Lelaki warga Bangladesh ditahan miliki senjata api tiruan

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Tindakan seorang lelaki warga Bangladesh memilik senjata api tiruan mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, suspek ditahan di Razak City Residence semalam pada jam 11.30 malam kerana memiliki sepucuk senjata api tiruan jenama HK VP9 SK 9mmX19 bersama satu kelopak peluru.

"Suspek berusia 30 tahun dan tidak bekerja. Motif kejadian masih di dalam siasatan dan bagaimana dia memperoleh senjata itu juga masih dalam siasatan.

"Suspek direman empat hari sehingga 6 Februari ini bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

52 PATI guna MyKad milik orang lain kerja kilang di Shah Alam

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
Sarinah Apisah (kiri) memeriksa warga asing yang ditahan dalam serbuan di sebuah kilang di Bukit Kemuning, petang tadi. – Foto NSTP
SHAH ALAM: Seramai 52 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan di sebuah kilang di sini, petang tadi, dikesan menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain.

Kebanyakan mereka ini dikenal pasti sebagai warga Filipina berketurunan Suluk, didapati menggunakan kad pengenalan palsu dan milik orang lain itu bagi mendapatkan kerja termasuk menerima gaji.

Penahanan mereka dilakukan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam satu serbuan, kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Seorang lelaki warga asing terbabit yang mendakwa berasal dari Semporna, Sabah, Jabar Abdul, 49, ketika pemeriksaan lanjut mengakui menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk bekerja di kilang berkenaan.

“Gaji saya akan dimasukkan ke dalam akaun banknya (pemilik kad pengenalan). Ketika hari gaji, dia akan mengambil sedikit wang gaji saya itu, sebelum bakinya diserahkan kepada saya.

“Saya masuk ke sini diuruskan oleh ejen dengan bayaran RM1,000. Saya tidak tahu menahu berkenaan kad pengenalan,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPN, Sarinah Apisah berkata semua pendatang tanpa izin yang ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 60an yang berasal dari Filipina dan Indonesia.

“Berdasarkan tangkapan ini, kebanyakan mereka memberikan alasan menggunakan MyKad orang lain kerana ejen yang bawa. Ada yang tak pegang MyKad dan ejen uruskan.

“JPN akan siasat sama ada terdapat elemen sindiket atau kerelaan oleh warga tempatan yang menyerahkan MyKad. Kita akan kesan pemilik IC (kad pengenalan) itu,” katanya ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Sarinah berkata semua yang ditahan itu dibawa ke JPN Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes diklasifikasi itu mengikut Seksyen 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
“Pasukan operasi turut mendapat kerjasama daripada pengurusan kilang bagi membuat semakan nombor kad pengenalan mereka,” katanya.

Pempengaruh media sosial didakwa rogol, lakukan amang seksual terhadap dua remaja

BERNAMA

Kuala Lumpur: Seorang pempengaruh media sosial dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua remaja perempuan, bulan lalu.

Muhammad Iman Hazriq Azizan, 23, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar dan Mohd Kafli Che Ali.

Di hadapan Tasnim, Muhammad Iman Hazriq didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun enam bulan ketika kejadian di dalam bilik sebuah kondominium, Wangsa Maju di sini antara 1 tengah hari hingga 8 malam, 22 Januari lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 375 (g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376 (1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Di hadapan Mohd Kafli, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang lagi remaja perempuan berumur 16 tahun bagi tujuan seksual di tempat, masa dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Shakira Aliana Alias menawarkan jaminan masing-masing RM15,000 bagi pertuduhan merogol dan amang seksual dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan, mangsa serta keluarga mangsa sehingga kes selesai.

Peguam Mohamad Akmal Mohd Taufik yang mewakili Muhammad Iman Hazriq memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya masih bujang serta menanggung ibu bapa dan dua adik yang masih bersekolah.

"Anak guam saya bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai kasut dengan pendapatan RM2,000 sebulan. Dia juga memberikan kerjasama baik dengan pihak polis sepanjang siasatan dan tiada risiko untuk melarikan diri," katanya.

Hakim Tasnim dan Mohd Kafli masing-masing membenarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 4 Mac dan 2 April ini untuk sebutan kes.

Rangka manusia di rumah terbiar bongkar misteri kehilangan lima beranak

Sinar Harian

JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan lima beranak akhirnya terungkai apabila polis menemui rangka manusia dipercayai dibunuh dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar di kawasan kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai pada awal bulan lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, polis menerima laporan orang hilang sebelum seorang lelaki berusia 48 tahun tampil membuat laporan berhubung penemuan rangka manusia di lokasi berkenaan pada kira-kira jam 1.28 tengah hari pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, laporan diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri ketika pengadu sedang berusaha menjejaki isteri serta anak-anaknya yang sudah lama terpisah dan dikatakan tinggal di rumah berkenaan terletak dalam kebun kelapa sawit.

“Pemeriksaan di lokasi mendapati rangka manusia ditemui di dalam sebuah rumah yang telah terbakar di kawasan kebun kelapa sawit tersebut.

“Hasil bedah siasat oleh pasukan forensik mengesahkan enam rangka manusia terdiri daripada dua dewasa terdiri daripada lelaki berusia 29 tahun dan wanita berusia 35 tahun. Kedua-duanya mempunyai hubungan kenalan.

"Seterusnya anak kepada wanita berkenaan iaitu seorang remaja perempuan 17 tahun, kanak- kanak perempuan berusia 5 dan 9 tahun serta seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, pada Selasa.

Ab Rahaman berkata, bedah siasat dilakukan pihak forensik percaya mayat dibakar kira-kira tiga bulan lalu.

"Susulan itu, pada 21 Januari, polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warganegara Malaysia berusia antara 19 hingga 35 tahun, di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.

"Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Manakala semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Manakala dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan dipanggil sebagai saksi.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Rabu.

"Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya.

Dalam pada itu, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan dan prosiding mahkamah.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi talian hotline siasatan,” katanya. - Sinar Harian

Wanita maut selepas tersangkut pada lif ski di Jepun

Astro Awani
Pihak pengurusan resort ski belum mengeluarkan kenyataan rasmi, dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis Jepun. - Foto X/@immigrantsprob
TOKYO: Seorang wanita warga Australia maut selepas tersangkut pada lif ski di sebuah pusat peranginan musim sejuk di Tsugaike Mountain Resort, di Otari, menurut pihak berkuasa Jepun.

Insiden berlaku ketika wanita itu sedang menggunakan lif ski bersama ahli keluarga, namun dia gagal melepaskan diri dan tersangkut sebelum terjatuh ketika lif bergerak, kata polis.

Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.

Identiti wanita terbabit belum didedahkan oleh pihak berkuasa, tetapi laporan media tempatan menyebut beliau berasal dari Australia dan sedang bercuti di Jepun.

Pusat peranginan ski berkenaan ditutup sementara bagi membantu siasatan, manakala pihak berkuasa keselamatan gunung sedang bekerjasama dengan penyelamat untuk menentukan punca sebenar kejadian.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan keselamatan di kalangan penggemar sukan musim sejuk, memandangkan lif ski merupakan salah satu kemudahan penting di kawasan pergunungan Jepun yang sering menerima pelancong dari luar negara.

Pihak pengurusan resort ski belum mengeluarkan kenyataan rasmi, dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh polis Jepun.

6 rangka manusia ditemui dalam rumah terbakar

MOHD SHARKAWI LONDING
LOKASI penemuan mayat lima beranak dan seorang lelaki di sebuah rumah yang musnah terbakar di Kangkar Pulai, Johor Bahru. Foto IHSAN IPK JOHOR
JOHOR BAHRU – Misteri kehilangan enam individu termasuk lima sekeluarga sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila rangka mereka ditemui di dalam sebuah rumah terbiar yang terbakar dalam kebun kelapa sawit di Kangkar Pulai, Skudai di sini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, bekas suami kepada salah seorang mangsa membuat laporan kehilangan bekas isteri dan empat anaknya pukul 1.28 tengah hari pada 9 Januari lalu.

Menurutnya, lelaki berusia 48 tahun itu membuat laporan polis selepas menemui sendiri rangka manusia di dalam rumah yang musnah dipercayai dibakar adalah ahli keluarganya.

“Si pengadu ini dia sudah berpisah dengan keluarganya, namun dia cuba menjejaki bekas isteri dan anak-anaknya. Apabila dia dapat tahu ada penemuan rangka manusia di dalam rumah berkenaan, dia terus ke lokasi dan mendapati memang ada rangka manusia.

“Si pengadu dapat tahu bekas isteri dan anak-anak pernah tinggal di rumah berkenaan sebab itu dia pergi cari dekat situ dan bila jumpa rangka dia buat laporan penemuan rangka terbabit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Ab Rahaman berkata, dengan bantuan pasukan patalogi forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) IPK Johor mengesahkan terdapat enam rangka manusia terlibat.

Jelasnya, mereka terdiri daripada seorang wanita yang berusia 35 tahun, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia sembilan dan lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun serta seorang lelaki dewasa berusia 29 tahun.

Ab Rahaman berkata, bedah siasat dilakukan pihak forensik percaya mayat dibakar kira-kira tiga bulan lalu.

“Susulan itu, pada 21 Januari, polis menahan empat individu terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga Malaysia berusia antara 19 hingga 35 tahun, di sekitar kawasan Iskandar Puteri bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati mereka mempunyai hubungan sebagai rakan penagih. Semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing mendapati tiga daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara Johor dan keputusan dibuat untuk mendakwa dua suspek lelaki di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dua lagi suspek dibebaskan dengan bon jaminan polis dan dipanggil sebagai saksi.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Majistret Johor Bahru esok.

“Jika sabit kesalahan, hukuman boleh dikenakan adalah hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 12 kali,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Konflik Pas-Bersatu: Tiada perang, tiada gencatan senjata?

K PRAGALATH

Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan telah menolak usaha gencatan senjata politik di antara Pas dan Bersatu yang dicadangkan oleh Shahir Sulaiman (PN-Bachok) yang juga setiausaha politik presiden Pas.

Ini kerana beliau berpandangan krisis di antara dua parti PN tersebut hanyalah perbezaan pandangan dan pendekatan.

“Tiada pergaduhan antara kami. Apa yang wujud hanyalah perbezaan pandangan dan pendekatan.

“Ia adalah proses biasa dan bukan isu besar,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah gudang yang musnah dalam kebakaran di sepanjang Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu.

“Saya menghubungi Presiden Bersatu, Tan Sri Mahiaddin Yassin, pagi ini dan memaklumkan kepadanya bahawa Pas berharap semua pihak bersetuju untuk menyelesaikan perkara ini mengikut peraturan sedia ada.

“Ini bermakna tiada sebarang kenyataan harus dibuat di luar mesyuarat rasmi. Semua perkara mesti dibawa ke dalam mesyuarat terlebih dahulu,” katanya.

“Perlembagaan dengan jelas menyatakan proses bagi sebarang perubahan atau pelantikan baharu pengerusi.

“Segala perkara mesti dibincangkan dan diputuskan dalam Mesyuarat Tertinggi Perikatan Nasional (MTPN),” katanya.

Beliau berkata sebarang pindaan kepada perlembagaan PN juga perlu dibentangkan dan diluluskan dalam Majlis Tertinggi PN (MTPN) sebelum dikemukakan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS).

“Tidak perlu membincangkan atau membuat keputusan di luar mesyuarat. Semua masalah mesti diselesaikan melalui MTPN. Itulah sebabnya satu mesyuarat diadakan pada 29 Januari.

“Langkah seterusnya ialah memanggil semua pemimpin daripada setiap parti komponen bagi menetapkan tarikh mesyuarat baharu,” katanya.

Kes pelik: Lelaki sumbat bom dalam dubur

Agensi
(FOTO FAIL) HOSPITAL Rangueil di Toulouse. FOTO AFP
(FOTO FAIL) HOSPITAL Rangueil di Toulouse. FOTO AFP
Paris: Doktor di Perancis berdepan situasi luar biasa baru-baru ini, selepas seorang lelaki hadir ke sebuah hospital dengan sebutir peluru artileri Perang Dunia Pertama tersumbat di dalam duburnya.

Memetik Metro UK, lelaki berusia 24 tahun itu datang ke sebuah hospital di Toulouse, Perancis, dengan mengadu kesakitan, namun tidak memberikan sebarang penjelasan lanjut.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut mendapati dia memasukkan sebutir peluru artileri Perang Dunia Pertama bertarikh 1918, dan berukuran 16 x 4 sentimeter (sm) ke dalam punggungnya.

Susulan penemuan itu, doktor menghubungi unit pemusnah bom dan hospital berkenaan dipenuhi anggota penguat kuasa undang-undang serta bomba.

Pihak bomba mengesahkan kepada Le Parisien, peluru bom itu berjaya dinyahaktifkan dan tidak mendatangkan sebarang risiko bahaya.

Bagaimanapun, lelaki berkenaan masih dalam proses pemulihan selepas pembedahan dan berkemungkinan berdepan pertuduhan kerana melanggar undang-undang senjata Perancis.

Menurut media sama, kes itu bukan satu-satunya insiden membabitkan individu yang mempertaruhkan nyawa dengan memasukkan objek luar biasa ke dalam rektum.

Seorang lelaki berusia 45 tahun hampir kehilangan nyawa selepas menahan selama 10 hari dengan sebuah cawan logam tersangkut di dalam rektumnya sebelum mendapatkan rawatan doktor.

Menurut laporan tempatan, cawan berdiameter kira-kira 7.6 hingga 10.2 sm dan sepanjang 15.2 sm itu dipercayai dimasukkan oleh rakan-rakannya sebagai gurauan mabuk ketika satu parti liar di Surat, Gujarat, India.

Cubaan lelaki itu untuk mengeluarkan cawan berkenaan pada keesokan gagal dan menyebabkan objek itu tersangkut lebih jauh, namun dia menanggung kesakitan dalam diam kerana terlalu malu untuk memberitahu sesiapa.

Dalam satu lagi kes, seorang lelaki berusia 60 tahun bernama Mitchell C Vest ditangkap selepas didapati memasukkan beberapa barangan antik ke dalam duburnya sebelum meletakkannya semula di rak The Antique Gallery di Houston, Texas.
-Hmetro 

Pelajar maut tercampak dalam pembentung

NOR AINNA HAMZAH
Pasukan penyelamat bertungkus-lumus mengeluarkan pembonceng motosikal yang tercampak ke dalam pembentung sedalam 10 meter selepas motosikal mereka terbabas di Jalan Bunga Tanjung, malam tadi. - IHSAN POLIS
TAMPIN – Perjalanan pulang dua beradik yang baharu sahaja makan malam di sebuah kedai di sini berakhir tragedi apabila si adik tercampak ke dalam pembentung selepas motosikal yang mereka naiki hilang kawalan di Jalan Bunga Tanjung, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.10 malam itu, mangsa iaitu pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Syed Idris berusia 14 tahun maut ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tampin sejam kemudian.

Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman, siasatan mendapati motosikal jenis Yamaha Y100 yang ditunggang abang mangsa berusia 17 tahun telah terbabas.
“Mangsa dalam perjalanan dari Pekan Tampin menghala ke Kuala Ina selepas selesai makan malam.

“Sampai di lokasi kejadian penunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan semasa melalui satu selekoh dan terus melanggar pembetung air yang dalam pembinaan di bahu sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan pembonceng tercampak jatuh ke dalam lubang pembetung air yang sedalam 10 meter tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Rasuah dan pengkhianat yang bertuhankan wang, ambillah pengajaran kalau tidak kita akan merempat di negara sendiri

Raih RM1.2 juta, ‘Geng Sojul’ seludup migran tumpas
MOHD. FAHMI ISMAIL
Antara warga asing yang ditahan dipercayai diseludup masuk ke negara ini. IHSAN JIM
Negara
PETALING JAYA – Taktik sindiket penyeludupan migran menggunakan kondominium di Kuchai Lama sebagai rumah transit terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen (JIM) semalam.

Sindiket yang aktif sejak Disember lalu membawa masuk warga asing secara haram dengan bayaran RM12,000 seorang melalui Kelantan dan dipercayai meraih keuntungan kira-kira RM1.2 juta.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi itu membawa kepada penahanan seorang rakyat tempatan dan seorang warga Bangladesh dipercayai bertindak sebagai transporter sindiket dikenali ‘Geng Sojul’.

“Serbuan pertama dijalankan kira-kira pukul 1.30 tengah hari apabila dua pacuan empat roda dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dipintas di kawasan letak kenderaan sebuah pasar raya di Jalan Kuchai Lama.

“Pemeriksaan mendapati enam lelaki dan seorang wanita Bangladesh serta seorang lelaki Myanmar berada di dalam kenderaan tersebut. Seramai 20 warga asing yang disyaki diseludup ke negara ini turut ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, serbuan dilakukan ke atas sebuah kondominium di Kuchai Lama yang dipercayai dijadikan rumah persembunyian dan transit sindiket berkenaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 12 lelaki Bangladesh berusia 18 hingga 49 tahun dipercayai baru tiba dari negara jiran dan sedang menunggu untuk dihantar ke beberapa negeri di selatan tanah air serta Lembah Klang.

“Turut disita dua buah kenderaan pacuan empat roda dan SUV, beberapa keping pasport Bangladesh dan wang tunai RM82,100 serta mata wang asing AS$3,700,” katanya.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Pasport 1966. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Tiga lelaki ditahan disyaki seludup 10 tan beras siam

Bernama

KOTA BHARU: Tiga lelaki tempatan termasuk dua yang mempunyai rekod kesalahan dadah ditahan kerana disyaki menyeludup 10,000 kilogram (kg) beras Siam di Kampung Kebakat, Wakaf Bharu, Tumpat, semalam.

Pemangku Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga DSP Muhamad Keny Anyie Abdullah berkata suspek berusia antara 16 hingga 44 tahun ditahan menerusi OPS Taring Gelora oleh Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

"Pada operasi kira-kira 9 malam sepasukan pegawai dan anggota mengekori sebuah lori dari Kampung Bendang Pok Yong menuju ke Chabang Empat sebelum menahannya di bahu jalan Kampung Kebakat.

"Pemeriksaan mendapati lori itu membawa 200 guni beras putih import seberat 50 kg setiap satu dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan RM290,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Keny Anyie berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 kerana memiliki dan disyaki melakukan kesalahan berkaitan kawalan padi dan beras serta dirujuk kepada Bahagian Kawalselia Padi dan Beras Kota Bharu.

Beliau berkata tangkapan itu merupakan kes ketiga melibatkan penyeludupan beras putih import dipatahkan PPM Pengkalan Kubor tahun ini, dengan sebanyak 27 tan beras putih import dirampas melibatkan nilai keseluruhan RM1.1 juta setakat ini.

Beliau berkata polis marin akan terus mempertingkatkan keberkesanan operasi bagi membanteras jenayah rentas sempadan dan memastikan keselamatan perairan negara dengan orang ramai diminta menghubungi talian 09-5137726 atau e-mel gerakanw3@gmail.com jika mempunyai maklumat berkaitan.

-- BERNAMA

Ibu, ibu saudara ditahan bantu siasatan budak enam tahun lemas di kolam air panas

Bernama

ALOR GAJAH: Ibu dan ibu saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang lemas di sebuah kolam air panas di sini malam tadi, ditahan polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ahmad Abu Bakar berkata kedua-dua wanita yang masing-masing berusia 27 dan 22 tahun ditahan hari ini untuk tujuan rakaman percakapan.

"Dua beradik itu dipercayai berada di tempat kejadian dan akan dilepaskan petang ini dengan jaminan polis bagi memberi ruang kepada keluarga menguruskan jenazah kanak-kanak berkenaan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini.

Ahmad berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi.

Media sebelum ini melaporkan, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam, mangsa yang datang bersama keluarganya dari Felda Keratong, Pahang, ditemui orang awam dalam keadaan terapung di kolam dewasa.

Kanak-kanak itu kemudian dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia pada pukul 8.24 malam.

-- BERNAMA

Kedah: Wanita maut dengan tiga kesan tikaman, dipercayai dibunuh anak

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
ZAHARULLAIL, mangsa yang dipercayai ditikam anak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZAHARULLAIL, mangsa yang dipercayai ditikam anak. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Alor Setar: Seorang wanita ditemukan meninggal dunia dengan tiga kesan tikaman pada badan di rumahnya di Taman Sultan Abdul Halim, Jalan Tanjung Bendahara, di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Zaharullail Basir, 52, bekerja sebagai eksekutif operasi di sebuah bank di di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, pada jam 8.45 pagi tadi, Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan daripada anak lelaki mangsa memaklumkan kejadian pembunuhan membabitkan ibunya di lokasi kejadian yang disyaki ditikam di bahagian badan serta di pukul di bahagian kepala.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku sekitar awal pagi tadi sebelum salah seorang anak mangsa menemukan ibunya tidak sedarkan diri dan berlumuran darah.

"Hasil pemeriksaan mendapati, terdapat tiga kesan tikaman iaitu di bahagian atas dada kiri, kecederaan di pergelangan tangan serta terdapat kesan luka di bahagian kepala dan muka serta luka kecil dan luka tikaman di tapak tangan kiri. Setakat ini motif pembunuhan masih dalam siasatan.

"Bagaimanapun hasil pemeriksaan mendapati sebuah beg tangan mengandungi barang kemas, sejumlah wang tunai dan telefon bimbit didapati hilang, " katanya ketika dihubungi, hari ini.

Syed Basri berkata, mangsa dipercayai tinggal di rumah itu bersama tiga anaknya dan berikutan itu sepasukan anggota Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Unit Anjing Pengesan K-9 tiba di lokasi untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, usaha menangkap suspek yang dipercayai salah seorang anak mangsa sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Sehubungan itu pihak polis menyeru kepada penama berikut iaitu Amirul Shafiq Shamsul Zahari, berusia 28 tahun, untuk tampil membantu siasatan di mana-mana balai polis yang berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat kes.

"Seksyen 302 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih.

"Polis memohon kerjasama saksi, khususnya ahli keluarga terdekat mangsa atau mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini, untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran atau di IPD Kota Setar, " katanya.

Syed Basri berkata, sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline 04-774 7222 dan Polis Diraja Malaysia k (PDRM) komited dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

Nenek, cucu ditemukan rentung

CHERINE JON
Keadaan mangsa yang rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu, di sini yang berlaku pada awal pagi, hari ini.
BINTULU – Seorang wanita warga emas bersama cucunya ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah pekerja di Jalan Sungai Nyigu, di sini, hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat wanita berusia 61 tahun dan remaja lelaki berusia 15 tahun itu dijumpai kira-kira jam 4.20 pagi sebaik kebakaran berjaya dikawal.

“Kedua-dua mangsa dipercayai terperangkap semasa kebakaran berlaku. Mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
L
Terdahulu, bomba menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 1.01 pagi, melibatkan satu blok rumah pekerja dua tingkat terdiri daripada 31 pintu telah terbakar 100 peratus.

Katanya, kebakaran tersebut turut menyebabkan empat buah motosikal musnah. – KOSMO! ONLINE

LHDN kesan lebih RM10 bilion dalam akaun luar negara tidak diisytihar

Bernama

PUTRAJAYA: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenal pasti 14,858 orang pemastautin cukai Malaysia dengan jumlah keseluruhan baki akaun kewangan luar negara melebihi RM10 bilion, namun tidak mengemukakan pelaporan cukai melalui borang nyata cukai pendapatan (BNCP).

Dalam kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan pengesanan itu dibuat hasil pertukaran maklumat akaun kewangan antarabangsa melibatkan kerjasama dengan lebih 100 negara, sejajar usaha memperkukuh pematuhan cukai serta menangani isu pelarian cukai rentas sempadan.

Menurut LHDN, akaun kewangan luar negara dengan baki yang signifikan berkenaan turut melibatkan beberapa negara seperti Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Cayman Islands, Bahamas dan Bermuda.

“LHDN telah menghantar peringatan kepada pemastautin cukai berkenaan sebagai pendekatan galakan pematuhan secara sukarela, di samping memberi ruang untuk membuat semakan dan pengisytiharan pendapatan sebelum sebarang tindakan penguatkuasaan dilaksanakan,” menurut kenyataan.

Bagi mengelakkan penalti serta tindakan undang-undang bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, LHDN menasihati pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan belum dilaporkan dan mempunyai akaun kewangan luar negara daripada sumber pendapatan yang sepatutnya dikenakan cukai di Malaysia tampil secara sukarela dalam tempoh terdekat bagi membuat pelaporan serta pematuhan yang sewajarnya.

“LHDN komited untuk terus mentadbir sistem percukaian negara secara telus, berintegriti dan profesional, selaras dengan piawaian percukaian antarabangsa.

“Dengan pendekatan berstrategi dan kerjasama semua pihak, LHDN akan terus memperkukuh tadbir urus percukaian negara demi kepentingan rakyat dan pembangunan negara,” menurut kenyataan.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas mengenai perkara itu boleh hubungi HASiL contact centre menerusi talian 03 89111000/ 603 89111000 (luar negara), HASiL live chat dan borang maklum balas menerusi laman rasmi https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/

Lantai roboh, 15 pelajar jatuh

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan beberapa pelajar cedera selepas lantai tingkat dua roboh. - Riakaktual
JAKARTA – Sekurang-kurangnya 15 pelajar cedera selepas lantai sebuah bangunan di Siak, wilayah Riau roboh secara tiba-tiba ketika mereka sedang membuat lawatan, lapor portal berita Tempo. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) di Bangunan Tangsi Belanda semalam.

Pelajar-pelajar dari Sekolah Rendah Islam Terpadu (SDIT) Baitul Ridho Lubuk Dalam terjatuh semasa melawat di tingkat dua. 

Jumlah mangsa termasuk 15 kanak-kanak dan seorang guru pengiring. 

Semua mangsa menerima rawatan perubatan segera dengan 10 daripadanya dibawa ke Hospital Besar Wilayah (RSUD) Tengku Rafian Siak untuk rawatan lanjut. 

Enam mangsa telah dibenarkan keluar selepas keadaan mereka disahkan stabil. 

Tiada kematian dilaporkan. 

Siasatan masih giat dijalankan untuk mengenal pasti punca kejadian. – AGENSI

Lelaki dibelit ular 6 meter semasa tidur

KOSMO
Mangsa terselamat selepas penduduk tempatan melepaskan lilitan ular sawa itu dari badannya. - Lambe Turah
JAKARTA – Seorang lelaki berdepan detik cemas apabila badannya dibelit seekor ular sawa sepanjang 6 meter semasa tidur di sebuah kawasan hutan, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku di Konawe Utara, wilayah Sulawesi Tenggara. 

Mangsa mendapati badannya dibelit reptilia gergasi yang muncul dari semak berhampiran selepas terjaga daripada tidur. 

Penduduk tempatan berusaha melepaskan lilitan itu demi menyelamatkan mangsa. 

Mangsa merupakan seorang pekerja pembinaan. 

“Saya diserang ular sawa itu semasa berehat di tapak pembinaan,” katanya. – AGENSI

3 kerusi Perlis kekal kosong walau bekas Adun jadi ahli PAS semula

Faiz Zainudin

BANGI: Tiga kerusi PAS di Perlis kekal kosong, walaupun permohonan keahlian tiga bekas Adun itu diluluskan pucuk pimpinan parti, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Ahmad Ali.

“Walaupun permohonan keahlian mereka (tiga Adun Perlis itu) diterima selepas ini, status mereka sebagai Adun PAS kekal gugur.

“Ia selaras perlembagaan parti terkait Akta Lompat Parti. Jika melakukan apa-apa kesalahan, maka tergugur dengan sendiri keahlian,” katanya selepas menghadiri pemukiman tertutup PAS di sini.

PAS menghentikan serta-merta keahlian Adun Chuping, Saad Seman; Adun Bintong, Fakhrul Anwar Ismail dan Adun Guar Sanji, Mohd Ridzuan Hashim pada 24 Dis lalu kerana bersama lima Adun Bersatu menandatangani akuan berkanun menarik sokongan kepada menteri besar ketika itu, Shukri Ramli.

Ia disusuli Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis menyerahkan notis pengosongan kerusi Bintong, Guar Sanji dan Chuping kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri pada 29 Dis lalu.

Tetapi, Pengerusi SPR, Ramlan Harun dilaporkan berkata, tiada PRK bagi tiga kerusi itu selepas DUN Perlis menarik semula pemakluman kekosongan berkenaan pada 31 Dis lalu.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan dilaporkan berkata, walaupun tiada PRK, tiga kerusi itu kekal kosong sehingga PRU16, selepas mengambil kira perkembangan mutakhir, termasuk pendirian PAS yang memberi jaminan akan terus komited mengekalkan kelangsungan dan kestabilan kerajaan negeri.

Sementara itu, Ahmad yakin PAS Pusat akan menerima permohonan keahlian tiga Adun itu.

“Saya sebelum ini ada jumpa tiga Adun berkenaan dan telah beri nasihat dan teguran (supaya tidak mengulangi kesilapan sama).”

Terdahulu, Majlis Syura Ulama PAS dilaporkan menerima permohonan tiga Adun Perlis untuk menyertai parti itu semula yang akan diserahkan kepada setiausaha agung parti untuk pertimbangan PAS Pusat.

Dalam perkembangan sama, Ahmad mengakui kemelut politik di Perlis belum selesai sepenuhnya, tetapi proses penstrukturan semula kepimpinan negeri sudah dilaksanakan.

“Saya harap perkara ini akan diselesaikan dengan elok dan kita fokus kepada persiapan PRU16 serta memperkukuh parti.”

Beliau turut menafikan dakwaan berlaku pertembungan antara Majlis Syura Ulama dipimpin Mursyidul Am, Hashim Jasin dan PAS Pusat bawah pimpinan Hadi Awang susulan kemelut di Perlis.

“Perkara itu tidak betul dan tidak berbangkit, tiada sebarang pertembungan.”

Warga asing cuba sogok pegawai polis ditahan

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing ditahan selepas cuba menyogok pegawai polis supaya melepaskannya ketika ditahan kerana tiada lesen memandu yang sah di Jalan Suasa 6, di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek berusia 24 tahun ditahan pegawai berkenaan yang sedang membuat rondaan ‘snap chek’ di kawasan terbabit, kira-kira jam 3 pagi.

“Semasa pemeriksaan, suspek didapati tidak mempunyai lesen motosikal dan dokumen pengenalan diri yang sah.

“Suspek cuba memberi wang sogokan kepada pegawai terbabit supaya tidak dikenakan tindakan dan diberikan amaran supaya tidak memberi rasuah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, warga asing itu enggan mendengar amaran, dan pegawai berkenaan menahan suspek serta membuat laporan berhubung cubaan menyogok berkenaan.

Katanya, suspek kini direman selama 14 hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Demi kuasa?: Pas buat ‘U-turn’, terima semula 3 bekas ADUN dilucut keahlian

Harapandaily

Pas dilihat membuat pusingan-U untuk menerima rayuan tiga ahli Pas Perlis yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihentikan keahlian masing-masing susulan kemelut politik Perlis sebelum ini.

Keputusan Majlis Syura Ulama Pas itu sekali gus membolehkan tiga bekas ADUN terbabit kembali menjadi ahli parti pembangkang tersebut.

Perkara tersebut dikongsi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, melalui satu kenyataan di Facebook.

Perubahan Pas itu hasil keputusan dalam Mesyuarat Majlis Syura Ulama kali kedua bagi sesi 2026/2030 pada 27 Januari lalu di Pejabat Agung Pas di Kuala Lumpur.

“Adalah dimaklumkan, mesyuarat Majlis Syura ‘Ulamak tersebut menerima rayuan yang dikemukakan oleh ketiga-tiga ahli Pas Perlis tersebut.

“Pada akhir perbincangan mesyuarat, Mursyidul Am telah membacakan faktor penerimaan kembali menjadi ahli Pas,” katanya.

LANJUT MENYUSUL

Pelakon dakwa diliwat semasa kanak-kanak

HARRITH HISHAM

KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima laporan seorang pelakon lelaki yang mendakwa pernah diliwat semasa kanak-kanak.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan daripada pelakon berusia 35 tahun itu kira-kira pukul 6.11 petang, semalam.

“Kes masih dalam siasatan,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, seorang pelakon mendedahkan pernah melalui detik hitam ketika kanak-kanak apabila menjadi mangsa gangguan seksual.

Dia yang pernah tampil dalam beberapa drama popular di televisyen antaranya Diari Ramadhan Rafique mendedahkan perkara itu di laman Threads.

Lelaki itu mendakwa dia diliwat ketika masih kanak-kanak oleh individu dalam keluarganya sendiri, malah dikatakan turut mempunyai pengaruh dalam industri seni. – KOSMO! ONLINE

Orang ‘bulan’ tak mahu pacak bendera PN lagi?

Amin Ishak

Gesaan Mursyidul AM PAS Hashim Jasin supaya partinya tanding solo memerlukan tindakan segera untuk selesai isu pengerusi PN.

Sepatutnya krisis berkait jawatan pengerusi menghimpit Perikatan Nasional (PN) sejak hujung 2025 diselesaikan Khamis lalu di meja mesyuarat Majlis Tertingginya.

Namun, agenda utama untuk mencari pengganti kepada Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan 29 Dis lalu tidak dapat direalisasikan.

Ini kerana mesyuarat pimpinan tertinggi PN itu dibatalkan sebaliknya digantikan dengan ‘pramesyuarat Majlis Tertinggi PN’, diadakan di rumah Muhyiddin membabitkan bekas perdana menteri dengan Presiden PAS Hadi Awang, Dominic Lau (Gerakan) dan P Punithan (MIPP).

Bagaimanapun, Hadi tidak hadir dan wakil PAS juga tiada. Keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada tindakan PAS berkait isi kandungan surat Muhyiddin kepada tiga lagi presiden parti dalam PN.

Dalam surat itu, Muhyiddin mendakwa Bersatu dan PAS bersetuju memansuhkan jawatan PN, sebahagian usaha penstrukturan semula gabungan itu yang menyaksikan Bersatu akan menerajui majlis presiden PN, manakala PAS mengetuai jawatankuasa eksekutif.

Namun, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man menafikannya. Seperti ketika isu krisis menteri besar di Perlis, pemimpin PAS menggunakan pelbagai kiasan untuk menggambarkan situasi politik gabungan itu.

Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, menggunakan analogi ‘penjaga gawang dalam pasukan bola sepak memansuhkan tiang gol’ selain ‘makan kawan lagi sedap daripada makan kenduri’. Sindiran tajam yang terpulang kepada orang ramai membuat tafsiran sendiri.

Kesan PAS solo

Paling memeranjatkan cadangan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin supaya parti itu bergerak solo jika isu pelantikan pengerusi PN terus menemui jalan buntu.

Bercakap kepada FMT, Hashim mendakwa PAS mempunyai kekuatan sendiri dan mampu meraih keputusan lebih baik dalam PRU16 terutama di negeri dikuasai ketika ini.

Cadangan itu pasti bakal menimbulkan satu lagi polemik. Semangat setiakawan dalam PN terjalin sejak komponen berkenaan ditubuhkan pada 7 Ogos 2020 pastinya teruji.

PAS yang berada di arena politik negara kira-kira 75 tahun berpengalaman bertanding solo dan melalui pelbagai jerih perih sehingga merekodkan pencapaian terbaiknya dengan menang 43 kerusi pada PRU15.

Bersatu pula berjaya melahirkan dua perdana menteri sejak ditubuhkan pada Januari 2017. Pertama Dr Mahathir Mohamad (2018-2020) dan Muhyiddin (2020-2021) yang diangkat dalam gabungan bersama parti lain.

Gerakan yang pernah menjadi nama besar dalam politik negara termasuk mengetuai pentadbiran di Pulau Pinang, dihanyut badai sejak 2008 dan masih bergelut untuk pulih. Parti itu hanya mempunyai seorang wakil rakyat iaitu Wong Chia Zhen di Kulim, Kedah.

MIPP pula yang baru diterima PN dua tahun lalu belum teruji dalam pilihan raya.

Jadi, dengan pengalaman luas PAS, ramai beranggapan kekuatan jenteranya menjadi antara kunci utama dalam kejayaan PN membentuk blok pembangkang kuat untuk meraih banyak kerusi pada PRU15 serta PRN.

Jentera ramai daripada PAS berbanding rakan komponen lain membolehkan kerja kempen pilihan raya seperti memacak bendera PN berjalan lancar. Malah ‘kerahan tenaga’ serta undi penyokong PAS mengangkat wakil Bersatu ke Parlimen.

Seperti contoh di Kelantan, empat wakil rakyat Bersatu menang atas tiket ‘bulan’ PAS iaitu Ketereh, Tanah Merah, Machang, Gua Musang dan Jeli. Namun Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli) mengalihkan sokongan kepada pentadbiran Anwar Ibrahim.

Namun, ada juga pandangan PAS mungkin tidak menikmati kejayaannya kini tanpa PN.

Misalnya, Muhyiddin dalam temu bual dengan FMT pada November 2023 berkata sokongan terhadap PAS telah ‘tepu’ sebelum ada gabungan PN yang melonjak kedudukannya pada PRU15.

“PAS, Bersatu dan Gerakan melihat ini sebagai satu kekuatan. Mereka tak boleh bersendirian…boleh tetapi kesannya tak sebegini (menang besar), contoh dalam PRU lepas majoriti mereka biasa 10,000 ke 15,000 undi tetapi (presiden PAS) Hadi (Awang) contohnya sampai 40,000 undi.

“Dia (PAS) dah sampai tahap tepu tetapi dengan gabungan PN penerimaan rakyat begitu besar sekali sehingga catat majoriti luar biasa,” katanya.

Krisis pengerusi PN memperlihatkan realiti hubungan dalam gabungan itu. Ketidakhadiran PAS dalam mesyuarat penting, percanggahan kenyataan serta sindiran terbuka menunjukkan masalah itu bukan sekadar soal struktur organisasi, tetapi melibatkan kepercayaan dan hala tuju bersama.

PN berisiko mengulangi kesilapan gabungan terdahulu yang runtuh bukan kerana kekurangan sokongan rakyat, tetapi akibat kegagalan mengurus perbezaan dalaman.

Tanpa PAS, tiada lagi orang daripada parti ‘bulan’ memenuhi segenap lapisan kawasan strategik memacak panji PN seperti sering dilihat pada pilihan raya untuk meraih sokongan.

APM selamatkan 'Spider-Man' terjatuh ketika mendaki Bukit Dinding

Sinar Harian

Operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berpakaian kostum Spider-Man cedera selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika mendaki Bukit Dinding di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa dipercayai terjatuh di kawasan cerun berkecuraman hampir 75 darjah ketika sedang melakukan aktiviti pendakian.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Cheras dan Sentul, Mejar Pertahanan Awam Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah Kuala Lumpur menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 5.02 petang.

"Sejurus menerima maklumat, dua pasukan penyelamat termasuk perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS) telah digerakkan ke lokasi kejadian.

"Kenderaan pertama tiba di lokasi pada jam 5.44 petang sebelum operasi menyelamat dimulakan pada jam 5.54 petang,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, pasukan penyelamat terpaksa mendaki bukit sejauh kira-kira satu kilometer mengikut laluan trek sebelum bergerak lebih kurang 70 meter di luar trek bagi sampai ke lokasi mangsa.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter di kawasan cerun yang mempunyai kecuraman sekitar 75 darjah.

"Ketika ditemui, mangsa mengadu mengalami kesakitan pada bahagian tulang belakang dan kaki," katanya.

Menurutnya, operasi menyelamat membabitkan sembilan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur dengan bantuan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) dan sebuah Medical Rescue Vehicle (MRV).

"Mangsa berjaya dibawa turun ke kawasan selamat sebelum diserahkan kepada pasukan EMS untuk rawatan awal.

"Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan dimasukkan ke Zon Resusitasi 2 untuk rawatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.20 petang. - Sinar Harian