Kedah: Dua King Cobra lebih 3 meter 'menyelinap' masuk rumah

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid (tengah) dan anggotanya berjaya menangkap salah seekor ular tedung selar di sebuah rumah di daerah itu. FOTO IHSAN BSYJM
Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid (tengah) dan anggotanya berjaya menangkap salah seekor ular tedung selar di sebuah rumah di daerah itu. FOTO IHSAN BSYJM
Sik: Dua ular spesies tedung selar (King Cobra) masing-masing sepanjang tiga dan empat meter ditangkap di dua lokasi berasingan dalam tempoh kira-kira 30 minit di daerah ini, semalam.

Pengerusi Briged Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abd Hamid berkata, kejadian pertama berlaku di Kampung Tala apabila ular tedung sepanjang kira-kira tiga meter ditemui berada dalam kolah air di sebuah rumah penduduk.

Beliau berkata, kehadiran haiwan berbisa itu disedari anak pemilik rumah ketika mahu masuk ke bilik air untuk mandi ketika solat Maghrib.

"Anak pemilik rumah yang terserempak ular itu dalam kolah sebelum terus melarikan diri dan menghubungi kami sebelum dapat menangkap haiwan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahadzir berkata, sebaik selesai menangkap ular yang pertama, pihaknya menerima pula panggilan berkaitan ular kedua di sebuah rumah di Kampung Gajah Putih, kira-kira 30 minit perjalanan dari lokasi pertama.

Katanya, ular tedung selar sepanjang kira-kira empat meter itu ditemui bersembunyi dalam bilik tidur yang dipenuhi barangan milik penghuni rumah.

"Haiwan berkenaan sedang menyembunyikan diri dan kami terpaksa mengalihkan dan memunggah barang-barang dalam bilik berkenaan selama kira-kira 15 minit sebelum mengesan kedudukannya dan menangkapnya," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua kejadian berkenaan menunjukkan peningkatan kes penemuan ular sejak kebelakangan ini, malah pihaknya menerima laporan hampir setiap hari.

"Kes ular ini memang nampak semakin meningkat. Ular tedung pula agak agresif dan berbahaya kerana berbisa.

"Sebelum ini kami pernah menangkap ular tedung sepanjang kira-kira 7.6 meter kira-kira dua tahun lalu, " katanya.

Sehubungan itu, Mahadzir menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan ular, sebaliknya segera menghubungi pasukan penyelamat.

"Hubungi pasukan penyelamat seperti bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) atau bantuan pihak kami supaya tindakan selamat boleh diambil," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang memerlukan bantuan berkaitan penemuan ular boleh menghubungi BSYJM di talian 013-528 3358, yang beroperasi 24 jam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan