Pengetua didakwa lakukan gangguan seksual buat laporan polis susulan diserang, video ditularkan

Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
am@hmetro.com.my

Ipoh: Pengetua sebuah sekolah di Bagan Datuk, dekat sini, yang didakwa membuat gangguan seksual terhadap pelajar tampil membuat laporan polis susulan videonya ditularkan.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, lelaki berusia 56 tahun itu membuat laporan pada Ahad lalu iaitu sehari selepas laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa pada 24 Oktober lalu.

Menurutnya, lelaki itu membuat laporan atas ketidakpuasan hati video tular yang memaparkan dia diserang oleh keluarga pelajar tingkatan tiga itu, selain tindakan dia diserang oleh keluarga mangsa.

Susulan itu, Mohd Alwi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu menyebabkan kecederaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kerana penggunaan tidak wajar kemudahan dan perkhidmatan rangkaian.

"Dia (pengetua) ada buat laporan polis pada 25 Oktober kerana tidak berpuas hati atas video yang ditularkan itu.

"Bagaimanapun, kita akan melihat daripada siasatan yang teliti berkaitan perkara ini kerana ia membabitkan penjawat awam.

"Bagi kes ini, kita dapati keluarga mangsa menyerang guru terbabit atas tindakan guru itu yang didakwa membuat panggilan kepada pelajar berkenaan seperti yang dikatakan sebelum ini iaitu bagi meluahkan rasa cinta dan sayang," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini polis sudah merakam keterangan sembilan saksi termasuk pengetua berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Alwi berkata, susulan laporan yang dibuat oleh ibu mangsa, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 15(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Terdahulu, Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak menjalankan siasatan berhubung dakwaan pengetua melakukan gangguan seksual terhadap pelajar

Fadhlina dilaporkan turut memaklumkan pengetua berkenaan juga sudah ditempatkan sementara di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bagan Datuk sehingga siasatan oleh JPN selesai.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan