FMT Reporters
PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 27 tahun akan didakwa di Singapura esok berhubung video dimuat naik ke media sosial yang dikatakan menunjukkannya membuat kenyataan menghina masyarakat Islam.
Polis Singapura berkata menerima laporan pada 1 Mac lalu tetapi mendapati lelaki itu meninggalkan negara berkenaan sebelum laporan itu dibuat.
Dia diusir dari Malaysia hari ini dengan bantuan polis Malaysia sebelum ditahan sebaik tiba di Singapura, menurut laporan Straits Times.
Jika sabit kesalahan, dia menghadapi hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya.
Polis Singapura berkata lelaki itu turut membantu siasatan berasingan melibatkan video menunjukkan seseorang memijak al-Quran.
Menurut laporan Straits Times, lelaki itu dipercayai orang sama dalam video berkenaan yang dipercayai dirakam dalam bas awam di Singapura.
Pada 7 Mac lalu, polis mengeluarkan lima arahan kepada Meta, yang mengoperasikan platform media sosial utama, supaya melumpuhkan akses kepada bahan berkenaan untuk pengguna di Singapura.
Polis berkata mereka memandang serius sebarang perlakuan yang mengancam keharmonian kaum dan agama.
“Sesiapa yang membuat kenyataan atau bertindak dengan cara yang mampu membangkitkan permusuhan, kebencian, kemarahan atau perseteruan antara kaum atau agama di Singapura akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” menurut pihak polis.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan