Rahmat Khairulrijal
Kuala Lumpur: Penantian seorang ibu selama enam tahun untuk mendapatkan keadilan berakhir apabila Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan, mendapati beberapa pihak bertanggungjawab terhadap kematian anak lelakinya berusia 12 tahun yang terjatuh melalui lantai bas reput ketika mengikuti lawatan sekolah.
Hakim Mohd Rosli Yusoff dalam penghakimannya mendapati pemandu bas, pemilik bas, guru besar sekolah serta pihak berkuasa pendidikan cuai sehingga menyebabkan kematian Wan Mohammed Adam Mohd Suria.
Mahkamah memerintahkan bayaran ganti rugi RM17,573 kepada ibu mangsa, Nik Hasmani Mohamed, selepas beliau berjaya membuktikan tuntutannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Mahkamah turut memutuskan defendan secara kolektif bertanggungjawab sepenuhnya, iaitu 100 peratus, terhadap kematian mangsa.
Kejadian berlaku jam 11.40 pagi pada 4 Julai 2019 ketika Adam bersama 30 murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Bok, Machang, Kelantan, dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Besut, Terengganu.
Mereka dalam perjalanan untuk menyertai program English Booster Week UPSR 2019 di bawah Program Empower ECER Academic Training yang dianjurkan Institut Pendidikan Neo (iNED), Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Adam terjatuh melalui lantai bas yang reput sebelum tercampak ke jalan di Kilometer 12, Jalan Pasir Puteh-Machang-Grik dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dalam alasan penghakiman bertarikh 9 Ogos itu, Mohd Rosli berkata kemalangan berkenaan boleh dielakkan sekiranya pemandu bas, Shalahudin Ibrahim, menjalankan kawalan sewajarnya terhadap murid sepanjang perjalanan.
"Kemalangan dalam kes ini boleh dielakkan sekiranya beliau bertindak tegas dengan melarang kanak-kanak berkenaan daripada berjalan dan bergerak ke sana sini sepanjang perjalanan.
"Beliau juga boleh memberhentikan bas sekiranya ada kanak-kanak yang enggan mematuhi arahannya," katanya.
Hakim turut mendapati pemilik bas, Mohamad Che Su, melanggar tanggungjawab berjaga-jaga dengan membenarkan murid menaiki bas yang mempunyai lantai reput dan rosak.
"Mahkamah berpuas hati bahawa bahagian hadapan lantai bas tempat mangsa terjatuh sememangnya reput dan tidak kukuh.
"Sekiranya pemilik bas menggantikan keseluruhan lantai bas dengan lantai baharu dan kukuh, kejadian ini tidak akan berlaku walaupun kanak-kanak berjalan atau melompat di dalam bas," katanya.
Mahkamah turut mendapati guru besar ketika itu, Ahmad Sanusi Ramlee, cuai kerana gagal mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan keselamatan murid.
Mahkamah mendapati tiada guru pengiring disediakan, manakala pegawai pengiring yang dikatakan telah diatur oleh pihak penganjur juga tidak hadir.
"Guru besar bukan sahaja gagal menyediakan guru pengiring, malah gagal memastikan kehadiran pegawai pengiring yang dikatakan disediakan oleh pihak penganjur," katanya.
Hakim berkata walaupun program itu tidak dianjurkan sepenuhnya oleh pihak sekolah, ia diluluskan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan membabitkan murid SK Tok Bok.
Sehubungan itu, JPN dan kerajaan turut dipertanggungjawabkan secara vikarius terhadap kecuaian guru besar berkenaan.
Mahkamah turut mendapati iNED dan UiTM bertanggungjawab selepas didapati gagal menyediakan pegawai pengiring atau fasilitator pada hari kejadian, walaupun seorang kakitangan UiTM dan fasilitator pelajar telah ditugaskan untuk mengiringi murid serta memberikan taklimat keselamatan sepanjang perjalanan.
Plaintif sebelum itu menuntut masing-masing RM1 juta bagi ganti rugi teruk (aggravated damages) dan ganti rugi teladan (exemplary damages), namun kedua-dua tuntutan itu ditolak mahkamah.
Mohd Rosli turut menyatakan simpati kepada keluarga mangsa atas tragedi dan kehilangan yang dialami.
Bagaimanapun, beliau berkata mahkamah tidak boleh membuat keputusan atau menentukan jumlah ganti rugi berdasarkan simpati, sebaliknya terikat kepada fakta, undang-undang dan keputusan mahkamah lebih tinggi terdahulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan