Tuanku Muhriz turun takhta, Tuanku Nadzaruddin Yamtuan NS baru

Malaysiakini

Kerajaan Negeri Sembilan membuat keputusan kolektif bahawa proklamasi penurunan Takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai di-Pertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuat kuasa serta-merta.

Dalam kenyataan media hari ini barisan exco kerajaan negeri berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Besar, Ismail Lasim, semalam.

Kenyataan itu berkata, menurut Perkara 10 Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959 bertarikh 19 April 2026 telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

“Adalah prerogatif mutlak Undang Yang Empat untuk memilih dan menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan prerogatif ini dijamin oleh Perkara 32 dan Perkara 79 UUTKNS 1959 serta Perkara 71 dan 181 Perlembagaan Persekutuan.

“Proklamasi tersebut juga telah ditandatangani oleh Menteri Besar Ismail Lasim pada 3 Ogos 2026, menjadikan proklamasi tersebut sempurna menurut Perkara 10(2) UUTKNS 1959,” menurut kenyataan itu.

Barisan exco kerajaan negeri juga memutuskan bahawa proklamasi pemilihan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar menurut Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 juga telah ditandatangani dan dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

“Maka proklamasi tersebut adalah teratur dan sempurna menurut UUTKNS 1959.

“Bahawa mesyuarat menjunjung tinggi ketetapan yang telah dibuat Undang Yang Empat dan menghormati prerogatif kuasa Undang Yang Empat sebagaimana yang termaktub menurut adat serta UUTKNS 1959,” jelas kenyataan itu lagi.

Justeru barisan mesyuarat exco kerajaan negeri bagi melaksanakan sabda dan ketetapan Undang Yang Empat menurut proklamasi Perkara 10 dan Perkara 11 UUTKNS 1959 bertarikh 19 April 2026 tersebut, maka diumumkan secara rasmi bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah diturunkan takhta Kerajaan Negeri Sembilan oleh Undang Yang Empat

“Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah dipilih dan diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berkuat kuasa serta-merta.

“Bahawa Pentadbiran Kerajaan Negeri hendaklah mengambil langkah serta-merta melaksanakan pengumuman ini bagi mematuhi sabda dan ketetapan Undang Yang Empat,” menurut kenyataan itu lagi.

Krisis adat dan takhta diraja Negeri Sembilan dilihat bermula pada 17 April apabila Dewan Keadilan dan Undang (DKU) bersidang berhubung kedudukan Mubarak Thahak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Dua hari kemudian, empat Undang termasuk Mubarak mengumumkan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, dengan mendakwa tindakan itu dibuat berdasarkan Perkara 10(1)(b) UUTKNS.

Mereka kemudian mengumumkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar, sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baru.

Bagaimanapun, pengisytiharan itu tidak diiktiraf kerajaan negeri dan mencetuskan pertikaian mengenai kesahan tindakan tersebut serta tafsiran terhadap peruntukan UUTKNS.

Kemelut itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi Seremban apabila enam tokoh terbabit memfailkan saman pemula berhubung pertikaian dalam DKU.

Pada 5 Jun, Mahkamah Tinggi Seremban memberikan injunksi ad interim yang antara lain menghalang keenam-enam plaintif daripada memanggil atau mengadakan mesyuarat DKU, termasuk Sidang Khas yang dijadualkan pada hari berkenaan, serta mengekalkan status quo pentadbiran DKU sementara prosiding mahkamah berjalan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan