Agensi
New Delhi: Lelaki di India dipenjarakan 12 tahun atas dakwaan terbabit dalam kes 'pembunuhan' isterinya.
Wanita itu disangka sudah mati namun sebenarnya masih hidup dan ditemui di negeri jiran.
Gulf News melaporkan, penemuan Shakuntala Devi itu bukan sahaja membuka semula kes pembunuhan pada 2014 di Bihar, malah mencetuskan misteri baharu mengenai identiti mayat wanita yang ditemukan di dalam terusan dan dikenal pasti sebagai dirinya ketika itu.
Herdman akui kad merah ubah rentak Indonesia
Shakuntala dilaporkan hilang dari rumah kelamin di daerah Rohtas pada 2014 sebelum abangnya membuat laporan polis dan memaklumkan wanita itu pernah mengadu diganggu keluarga mentua berkaitan tuntutan mas kahwin.
Dua hari selepas laporan dibuat, mayat seorang wanita tidak dikenali ditemukan di dalam terusan berhampiran Kampung Khanda sebelum abang Shakuntala dan seorang pegawai tempatan dilaporkan mengenal pasti mayat berkenaan sebagai wanita itu.
Polis berkata, bedah siasat kemudian dilakukan dan peruntukan berkaitan pembunuhan ditambah dalam kes berkenaan menyebabkan suaminya, Arun Mehta, bapa mentuanya, Dilip serta saudara lelaki suaminya, Govind Kumar antara yang ditahan.
Arun dipenjarakan sebelum dibebaskan dengan ikat jamin manakala peguam keluarga itu berkata, kes berkenaan akhirnya didakwa diselesaikan menerusi bayaran 800,000 rupee (kira-kira RM38,000).
Katanya, keluarga Mehta mendakwa terpaksa menjual tanah pusaka untuk mendapatkan wang bagi membuat bayaran berkenaan.
Bagaimanapun, kira-kira dua bulan lalu, bapa mentua Shakuntala menerima maklumat bahawa wanita itu dilihat masih hidup di Jharkhand sebelum ahli keluarga ke negeri berkenaan dan mendakwa mengenalinya.
Polis berkata, siasatan kemudian mengesan Shakuntala di Kampung Labhari, daerah Garhwa, Jharkhand yang dipercayai tinggal bersama seorang lelaki lain menggunakan nama Kanti Devi.
Wanita itu dibawa kembali ke Rohtas dan dihadapkan ke mahkamah di Sasaram manakala prosiding dimulakan terhadapnya atas dakwaan termasuk penipuan dan konspirasi jenayah yang masih dalam siasatan.
Polis berkata, penemuan Shakuntala masih hidup menyebabkan siasatan perlu dimulakan semula bagi mengenal pasti wanita yang mayatnya ditemukan di dalam terusan pada 2014 serta bagaimana ia boleh dikenal pasti sebagai Shakuntala.
Menurut polis, siasatan turut akan meneliti mengapa abang Shakuntala mengenal pasti mayat berkenaan sebagai adiknya dan tindakan undang-undang sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan