Pukul budak autistik calit najis, guru taska didenda RM800

FMT Reporters

PETALING JAYA: Guru taska didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Klang selepas mengaku salah mencederakan kanak-kanak autistik, Ogos lalu.

Menurut Kosmo, Majistret Siti Zubaidah Mahat memerintahkan tertuduh, Lenah Abdul, 43, dipenjara tujuh hari jika gagal membayar denda itu. Tertuduh membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, ibu kepada lima anak itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada kanak-kanak lelaki autistik tujuh tahun, di sebuah taska di Taman Sentosa, Klang, sekitar 10 pagi, pada 28 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sebulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh memukul paha mangsa menggunakan penyangkut baju ketika memandikan kanak-kanak tersebut.

Bapa mangsa kemudian tidak berpuas hati selepas melihat kesan lebam pada tubuh anaknya sebelum meminta penjelasan daripada tertuduh dan membuat laporan polis.

Peguam Adam Rosli dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh yang merupakan ibu kepada lima anak termasuk seorang anak autistik, hanya berpendapatan RM1,700 sebulan.

Katanya, pada hari kejadian, mangsa mengeluarkan najis daripada lampin pakai buangnya sebelum mencalitkannya pada dinding taska sehingga kotor, selain bertindak agresif.

“Tertuduh perlu memantau tujuh kanak-kanak di bawah jagaannya dan pada hari kejadian keadaan menjadi di luar kawalannya sehingga dia bertindak seperti dalam pertuduhan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan