Kumaran Rajamoney
am@hmetro.com.my
Tronoh: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam tandas di sebuah stesen minyak di Taman Tronoh Baru, di sini, hari ini.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak menerima panggilan kecemasan jam 2.20 petang, sebelum anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Gajah bergegas ke lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, jentera bersama enam anggota tiba di lokasi pada jam 2.34 petang, kira-kira 13 kilometer dari balai.
"Setibanya di lokasi, didapati polis bersama pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah berada di tempat kejadian.
"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 39 tahun berada dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dalam tandas berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabarodzi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai KKM.
"Pasukan operasi kemudian melakukan kerja mengeluarkan mangsa dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
Operasi yang turut dibantu empat anggota polis dan tiga pegawai KKM itu selesai pada jam 3 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan