahad lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata semua suspek berusia antara 38 hingga 58 tahun ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Cheras.

“Dalam kejadian tersebut, mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM6,000 melibatkan kehilangan wang tunai, barangan kemas dan sebuah beg silang berjenama mewah,” katanya dalam kenyataan.

Bertindak atas maklumat dan risikan, pada 9 Ogos lalu polis melaksanakan dua serbuan di Seri Petaling dan Pudu.

Polis turut merampas sebuah kenderaan berserta pelbagai peralatan digunakan bagi pecah rumah.

“Polis juga menjumpai semula barangan kes milik pengadu serta pelbagai barangan mewah lain termasuk jam tangan, dompet serta wang tunai pelbagai mata wang asing berjumlah lebih RM10,000,” katanya.

Fadil berkata, siasatan awal juga mendedahkan suspek tersebut turut terlibat dua kes pecah rumah berlainan dilaporkan kepada polis di kawasan sekitar Cheras.

Katanya, semua suspek direman mulai 10 Ogos hingga esok bagi membantu siasatan bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan