Lelaki maut ditikam, suspek diburu polis

Juwan Riduan
Pegawai dan anggota Unit Forensik IPK menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian di tingkat satu bangunan Sulaman Sentral, Manggatal, Kota Kinabalu.
KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas ditikam di dada dalam satu pergaduhan dengan individu yang dipercayai dikenalinya di sebuah bangunan di Sulaman Sentral, Manggatal, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an dibawa abangnya ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi.

Susulan kejadian itu, pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.

Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut berada di lokasi untuk menjalankan pemeriksaan serta mengumpul bahan bukti.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan, manakala usaha mengesan dan memburu suspek yang melarikan diri sejurus kejadian sedang giat dilakukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan