Amirul Aiman Hamsuddin

Anggota bomba membantu mengangkat mayat wanita lemas ketika aktiviti ‘water rafting’ di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu hari ini.- Foto JBPM
HULU SELANGOR: Aktiviti rakit redah jeram (water rafting) enam individu di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.52 petang.
Beliau berkata, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan keterangan rakan mangsa, bot ‘rafting’ dinaiki wanita berusia 34 tahun itu bersama lima individu lain terbalik dan mereka terjatuh di jeram pertama.
“Kesemua mereka terkeluar dari bot kira-kira jam 12 tengah hari. Mangsa didapati tersangkut di dasar air dan rakannya cuba mengeluarkan mangsa daripada halangan.
“Anggota bomba kemudian membawa mangsa ke lokasi selamat sebelum menyerahkannya kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kubu Bharu.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.30 petang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan