Pekerja JPS maut tudung terbelit ‘role gate’ kunci air

ISKANDAR SHAH MOHAMED
Keadaan mayat mangsa yang ditemukan di atas kunci air itu.
SABAK BERNAM – Seorang pekerja Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut dalam keadaan menyayat hati selepas tudung dipakainya terbelit pada ‘role gate’ di Kunci Air Pekan Sabak berdekatan Grand Sabak Hotel di sini, hari ini.

Kejadian menimpa wanita tempatan berusia 56 tahun berlaku ketika dia dipercayai sedang bertugas di lokasi berkenaan.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.35 petang.

Jelasnya, sepasukan lima anggota termasuk pegawai dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dikerah dalam operasi berkenaan.

“Pemeriksaan kemudian menemukan seorang wanita terbaring di atas pintu kunci air berkenaan. Siasatan awal mendapati tudung kepala mangsa yang juga pekerja kunci air JPS itu terbelit pada bahagian ‘role gate’,” katanya petang ini.

Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial yang didakwa melibatkan kakitangan JPS Sabak Bernam ketika menjalankan tugas di kunci air tersebut.-KOSMO! ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan