Rafizi gesa dedah syarat penuh tahanan rumah Najib

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) Rafizi Ramli menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) mendedahkan semua syarat yang dikenakan terhadap tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Rafizi berkata langkah itu sekurang-kurangnya perlu dilakukan kepada rakyat susulan pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib hari ini.

“Biarlah rakyat biasa menjadi mata dan telinga masyarakat supaya pelepasan tahanan di rumah ini dilaksanakan secara tegas mengikut syarat-syarat dikenakan,” katanya dalam kenyataan.

Najib diberikan pengampunan bersyarat oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat lain.

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri berkata bekas perdana menteri itu perlu mematuhi semua syarat yang ditetapkan atau pengampunan bersyarat tersebut akan dibatalkan.

Bagaimanapun, butiran syarat berkenaan tidak dinyatakan.

Rafizi berkata reaksi rakyat terhadap pengampunan bersyarat itu sememangnya berbeza, dengan ada yang marah dan kecewa, manakala sebahagian lain gembira dengan keputusan tersebut.

Katanya, Anwar serta kepimpinan PH daripada PKR, DAP dan Amanah bertanggungjawab memberikan penjelasan dan tidak seharusnya sekadar mengulangi bahawa perkara itu di luar kawalan mereka.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal hutang Anwar dan PH kepada rakyat berhubung 1MDB, khususnya individu yang tidak dikenali ramai yang mengambil risiko besar ketika menjalankan tugas sehingga isu 1MDB diketahui umum,” katanya.

Bekas timbalan presiden PKR itu berkata skandal berkenaan turut mendorong sebahagian rakyat yang sebelum ini tidak pernah mengundi PH untuk menyokong gabungan itu pada pilihan raya umum 2018.

“Oleh itu, sewajarnya Anwar dan kepimpinan PH menjelaskan kepada rakyat mengenai tahanan rumah yang diberikan kepada Najib, walaupun sekadar untuk memberikan penjelasan kepada mereka yang kecewa dengan keputusan itu,” katanya.

Rafizi turut menggesa supaya proses tahanan rumah itu selepas ini dilaksanakan secara “senyap” bagi mengelakkan reaksi orang ramai terus memuncak.

“Kepada Najib, keluarganya dan penyokong mereka, saya harap mereka memahami bahawa luka akibat skandal 1MDB masih mendalam bagi kebanyakan rakyat Malaysia,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan