Wanita 'culik palsu' diselamatkan kurang 24 jam, polis tahan mangsa dan seorang lelaki

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Polis menyelamatkan seorang wanita berusia lingkungan 20-an yang menjadi mangsa 'penculikan palsu' dalam tempoh kurang 24 jam menerusi Op Scorpion, selepas laporan diterima daripada ibunya yang mendakwa anaknya diculik dengan tuntutan wang tebusan RM18,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk M Kumar berkata, laporan polis diterima oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, Sarawak daripada wanita berusia 43 tahun semalam.

Menurutnya, susulan laporan itu, satu pasukan khas membabitkan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Kontinjen Johor dan Sarawak ditubuhkan bagi melaksanakan operasi menyelamat di sekitar Johor Bahru, lokasi terakhir mangsa dikesan.

"Hasil risikan dan maklumat yang diperoleh, pasukan khas berjaya menyelamatkan mangsa di sebuah rumah di kawasan Taman Perniagaan Setia, Johor Bahru kira-kira jam 3.30 petang hari ini.

"Seorang lelaki berusia 27 tahun turut ditahan di lokasi sama," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod tangkapan lampau iaitu dua kes dadah dan satu kes jenayah.

Katanya, polis turut merampas empat telefon bimbit bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati naratif penculikan yang diberikan mangsa menimbulkan keraguan menyebabkan wanita itu turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dan mangsa akan dibuat esok mengikut Seksyen 12 Akta Penculikan 1961.

"Motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.

"Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau komen yang boleh mengganggu siasatan serta memanipulasi fakta sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat," katanya.

Ahli Parlimen Jasin, isteri cedera dalam kemalangan

AMRAN ALI
KERETA Nissan Teana dipandu Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail yang terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Jelatang, Lebuh AMJ, Alor Gajah awal pagi tadi.
ALOR GAJAH – Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail dan isterinya cedera selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia di persimpangan lampu isyarat Jelatang, Lebuh Alor Gajah – Melaka Tengah – Jasin (AMJ) di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Ahmad Abu Bakar berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 pagi itu, Zulkifli yang memandu Nissan Teana mengalami luka pada kedua-dua tangan, manakala isterinya mengadu sakit dada.

Menurutnya, pemandu Perodua Axia yang merupakan pekerja kilang berusia 30 tahun pula mengalami patah tulang rusuk dan tulang pinggul, sementara tiga lagi penumpang hanya cedera ringan.

“Siasatan awal mendapati Nissan Teana berkenaan sedang meneruskan perjalanan di persimpangan lampu isyarat Jelatang sebelum bertembung dengan Perodua Axia yang datang dari arah Alor Gajah menghala ke Gadek.

“Akibat kemalangan itu, Ahli Parlimen Jasin mengalami kecederaan ringan berupa luka pada kedua-dua tangan, manakala isterinya mengadu sakit di bahagian dada,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah dan Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut.-KOSMO! ONLINE.

Terengganu: Larang cucu keluar rumah, kepala nenek kena tukul besi

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Gara-gara melarang cucu lelaki yang mempunyai masalah kesihatan mental keluar rumah, seorang wanita warga emas cedera parah dibelasah dengan menggunakan tukul besi di Kampung Kuala Abang di sini, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 6.55 petang itu, mangsa yang berusia 79 tahun menjadi kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 25 tahun dikatakan mahu keluar rumah pada lewat petang namun telah dilarang neneknya.

“Ia menyebabkan suspek berang lalu berlaku pertengkaran sebelum dia tiba-tiba bertindak agresif menolak dan memukul neneknya dengan tukul besi.

“Cucu mangsa kemudiannya diberkas polis yang turut menemui tukul besi yang dipercayai digunakan untuk mencederakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Nik Ab. Halim berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai kad pesakit mental dan pernah menerima rawatan di Hospital Dungun di sini.

Beliau berkata, wanita warga emas tersebut telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun dan keadaannya kini dilaporkan stabil. – KOSMO! ONLINE

Bersatu berkeras kekal dalam PN, Gerakan dan MIPP kini tersepit

Elill Easwaran

PETALING JAYA: Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) kini terperangkap dalam situasi sukar, berbelah-bahagi sama ada mahu memihak kepada PAS atau Bersatu di tengah-tengah krisis Perikatan Nasional (PN), menurut penganalisis politik.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata masa depan Bersatu dalam PN tidak boleh ditentukan oleh PAS semata-mata, memandangkan perlembagaan gabungan menuntut konsensus antara parti komponen bagi keputusan besar sedemikian.

Beliau berkata, ketegasan Bersatu untuk kekal dalam PN selari dengan perlembagaan gabungan dan mencerminkan pendirian parti itu bahawa ia tidak seharusnya tunduk kepada tekanan PAS.

Situasi ini, katanya, memberi tekanan kepada Gerakan dan MIPP ketika mereka sedang mempertimbangkan pilihan yang ada dengan teliti.

“Saya rasa Gerakan dan MIPP masih dalam dilema sama ada mahu pilih PAS atau Bersatu,” katanya.

“Dari sudut politik, Bersatu parti yang lebih sesuai untuk bekerjasama kerana sifat kepimpinannya yang sederhana, manakala PAS dilihat memperjuangkan naratif Islam yang tidak akan menarik sokongan bukan Islam.

“Bagaimanapun, dari segi kekuatan, PAS tampil lebih dominan dan boleh bantu Gerakan serta MIPP menang kerusi pada pilihan raya, berbanding Bersatu.”

PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan Bersatu minggu lepas, namun kedua-duanya kekal sebagai komponen PN dan kini sedang merebut tampuk kepimpinan gabungan pembangkang itu.

Hadi sebelum ini berkata, PAS tidak boleh menyingkirkan Bersatu dari PN secara sepihak, walaupun naib presiden parti Islam itu, Ahmad Samsuri Mokhtar, kini pengerusi gabungan.

Presiden PAS itu berkata, sesebuah parti komponen hanya boleh digugurkan sekiranya majoriti daripada empat parti PN bersetuju untuk berbuat demikian.

Pada Selasa, Muhyiddin berkata, Bersatu akan kekal bersama PN walaupun wujud ketegangan, dan bersedia berdepan parti Islam itu ‘dari segenap sudut’.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, cabaran yang lebih mendesak bagi Bersatu mungkin timbul semasa proses penamaan calon untuk PRN Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang.

Menurutnya, semua surat watikah pelantikan calon perlu ditandatangani oleh Samsuri selaku pengerusi PN, sebelum mana-mana calon boleh bertanding menggunakan logo gabungan itu.

Beliau juga berkata, PAS tidak akan berdepan banyak kesukaran sekalipun bertanding menggunakan logonya sendiri, sedangkan Bersatu lebih perlu mengekalkan penjenamaan PN.

“Bersatu terdesak untuk guna logo PN, dan saya rasa itulah sebabnya mereka berkeras mahu kekal dalam gabungan itu,” katanya.

Lelaki disyaki curi wang RM10,000 ditahan, rakaman video tular bantu polis kesan suspek

Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@mediaprima.com.my
PENGHANTAR barang yang tular menyerahkan beg duit seorang wanita warga China sebelum ditahan polis bagi membantu siasatan. FOTO tular
PENGHANTAR barang yang tular menyerahkan beg duit seorang wanita warga China sebelum ditahan polis bagi membantu siasatan. FOTO tular
Kajang: Tindakan seorang penghantar barang dipercayai mencuri wang tunai daripada dompet yang ditemukan di sebuah pasar raya membawa padah apabila dia ditahan polis selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.

Dalam rakaman video tular itu, seorang wanita warga China mendakwa kehilangan dompet yang mengandungi wang tunai RM10,000 ketika berada di sebuah pasar raya di Semenyih.

Wanita berkenaan bertemu seorang lelaki yang mendakwa menemukan dompet terbabit dan memulangkannya, namun lelaki berkenaan menafikan mengambil wang tunai yang dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.37 malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3 petang di sebuah pasar raya di Semenyih sebelum rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat berkaitan insiden itu dikesan tular di TikTok.

"Susulan siasatan dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menahan seorang lelaki berusia 37 tahun pada jam 1 pagi semalam.

"Suspek yang bekerja sebagai penghantar barang direman selama empat hari bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah supaya menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Kawalan IPD Kajang di talian 03-89114243.

Wanita dituduh bunuh warga Indonesia

Bernama
SEPANG, 19 Jun -- Chin Siau Lan, 44, (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warganegara Indonesia awal bulan ini.  Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.  Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai bagi serahan dokumen.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Chin Siau Lan (tengah) didakwa di Mahkamah Majistret Sepang hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warganegara Indonesia awal bulan ini. --fotoBERNAMA
SEPANG: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan membunuh seorang warganegara Indonesia awal bulan ini.

Tertuduh, Chin Siau Lan, 44, didakwa membunuh warganegara Indonesia tersebut di sebuah unit kediaman di Blok B, The Olive, Jalan Sunsuria 1, Bandar Sunsuria, di sini pada kira-kira 2.31 petang, 3 Jun lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya V. Luvithaa manakala tertuduh diwakili peguam V. Ayasamy.

Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 21 Julai bagi serahan dokumen.

-- BERNAMA

Lelaki hilang ditemukan meninggal dunia dalam belukar

Mary Victoria Dass

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki yang dilapor hilang selepas keluar dari rumah di sebuah pangsapuri di Taman Tampoi Utama semalam, ditemui meninggal dunia di kawasan belukar berhampiran Jalan Sutera, Taman Perling di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Amimuzamam Aini berkata, mangsa berusia 37 tahun ditemui dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas pihaknya menerima panggilan pada 1.28 pagi.

Katanya, sejurus panggilan, lapan anggota bersama jentera ke lokasi dan dimaklumkan oleh anggota polis bahawa mangsa dikhuatiri hilang di kawasan belukar berhampiran Jalan Sutera.

“Anggota melaksanakan pemantauan awal bagi menilai keadaan dan risiko, namun operasi pencarian tidak dapat dilaksana segera berikutan keadaan gelap dan tidak selamat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, SAR bermula apabila keadaan cerah, dengan dua pasukan pencarian dibentuk terdiri daripada enam anggota bomba dan empat polis.

“Pencarian bermula dari simpang lokasi kenderaan mangsa (diletakkan) hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Sutera dan kawasan sekitarnya.

“Mangsa kemudian ditemui berhampiran pokok, kira-kira 30 meter dari kenderaan dan disahkan meninggal dunia,” katanya.

Beliau berkata, anggota membawa keluar mayat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sebelum itu katanya, kehilangan mangsa disedari pada 6 petang semalam dan ahli keluarga melaporkan kepada polis kerana bimbangkan keselamatan mangsa.

Difahamkan, ibu mangsa menemui kesan darah di bilik mandi dan bilik mangsa sebelum mendapati dia hilang.

Menurutnya, operasi itu kemudiannya ditamatkan pada 11.08 pagi.

Pelajar jatuh bangunan: Mangsa minta ke tandas sebelum ditemui maut

NUR SHARIEZA ISMAIL

SEREMBAN – Tiada unsur buli atau gangguan lain dikenal pasti dalam kes seorang pelajar perempuan tingkatan empat yang maut dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah menengah di Sendayan, pagi tadi.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, hasil keterangan ibu mangsa, pelajar tersebut hadir ke sekolah pagi tadi dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku.

“Bagaimanapun, saya sudah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS), pejabat pendidikan daerah dan pihak sekolah meneliti kes ini secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar yang membawa kepada kejadian berkenaan,” katanya selepas menziarahi keluarga mangsa bersama Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau malam ini. 

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika sekolah mengadakan program pelaporan pencapaian akademik pelajar yang turut dihadiri ibu bapa.

“Bapa mangsa juga berada di sekolah berkenaan. Takdir menentukan sewaktu bapanya datang ke kelas arwah minta izin keluar kelas untuk ke tandas dan kemudian kemalangan ini berlaku,” katanya. 

Mohd Azam berkata, KPM bersama JPNS akan menyediakan sokongan psikososial kepada ahli keluarga mangsa, rakan sekelas dan guru yang terkesan dengan tragedi itu.

Beliau berkata, keluarga mangsa menerima kejadian itu dengan reda dan berharap orang ramai mendoakan kesejahteraan arwah.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu kira-kira pukul 10.48 pagi sebelum sepasukan pegawai dan anggota polis digerakkan ke lokasi.

“Polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian serta mengenal pasti beberapa individu yang boleh membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Hamzah kembali ke kerusi ketua pembangkang, Muhyiddin beralih tempat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin akan kembali ke kerusi ketua pembangkang di Dewan Rakyat pada Isnin, manakala Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dipindahkan, namun masih di barisan depan.

Menurut aturan tempat duduk terbaharu yang dimuat naik di laman Parlimen, Hamzah akan duduk di tempat yang lazim diduduki ketua pembangkang, menyusuli pengumuman PAS bahawa beliau dipilih semula ke peranan itu.

Kerusi di sebelah pengasas Parti Wawasan Negara itu akan diduduki Pengerusi Perikatan Nasional Ahmad Samsuri Mokhtar, diikuti Presiden PAS Hadi Awang.

Di sebelah Hadi pula timbalan beliau, Tuan Ibrahim Tuan Man, dan diikuti Ronald Kiandee, naib presiden Bersatu yang digantung keahlian.

Pada sidang Dewan Rakyat lalu, Muhyiddin duduk di sebelah Hamzah. Hamzah menggalas peranan ketua pembangkang sehinggalah Bersatu memecat keahliannya.

Pada sidang akan akan datang, bermula Isnin, Muhyiddin dan sekutunya rapat, Naib Presiden Radzi Jidin, akan duduk bersebelahan.

PAS menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu awal bulan ini, walaupun kedua-dua parti kekal sebagai komponen PN.

Hadi kemudian mengumumkan PAS bersetuju untuk meneruskan Hamzah sebagai ketua pembangkang, seleaps mendapatkan maklum balas Ahli Parlimen PAS serta wakil rakyat yang dikaitkan dengan bekas timbalan presiden Bersatu itu.

Samsuri kekal sebagai pengerusi PN. Sebelum ini Samsuri dipilih untuk menjadi ketua pembangkang, bulan lepas, namun tidak sempat melaksanakan tugas itu memandangkan Dwan Rakyat belum bersidang.

Semalam, Ketua Whip PN Takiyuddin Hassan, memaklumkan kepada Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, bahawa 61 Ahli Parlimen pembangkang bersetuju melantik Hamzah sebagai ketua pembangkang.

Pelajar tingkatan satu dicekik rakan berebut tempat duduk

MOHD. FAHMI ISMAIL

KUALA LUMPUR – Seorang pelajar tingkatan satu dipercayai menjadi mangsa gangguan fizikal selepas dicekik rakannya susulan perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin sebuah sekolah di Cheras pada April lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 16 April lalu.

Menurutnya, siasatan mendapati insiden berlaku di hadapan koperasi sekolah dan berpunca daripada perselisihan faham mengenai tempat duduk di kantin antara mangsa dengan suspek yang juga pelajar lelaki tingkatan satu.

“Suspek bertindak mencekik leher mangsa dari arah belakang selain melakukan provokasi secara lisan terhadap mangsa. Mangsa kemudian dirujuk ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras untuk mendapatkan rawatan pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihak sekolah telah mengadakan mesyuarat jawatankuasa tiga pihak melibatkan polis, pihak sekolah dan penjaga pada 20 April lalu.

“Hasil mesyuarat tersebut, suspek telah dikenakan tindakan amaran serta penggantungan persekolahan oleh pihak sekolah. Kes kini telah selesai melalui tindakan pihak sekolah dan semua pihak yang terlibat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Remaja didakwa rogol wanita berusia 61 tahun

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki berusia 19 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sandakan atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 61 tahun.

Alimanja Arioski, seorang warga asing, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Sandakan, Sabah pada 21 Mac, lapor Harian Metro.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun, dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Alimanja. Hakim Roslinda Razali menetapkan 27 Julai untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan mangsa.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Jasmin Walter, manakala Alimanja tidak diwakili peguam.

Semalam, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun dan lapan sebatan ke atas Alimanja, selepas mendapati dia bersalah merompak dan mencederakan terhadap mangsa dalam kejadian sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 21 Mac, dan dia dirujuk kepada imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Terima kasih PAS kerana pecah belahkan PN - Ramasamy

Malaysiakini

Dalam satu tempelak sinis terhadap PAS, pengerusi Urimai P Ramasamy “mengucapkan terima kasih” kepada parti Islam itu kerana memecahbelahkan perpaduan gabungan Perikatan Nasional (PM).

Bekas pemimpin DAP yang keluar parti itu juga mengaitkan tindakan PAS dengan perasaan cemburu terhadap kekuatan politik Bersatu yang semakin meningkat.

Ramasamy berkata jika PN mengukuhkan diri sebagai blok pembangkang yang bersatu, gabungan itu mempunyai peluang cerah untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun, Ramasamy menyatakan bahawa presiden PAS Abdul Hadi Awang tidak dapat melihat peluang itu, yang akhirnya menjadi tamparan hebat kepada PN.

“Bak kata pepatah, sejarah tercipta bukan dalam keadaan yang kita pilih sendiri, tetapi apabila peluang datang pada saat yang tepat.

“Malangnya, PAS dengan segala retorik politiknya, gagal memahami intipati politik yang penting untuk kemenangan pilihan raya.

“Kesan daripada pemutusan hubungan dengan Bersatu, kini diragui sama ada pembangkang yang dipimpin oleh PAS boleh membuat impak besar dalam politik negara.

“Ada kemungkinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengucapkan tahniah kepada kepimpinan PAS kerana berjaya melakukan sesuatu yang tidak mampu dicapai oleh Pakatan Harapan sendiri,” kata Ramasamy dalam kenyataan hari ini.

Urimai ialah sebahagian daripada Ikatan Prihatin Rakyat, sebuah pakatan longgar yang sejajar dengan presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Pada 9 Jun, PAS menamatkan hubungan politik dengan Bersatu.

Susulan itu, pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar menggugurkan naib presiden Bersatu Radzi Jidin sebagai pengarah pilihan raya PN dan menggantikannya dengan pengarah pilihan raya PAS Sanusi Nor.

Setiausaha agung Bersatu Azmin Ali juga digugurkan sebagai timbalan setiausaha agung PN.

PAS juga menyelaraskan dirinya dengan Parti Wawasan Negara, yang dipimpin oleh bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin, serta mahu mengangkat anggota parlimen Larut kembali sebagai ketua pembangkang.

Mengkritik pembersihan pemimpin Bersatu daripada kepimpinan PN dan pelantikan semula Hamzah, Ramasamy menuduh PAS gagal mengambil perspektif nasional dalam politik.

Sebaliknya, dia berkata PAS memilih untuk mendasarkan kekuatan politiknya pada segelintir negeri sahaja.

“Ia tersalah congak keperluan politik yang diperlukan untuk pandangan yang lebih luas dan inklusif.

“Sekiranya PAS mempunyai orientasi politik nasional yang sebenar, ia sepatutnya boleh memperbaiki hubungan dengan Bersatu,” katanya.

Bagaimanapun, Ramasamy mengingatkan pengkritik supaya tidak memandang rendah masa depan politik Bersatu.

Tanpa perlu berhadapan dengan PAS, dia berkata Bersatu kini mempunyai peluang untuk meluaskan pengaruh politiknya.

“Politik bukan bersifat satu dimensi; ia adalah tentang bangkit daripada kemelesetan dengan kekuatan dan semangat baru.

“Dalam hal ini, Bersatu yang bebas daripada beban PAS, berkemungkinan besar akan muncul sebagai sebuah parti politik yang berbeza secara kualitatif daripada sebelumnya,” tambahnya.

Ketegangan PAS-Bersatu mungkin lebur harapan Sanusi ‘sapu bersih’ Kedah

Predeep Nambiar

PETALING JAYA: Keyakinan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor bahawa Perikatan Nasional (PN) mampu menyapu bersih kesemua 36 kerusi pada PRN akan datang mungkin akan tergugat akibat perbalahan berterusan antara PAS dan Bersatu.

Minggu lepas, PAS memutuskan hubungan dengan Bersatu, mendakwa parti itu gila kuasa serta mengabaikan perpaduan Melayu-Islam. Sebagai respons, Bersatu berikrar melawan PAS habis-habisan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, walaupun PAS kekal menjadi kuasa politik dominan di Kedah, ketegangan berterusan dalam hubungan parti itu dengan Bersatu boleh menjejaskan imej PN sebagai sebuah gabungan yang padu.

Beliau memberi amaran, konflik tersebut boleh mengakibatkan pertindihan calon, mengelirukan pengundi dan mungkin menyaksikan PN kehilangan sokongan Bersatu di beberapa kawasan.

Awang Azman berkata, kemenangan bersih akan bergantung kepada sokongan pengundi yang berterusan, kelemahan pihak lawan dan jentera parti yang kuat, tanpa sebarang perpecahan dalaman timbul dalam gabungan itu.

Bagaimanapun, katanya keputusan yang lebih realistik di Kedah adalah PAS dan PN mengekalkan penguasaan mereka, manakala pakatan Pakatan Harapan-Barisan Nasional akan lebih tertumpu pada usaha mengurangkan majoriti besar gabungan tersebut.

“Dakwaan Sanusi itu berasas, tetapi untuk capai keputusan 36-0 adalah sangat sukar,” katanya.

Menurutnya, prestasi PN pada 2023 telah memberi Sanusi modal politik yang besar, dengan PAS menang semua 21 kerusi ditandingi, Bersatu meraih 11 kerusi, dan Gerakan satu kerusi.

Jumaat lalu, Sanusi berkata, beliau yakin PN mampu menang semua 36 kerusi di Kedah pada PRN akan datang. Pada 2023, PN menang 33 kerusi, manakala PH memperoleh baki tiga kerusi.

Untuk mencapai kemenangan bersih, PN perlu merampas kerusi yang dipegang oleh PH, iaitu Sidam, Bakar Arang dan Kota Darul Aman, yang kekal di tangan pembangkang selepas PRN 2023.

Naib Presiden Bersekutu Asia Group, Asrul Sani, berkata landskap politik telah berubah sejak 2023, dengan PN tidak lagi bergerak dengan tahap perpaduan yang sama.

Katanya, ketegangan PAS-Bersatu dan kemunculan Wawasan boleh menjejaskan pemilihan calon, penyelarasan jentera, malah meningkatkan risiko sabotaj dalaman.

Asrul berkata, kemenangan PN pada 2023 sebahagiannya didorong oleh ‘gelombang hijau’ dan undi protes anti-Umno yang disalurkan melalui Bersatu, walaupun PAS kekal sebagai kekuatan utama jentera pilihan raya gabungan itu.

“Tanpa jentera PAS, gelombang itu tidak akan dapat diterjemahkan kepada (kemenangan) kerusi dengan begitu berkesan,” katanya.

Asrul berkata, satu lagi kemenangan besar PN masih keputusan yang paling berkemungkinan berlaku, walaupun kemenangan bersih 36-0 ‘boleh terjadi, tetapi tidak semestinya berlaku’.

Pemandu Toyota Camry lawan arus tersepit selepas bertembung lori

ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
KEMALANGAN melibatkan sebuah kereta yang melawan arus dan sebuah lori di Kilometer 54.7 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak di Bentong malam, semalam.
BENTONG – Gara-gara dipercayai memandu melawan arus, seorang lelaki cedera selepas kereta jenis Toyota Camry yang dipandunya melanggar lori di Kilometer (KM) 54.7, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak di sini, semalam.

Sebuah video tular memaparkan kereta yang dipandu laju lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu melawan arus sebelum melanggar bahagian hadapan lori yang berada di lorong kanan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bentong, Syed Moshen T. Ismail berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 9.20 malam dan kemalangan melibatkan lori jenis Isuzu dengan kereta Toyota Camry.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tersepit di dalam kereta. Pihak bomba mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alat pemotong hidraulik dan unit kuasa,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki diserahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut.

Dalam pada itu, katanya, kesesakan teruk yang berpunca akibat tindakan pemandu berhenti untuk melihat kejadian menghalang kelancaran pergerakan jentera bomba ke lokasi kejadian. Jentera tersebut tiba di lokasi pada pukul 10.03 malam.

Tambah beliau, anggota bomba terpaksa turun dari jentera dan berjalan sejauh 200 meter dengan membawa peralatan menyelamat selain meminta pemandu lori mengalihkan kenderaan masing-masing.

Mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pada pukul 10.29 malam dan operasi menyelamat tamat pada pukul 10.56 malam. – KOSMO! ONLINE

Pelajar mengaku ajak ibu buat aksi tak senonoh selepas tonton video lucah

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my

Batu Pahat: Seorang pelajar lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan serta kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya.

Tertuduh yang berusia 17 tahun membuat pengakuan itu sebaik kedua-dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan dengan menyuruh ibu kandungnya berusia 43 tahun 'membuat sesuatu' terhadapnya di sebuah rumah dalam daerah ini, jam 5 petang, 1 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat kelucahan melampau terhadap ibunya dengan kesemua perbuatan ini berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.

Dia dakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Berdasarkan laporan, pada jam 4.30 petang hari kejadian, tertuduh didakwa menonton video lucah dalam bilik tidurnya yang menyebabkan dia terangsang.

Disebabkan gagal mengawal diri, tertuduh mencari ibunya yang sedang mandi dalam bilik air. Tertuduh kemudiannya mengetuk pintu bilik sambil meminta ibunya membuka.

Sebaik membuka pintu, ibunya mendapati tertuduh menanggalkan seluarnya dan meminta wanita itu 'melakukan sesuatu'.

Wanita itu terkejut lalu memasuki semula bilik air dan mengunci dari dalam. Oleh kerana bimbang dengan aksi kelucahan melampau anaknya, wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Susulan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 19 Ogos ini bagi perbentangan laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500, namun gagal membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.

Wanita OKU, 21 tahun hilang sejak 2019 ditemui di Langkawi, rupanya kahwin warga asing etnik Rohingya

Dilapor hilang sejak 2019, rupanya kahwin warga asing

NUR AMALINA AZMAN

LANGKAWI – Seorang wanita yang dilaporkan hilang oleh keluarganya di Johor sejak 2019 ditemukan menetap di pulau ini dengan dia mendakwa telah berkahwin dengan warga asing.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Samsulmudin Sulaiman berkata, bertindak atas maklumat orang awam, pihaknya melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Helang Perdana, Kuah dekat sini kira-kira pukul 11 malam.

“Hasil pemeriksaan mendapati rumah tersebut didiami seorang wanita berusia 21 tahun bersama seorang anak. Pemeriksaan lanjut mendapati wanita terbabit masih tersenarai sebagai orang hilang berdasarkan laporan polis yang dibuat di Majidee, Johor pada 2019,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, wanita itu mendakwa telah berkahwin dengan seorang warga asing, namun suaminya tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan.

“Dia juga mengaku meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru dan menetap di Langkawi. Pihak polis telah memaklumkan penemuan wanita terbabit kepada keluarganya,” ujarnya

Terdahulu, tular di media sosial satu hantaran yang mendakwa seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dari Johor dilaporkan hilang sejak beberapa tahun lalu dan dipercayai dibawa lari oleh seorang warga asing etnik Rohingya ke Langkawi. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Warga emas didakwa rogol cucu perempuan 12 tahun

Nor Fazlina Abdul Rahim
Warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tuduhan merogol cucu perempuan berusia 12 tahun – Foto NSTP
KOTA BHARU: Warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan merogol dan melakukan jenayah seksual ke atas cucu perempuan berusia 12 tahun di Bachok pada Januari hingga awal Jun ini.

Tertuduh berusia 79 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, warga emas itu didakwa merogol cucunya tanpa kerelaan di rumah di Bachok antara 8.28 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 11 Januari sehingga 4 Jun 2026.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan Akta 574 yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada jaminan ditawar kepada tertuduh selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang juga kanak-kanak bawah umur.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Wanita hilang di Johor sejak 2019 ditemukan selamat di Langkawi

Bernama

Seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak 2019 selepas meninggalkan kediaman keluarganya di Johor Bahru ditemukan dalam keadaan selamat di sebuah rumah di Taman Helang Perdana, Kuah, malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Langkawi Supt Samsulmuddin Sulaiman berkata terdahulu sepasukan anggota polis bertindak membuat pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira 11 malam semalam selepas menerima maklumat daripada orang awam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita berusia 21 tahun menetap di rumah tersebut bersama seorang anak.

"Pemeriksaan lanjut berdasarkan rekod orang hilang mendapati wanita berkenaan masih tersenarai sebagai individu hilang susulan laporan polis yang dibuat di Majidee, Johor pada 2019.

"Wanita terbabit mengaku keluar meninggalkan rumah keluarganya di Johor Bahru sebelum menetap di Langkawi. Wanita itu juga mendakwa telah berkahwin dengan seorang warga asing, namun suaminya tiada di rumah ketika pemeriksaan dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihak keluarga wanita berkenaan juga telah dimaklumkan mengenai penemuan itu.

Kisah penemuan wanita itu turut tular menerusi media sosial hari ini.

- Bernama

Kelantan: Remaja 15 tahun dirogol, disamun ketika berjoging di Tumpat

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang remaja berusia 15 tahun dilaporkan menjadi mangsa rogol selepas dipukul dan disamun suspek tidak dikenali ketika sedang berjoging di Palekbang, di Tumpat, Kelantan semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa ditemui terbaring di kawasan semak berhampiran tali air selepas keluar rumah untuk beriadah pada 7 pagi, lapor Sinar Harian.

Ketua Polis Tumpat, Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipukul di bahagian muka dan kepala menggunakan sebatang kayu oleh suspek.

“Mangsa turut dipercayai dirogol di lokasi dia dipukul selain telefon bimbitnya dilarikan suspek.

“Mangsa dibawa ke Hospital Tumpat untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu bagi mendapatkan rawatan lanjut daripada pakar,” katanya.

Khairi berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun hingga menyebabkan kecederaan.

Beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Zulazri di talian 011-11486922 atau 011-11486922 bagi membantu siasatan.

Undang Yang Empat arah khutbah Jumaat doakan Tunku Nadzaruddin

Haspaizi Zain

Krisis institusi adat dan Perlembagaan Negeri Sembilan berhubung pemasyhuran Yang di-Pertuan Besar yang baru membawa kepada arahan Undang Yang Empat supaya khutbah Jumaat mendoakan Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar.

Sabda arahan itu dikeluarkan Undang Yang Empat serta Tunku Besar Tampin kepada Mufti Negeri Sembilan, Faudzinaim Badaruddin bertarikh 9 Jun lalu.

Berdasarkan surat yang dihantar kepada mufti, arahan berkenaan membabitkan masjid-masjid dalam kawasan Luak Sungai Ujong; Luak Jelebu; Luak Johol; Luak Rembau dan Wilayah Tampin.

"Oleh yang demikian, berdasarkan kepada Perkara 181 (1) Perlembagaan Persekutuan serta prerogatif kami selaku Ketua Agama dalam Luak dan Wilayah kami, maka dengan ini mensabdakan untuk YB Sahibus Samahah mengarahkan Kadi-Kadi dalam Luak dan Wilayah kami untuk mendoakan DYMM Tuanku Nadzaruddin ibni Almarhum Tuanku Jaafar, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-12 dalam khutbah kedua solat Jumaat berkuatkuasa serta merta.

"Kerjasama serta perhatian YB Sahibus Samahah dalam perkara ini amatlah kami hargai dan didahului dengan ucapan terima kasih jua. Sekian," kata surat berkenaan.

Peguam kepada Undang Luak Jelebu, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mengesahkan surat berkenaan telah dihantar kepada mufti.

Bagaimanapun dia tidak dapat mengesahkan arahan itu dilaksanakan di masjid-masjid berkenaan.

Pada 5 Jun lalu, Tunku Nadzaruddin dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.

Pemasyhuran berkenaan diisytiharkan oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.

Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja Azizi Mohamad Ali kemudian mengumumkan istiadat pemasyuran itu tidak sah serta tidak diiktiraf dari sudut perlembagaan, undang-undang dan adat istiadat Negeri Sembilan.

Dia berkata tindakan Tunku Nadzaruddin itu dengan sendirinya telah melepaskan Gelaran Pusaka Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan yang sebelum ini disandangnya.

Sementara itu, Faudzinaim mengesahkan surat berkenaan dihantar ke pejabat Mufti Negeri Sembilan.

Dia berkata perkara itu di luar bidang kuasanya, sebaliknya ia di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sembilan.

"Perkara tersebut adalah di luar bidang kuasa jabatan mufti. Ia di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan komen Jabatan Agama Islam Negeri berhubung perkara ini.

Krisis adat dan institusi beraja di Negeri Sembilan bermula pada 17 April lalu apabila Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) di Istana Besar Seri Menanti mengesyorkan agar Mubarak Dohak ditamatkan perkhidmatan sebagai Undang Luak Sungai Ujong.

Sebanyak 33 alasan pelanggaran adat dikemukakan bagi menyokong tindakan tersebut.

Berikutan itu Undang Yang Empat mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar dan cuba menabalkan Tunku Nadzaruddinsebagai pengganti.

Mereka juga menuntut Menteri Besar, Aminuddin Harun meletakkan jawatan kerana didakwa gagal melaksanakan keputusan Undang yang empat.

Kedah: Lelaki Rohingya beli kereta RM2,000, pemilik asal sudah meninggal dunia

NORLIDA AKMAR IDROS
Seorang lelaki Rohingya yang ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam mendakwa membeli sebuah kereta jenis Kia Sephia pada harga RM2,000 daripada rakan senegaranya.
GURUN – Seorang lelaki Rohingya yang ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini semalam mendakwa membeli sebuah kereta jenis Kia Sephia pada harga RM2,000 daripada rakan senegaranya.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika memandu kereta tersebut dalam Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) di Kilometer 2, Jalan Guar Nenas-Gurun kira-kira pukul 6.13 petang.

Pengarah JPJ Kedah, Stien Van Lutam berkata, hasil pemeriksaan mendapati warga asing terbabit gagal mengemukakan lesen memandu yang sah, selain kenderaan berkenaan tidak mempunyai perlindungan insurans dan cukai jalan yang telah tamat tempoh sejak Mac 2023.

“Semakan lanjut mendapati pemilik berdaftar kereta itu telah meninggal dunia dan siasatan awal percaya kenderaan tersebut dijual kepada warga asing terbabit tanpa urusan pertukaran hak milik yang sah.

“Difahamkan, lelaki Rohingya itu membeli kereta berkenaan daripada rakannya yang juga etnik Rohingya pada harga RM2,000. Dia turut mendakwa rakannya membeli kereta tersebut daripada seorang lelaki Melayu yang tidak diketahui sama ada waris kepada pemilik asal atau sebaliknya,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, warga asing yang bekerja sebagai tukang rumah itu mendakwa dia dan rakannya dalam perjalanan pulang ke rumah di Gurun selepas selesai bekerja.

“Pihak kami mengeluarkan 13 notis saman kepada pemandu atas pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki lesen memandu yang sah, manakala seorang penumpang dikenakan satu notis saman kerana tidak memakai tali pinggang keledar,” ujarnya.

Tambahnya, kereta berkenaan turut disita dan dibawa ke Depoh Sita JPJ berikutan pelbagai pelanggaran undang-undang jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Cuba rogol bekas teman wanita, tukang kebun dipenjara empat tahun, tiga sebatan

KOSMO!
Sesyen Ipoh hari ini bagi menghadapi pertuduhan cuba merogol bekas teman wanitanya dalam kejadian yang berlaku minggu lalu.
IPOH – Seorang tukang kebun yang sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Batu Gajah atas pertuduhan membunuh seorang lelaki, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh, kali ini atas pertuduhan cubaan merogol bekas teman wanitanya.

Tertuduh, Mohammad Farizzal Fazly Mohd. Zulkifly, 30, bagaimanapun mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan cubaan merogol ke atas seorang wanita berusia 25 tahun di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga Iswara di kawasan kebun kelapa sawit di Seberang Perak, Kampung Gajah pada pukul 5 pagi, 10 Jun 2026.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Mohammad Farizzal Fazly yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah agar menjatuhkan hukuman paling ringan terhadapnya.

“Saya bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di Batu Kikir, Negeri Sembilan dengan gaji RM1,500 sebulan. Ayah bekerja kampung manakala ibu seorang suri rumah. Saya anak kedua daripada sembilan beradik. Saya mohon hukuman yang paling ringan, tempoh penjara yang singkat dan sebatan pada kadar minimum. Saya benar-benar insaf dan menyesal atas perbuatan saya,” katanya.

Hakim Jean Sharmila kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkap pada 11 Jun lalu selain dikenakan tiga sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun sebaik sahaja selesai menjalani hukuman penjara serta mengikuti sesi kaunseling pemulihan sepanjang tempoh pemenjaraannya.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret Batu Gajah, tertuduh turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Muhammad Fahmi Abdullah, 29.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 Julai depan untuk sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan laporan bedah siasat. – KOSMO! ONLINE

Samsuri henti khidmat Radzi Jidin, Azmin

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Ahmad Samsuri Mokhtar mengumumkan beliau menghentikan khidmat pemimpin Bersatu, Radzi Jidin dan Azmin Ali, berkuat kuasa serta-merta.

Samsuri berkata ‘penstrukturan semula’ pentadbiran PN ini bagi tujuan menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Radzi merupakan ketua pengarah pilihan raya manakala Azmin pula timbalan setiausaha agung, sebelum pengumuman ini.

“Radzi telah diberhentikan perkhidmatan, dan digantikan dengan Sanusi Nor. Azmin telah diberhentikan perkhidmatan bagi memenuhi kehendak perlembagaan PN,” menurut kenyataan.

Pemberita menerima kenyataan ini selepas mesyuarat Ahli Parlimen pembangkang di ibu pejabat PAS, malam tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRN Johor pada 11 Julai manakala 1 Ogos bagi PRN Negeri Sembilan.

Sebelum ini, Sanusi merupakan bendahari PN. Beliau juga ketua pengarah pilihan raya PAS. Bagi mengisi kekosongan bendahari, Samsuri mengumumkan pelantikan Subramaniam Surunaryan dari Parti Rakyat India Malaysia.

“Satu mesyuarat tergempar majlis tertinggi PN akan diadakan dalam masa terdekat bagi memperkukuh organisasi PN,” kata Samsuri.

Radzi merupakan pemangku timbalan presiden Bersatu, manakala Azmin adalah setiausaha agung.

Hamzah Zainudin: Parti baharu dah daftar cuma tukar nama

Faiz Zainudin

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin menafikan dakwaan bahawa parti baharunya Parti Wawasan Negara (Wawasan) tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Hamzah berkata beliau mengambil alih parti yang sudah diluluskan pendaftarannya dengan JPPN cuma nama sahaja ditukar.

“Saya ambil alih parti, (cuma) nama sahaja ditukar,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri pertemuan bersama Ahli Parlimen Pembangkang di Ibu Pejabat PAS.

Beliau mengulas dakwaan termasuk oleh pemimpin Bersatu yang mengatakan Wawasan yang diumumkan minggu lalu sebagai parti ‘scam’ kerana ia belum berdaftar dengan JPPM.

Sabtu lalu, Hamzah mengumumkan beliau menyertai sebuah parti baharu, dikenali sebagai Parti Wawasan Negara.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, beritahu FMT bahawa Hamzah mengambil alih sebuah parti, namun tidak mendedahkan nama asal.

Bersatu memecat keahlian Hamzah pada Februari susulan kemelut dengan Presiden Muhyiddin Yassin. Perkembangan itu disusuli dengan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin parti dan wakil rakyat yang dikaitkan dengan Hamzah.

Sehari selepas pemecatan, bekas timbalan presiden Bersatu itu melancarkan gerakan ‘Reset’, yang mengadakan konvensyen pertama Sabtu lalu.

Budak 14 tahun rompak bersenjata gerai air limau

Agensi
TANGKAP layar daripada video menunjukkan dua suspek berkenaan beberapa kali melalui sebuah gerai jualan air limau sebelum melakukan rompakan, pada 10 Jun lalu. Foto Jabatan Polis Boston
TANGKAP layar daripada video menunjukkan dua suspek berkenaan beberapa kali melalui sebuah gerai jualan air limau sebelum melakukan rompakan, pada 10 Jun lalu. Foto Jabatan Polis Boston
Boston: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun didakwa atas dua pertuduhan rompakan bersenjata selepas mengacukan sepucuk pistol ketika merompak gerai jualan air limau kanak-kanak di Boston, 10 Jun lalu, , lapor New York Times.

Remaja itu turut berdepan dua pertuduhan memiliki senjata api secara haram selepas ditahan Jabatan Polis Boston di Boston Selatan, Jumaat minggu lalu.

Menurut media tempatan, pihak berkuasa tidak mendedahkan identiti remaja terbabit kerana dia masih di bawah umur.

Difahamkan, jenayah itu mencetuskan kemarahan orang ramai di seluruh bandar kerana menyasarkan gerai jualan air limau di tepi jalan yang menjadi tradisi musim panas bagi ramai kanak-kanak.

Menurut penyiasat dan ahli keluarga mangsa, remaja itu bersama seorang rakan subahat sudah lama memerhatikan gerai yang dikendalikan dua beradik, Juliette Byrne, 11, dan David Byrne, 12, selepas waktu persekolahan.

Polis berkata, kedua-dua suspek menghampiri mangsa dan bertanya sama ada gerai itu menerima pembayaran menggunakan Apple Pay sebelum merampas sebuah kotak berkunci berwarna merah jambu yang mengandungi wang tunai.

Dalam pada itu, ibu saudara kepada dua kanak-kanak itu, Tiffany Byrne berkata, kira-kira AS$80 (kira-kira RM325) dicuri dalam kejadian berkenaan.

Penyiasat berkata, salah seorang suspek kemudian memperlihatkan sepucuk senjata api berwarna hitam yang diselitkan pada bahagian pinggangnya sebelum kedua-dua mereka melarikan diri.

Rakaman kamera keselamatan rumah yang dikeluarkan penyiasat menunjukkan suspek memakai topeng ketika melarikan kotak berkunci berkenaan.
-hmetro

Dua pekerja parah, lif terhempas di hotel Melaka

Shuhada Abdul Kadir
lif runtuh, Melaka - JBPM
Mangsa diselamatkan dan diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital. - Gambar/ JBPM
MELAKA: Dua pekerja warga India parah dalam insiden lif terhempas dari tingkat tujuh di sebuah hotel di Jalan Syed Abdul Aziz, di sini, pada Rabu.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.55 pagi itu melibatkan dua lelaki berusia 27 tahun yang berada di dalam ruang lif berkenaan ketika kerja-kerja pembaikan dijalankan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum menggerakkan sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Melaka Tengah ke lokasi kejadian.

Menurut beliau, pasukan yang tiba kira-kira lima minit kemudian mendapati kedua-dua mangsa masih terperangkap selepas lif berkenaan dipercayai jatuh dari tingkat tujuh.

“Operasi menyelamat segera dijalankan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum kedua-duanya berjaya dibawa keluar dari runtuhan lif tersebut.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi itu turut melibatkan tiga petugas KKM serta dua anggota polis.

Operasi kemudian berjaya dikawal pada jam 1 petang sebelum ditamatkan sepenuhnya dua minit kemudian.

Berang tambang RM15, polis Thailand didakwa tembak mati dua penunggang motosikal

Astro AWANI
TB_BANGKOK THAILAND TEMBAK POLIS_SOSIAL MEDIA
Antara pertuduhan dikenakan termasuk membunuh dengan niat, cubaan membunuh serta membawa senjata api di tempat awam tanpa kebenaran atau keperluan munasabah. -Video tular
BANGKOK: Seorang anggota Polis Pengawal Sempadan Thailand berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Jenayah atas pertuduhan menembak mati dua penunggang motosikal sewa dalam satu pertikaian tambang di daerah Din Daeng, awal pagi Ahad.

Suspek, Lans Koperal Polis Namthap Phakwattana, dibawa ke mahkamah pada Isnin untuk menghadapi pertuduhan tambahan selepas mangsa kedua meninggal dunia akibat kecederaan parah, lapor media tempatan.

Antara pertuduhan dikenakan termasuk membunuh dengan niat, cubaan membunuh serta membawa senjata api di tempat awam tanpa kebenaran atau keperluan munasabah.

Pihak penyiasat membantah sebarang permohonan jaminan atas alasan keseriusan kes serta risiko suspek melarikan diri.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 pagi apabila suspek menghampiri sekumpulan penunggang motosikal sewa di kawasan Din Daeng untuk ke Makkasan.

Pertengkaran tercetus selepas suspek tidak berpuas hati dengan kadar tambang sebanyak 120 baht (kira-kira RM15).

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek diserang terlebih dahulu sebelum melepaskan beberapa das tembakan menggunakan pistol SIG Sauer 9mm miliknya.

Seorang mangsa berusia 37 tahun maut di tempat kejadian akibat beberapa kesan tembakan, manakala mangsa kedua meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.

Seorang lagi mangsa terselamat tetapi mengalami kecederaan parah pada kaki.

Keluarga suspek memaklumkan beliau mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang menerima rawatan.

Terengganu: Pekerja mengadu sakit dada maut di pelantar minyak

NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN

DUNGUN – Seorang pekerja pelantar minyak meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di Pelantar Minyak Guntung-Delta terletak berhampiran perairan Dungun dekat sini maut.

Lelaki berusia 44 tahun itu dijumpai tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik di pelantar minyak terbabit pada pukul 7.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Nik Ab. Halim Nik Mat berkata, mangsa telah diberi bantuan awal pernafasan (CPR) oleh petugas perubatan pelantar minyak terbabit sebelum dikejarkan ke hospital dengan menaiki sebuah helikopter.

Beliau berkata, begitupun, lelaki tersebut telah disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada pukul 11.20 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa dikatakan telah mengadu tidak selesa pada bahagian dada pada pukul 6 pagi.

“Setakat ini, kematiannya diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR) dan mayat telah dibawa ke unit forensik hospital sama untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE

PRN Johor penentu naratif menuju PRU16

FMT Reporters

PETALING JAYA: PRN Johor akan menentukan naratif menuju PRU16, peluang untuk pengundi menyatakan politik kerja mengatasi politik berasaskan sentimen.

Ahli majlis pimpinan PKR, Yuneswaran Ramaraj, berkata rakyat Johor tidak lagi sekadar penonton sebaliknya ‘hakim’ yang menilai berdasarkan prestasi, dasar, kemampuan dan integriti.

Ahli Parlimen Segamat ini berkata politik retorik tanpa pelaksanaan semakin hilang nilai ketika era politik berteraskan kerja, keberhasilan dan penyelesaian sedang mengambil tempat.

“Pengundi hari ini semakin mengutamakan calon yang mempunyai orientasi perkhidmatan, mudah diakses, aktif membantu masyarakat serta mampu menjadi jambatan penyelesian antara rakyat dan kerajaan.

“Dalam PRN Johor ini, persoalan besar bukan lagi siapa paling lantang bercakap tetapi siapa paling mampu bekerja untuk rakyat,” katanya di Facebook.

Timbalan menteri perpaduan negara ini menulis demikian selepas mengunjungi bilik gerakan di DUN Pemanis, di mana beliau bertemu jentera PKR.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Johor pada 27 Jun, manakala hari pengundian pula pada 11 Julai selepas DUN dibubarkan pada 1 Jun.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dan sebelum pembubaran, Barisan Nasional menguasai 40 kerusi diikuti PH 12, Perikatan Nasional tiga, manakala Muda satu.

Pesawat terhempas dan terbakar di lebuh raya

KOSMO!
ORANG awam bergegas ke arah bangkai pesawat yang sedang terbakar untuk menyelamatkan penumpang yang terperangkap di dalamnya. - Zayra Garza/NBC
TEXAS –  Sebuah pesawat perniagaan yang membawa enam orang penumpang telah terhempas dan terbakar di sebuah lebuh raya di Laredo, Texas, lapor portal berita CBS News.

Kejadian itu mengorbankan seorang mangsa dan mencetuskan keadaan huru-hara apabila orang ramai keluar dari kenderaan masing-masing untuk cuba memecahkan tingkap kokpit dengan cemas bagi membebaskan mangsa di dalam.

Dua individu kelihatan berlari membawa tukul besi dan penyodok, yang digunakan untuk menghentam cermin kokpit dan cuba untuk membuka pintu pesawat.

Penyiasat dari Jabatan Polis Laredo, Jose Baeza berkata, pesawat tersebut terhempas di lebuh raya Loop 20 berhampiran sempadan Texas-Mexico pada  jam 10 malam (waktu tempatan), 

Setakat ini, masih tidak jelas sama ada mangsa yang maut itu berada di dalam pesawat atau di atas jalan raya.

Rakaman kamera papan pemuka yang dimuat naik di media sosial menunjukkan pesawat tersebut menggelongsor laju di lebuh raya dan melanggar tiang lampu sebelum berhenti. 

Pesawat itu terhempas tidak jauh dari Lapangan Terbang Antarabangsa Laredo.

“Ia kelihatan seperti sebahagian daripada babak filem. Saya sangat terkejut,” kata Zayra Garza, seorang pakar kecantikan yang sedang memandu untuk menghantar rakan sekerjanya pulang apabila dia terserempak dengan nahas tersebut. – AGENSI

PN boleh terbubar jika PAS-Bersatu terus bertelagah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Jenama Perikatan Nasional (PN) berisiko terbubar jika kemelut antara PAS dan Bersatu gagal diselesaikan secara menang-menang, kata Ketua Penyelidik Ilham Centre Yusri Ibrahim.

Beliau berkata, krisis melanda gabungan pembangkang itu kini memasuki fasa ‘perang gerila’, dengan kedua-duanya mempunyai kelebihan tersendiri dalam mempertahankan kedudukan masing-masing.

Katanya, PAS mempunyai kelebihan kerana memegang jawatan pengerusi dan setiausaha agung PN, merujuk Ahmad Samsuri Mokhtar serta Takiyuddin Hassan, sekali gus memiliki autoriti menandatangani watikah calon pilihan raya gabungan itu.

Bagaimanapun, katanya Bersatu pula berkelebihan dari sudut memahami kerangka perundangan PN kerana parti itu bertanggungjawab menyediakan draf perlembagaan gabungan dan memahami kuasa majlis tertinggi serta presiden.

“Keputusan menyingkir Bersatu daripada PN, menerima Reset (Parti Wawasan Negara pimpinan Hamzah Zainudin) sebagai anggota dan memuktamadkan senarai calon pilihan raya, semuanya terpandu dalam perlembagaan PN.

“Sebarang proses dan keputusan disifat dan ditafsir sebagai pelanggaran terhadap perlembagaan PN akan dimanfaat sepenuhnya oleh Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, antara pilihan Bersatu termasuk mengadu kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang akan menyiasat termasuk menggantung sementara PN jika aduan berkenaan berasas.

“Jika lebih serius dan tiada jalan penyelesaian, situasi terburuk adalah PN boleh dibubarkan atau dibatalkan oleh JPPM .

“Dalam kes ini ‘nothing to lose’ kepada Bersatu. Jika mereka tidak boleh memiliki PN, mereka tidak akan biarkan PN jatuh ke tangan orang lain,” katanya.

Krisis dalaman PN bermula susulan isu peralihan jawatan menteri besar Perlis menyaksikan penamatan kerjasama dua parti itu dan kini melarat kepada usaha menyingkirkan Bersatu.

Mengesahkan perkara itu akan dibincangkan pada mesyuarat PAS malam ini, Presiden Hadi Awang berkata penyingkiran parti dalam PN bergantung keputusan suara majoriti anggota komponen dalam gabungan itu yang turut terdiri Gerakan serta MIPP.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin semalam berkata parti itu kekal dalam PN dan akan bertanding atas lambang itu pada pada pilihan raya.

Muhyiddin turut mengingatkan hal penyingkiran memerlukan konsensus, bukan hanya sepihak.

Sultan Pahang memperingatkan Jangan sampai tetamu tentukan haluan nakhoda



AL SULTAN Abdullah berkenan melakukan gimik pelancaran Modul Kelas Pengajian al Quran NORFARHIZA MOHD ATAR

LIPIS – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menegaskan bahawa sifat belas ihsan dan perikemanusiaan yang diamalkan rakyat negara ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menggadaikan kedaulatan negara atau membiarkan pihak tertentu melangkaui batas yang ditetapkan undang-undang.

Baginda bertitah, kebelakangan ini rakyat semakin gusar apabila melihat segelintir golongan yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.

Titahnya, dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan, namun mereka yang menerima layanan tersebut perlu memahami adab, menghormati undang-undang dan mengetahui batas kedudukan masing-masing.

“Kebelakangan ini, rakyat semakin gusar apabila melihat golongan tertentu yang pada asalnya diterima atas dasar kemanusiaan, kini semakin berani mengemukakan pelbagai tuntutan yang tidak selari dengan kedudukan mereka di negara ini.

“Dalam adat Melayu dan ajaran Islam, tetamu sentiasa dimuliakan. Namun, tetamu yang mengenal adab akan tahu menghargai budi, menghormati undang-undang dan memahami batas dirinya.

“Jangan sampai biduk yang ditumpangkan akhirnya mahu menentukan haluan nakhoda. Jangan sampai kerana terlalu murah hati, tuan rumah pula dipersoalkan haknya di rumah sendiri,”titahnya.

Al Sultan Abdullah bertitah demikian sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Pahang Tahun 1448 Hijrah/2026 Masihi di Laman Sejahtera Jelai, Felda Sungai Koyan di sini hari ini.

Tambah baginda, peristiwa hijrah Rasulullah yang dihayati umat Islam pada hari ini memberi pengajaran bahawa sesebuah masyarakat tidak dapat dibina hanya berasaskan belas ihsan semata-mata, sebaliknya perlu diperkukuhkan dengan keadilan, kedaulatan dan undang-undang.-KOSMO! ONLINE.

PAS minta Bersatu keluar PN jika mahu lawan dalam pilihanraya

FMT Reporters

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah juga sifatkan Muhyiddin Yassin 'gopoh' apabila berkata Bersatu akan guna logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata Muhyiddin Yassin ‘silap’ berkaitan penggunaan logo PN.
PETALING JAYA: Bersatu perlu keluar daripada Perikatan Nasional terlebih dahulu jika mahu ‘lawan’ PAS, kata Naib Presiden Mohd Amar Abdullah.

Respons itu menyusul kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, partinya sedia berdepan habis-habisan PAS yang baru-baru ini memutuskan hubungan dengan mereka, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), malam tadi.

Muhyiddin turut berkata, Bersatu akan bertanding bawah logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang.

“Mahu lawan PAS itu pelik. Kalau betul dia nak lawan dia tidak boleh duduk dalam PN, Bersatu kena keluar la,” kata Amar yang juga speaker DUN Kelantan, lapor Berita Harian.

Beliau ditemui selepas perasmian mesyuarat agung tahunan PAS Pengkalan Chepa dirasmikan Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud, hari ini.

Amar juga menyifatkan Muhyiddin ‘gopoh’ apabila berkata Bersatu akan menggunakan logo PN pada PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Katanya, kuasa atau watikah berhubung penggunaan logo PRN perlu ditandatangani Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar, bukannya presiden parti.

“Nak guna logo PN, saya rasa ada kesilapan dari segi kenyataan. Dia ingat boleh guna dengan mudah, sebaliknya ada peraturannya.

“Kuasa atau watikah perlu ditandatangani oleh pengerusi PN, bukannya presiden parti,” katanya.

Menurutnya, perkara itu perlu dibincang serta diperhalusi dalam PN dan tidak sepatutnya diumumkan.

“Sebab itu saya merasakan kenyataan Muhyiddin ‘lorat’ (gopoh) kerana ia bersifat teknikal dan perlu dibincang,” katanya.

Bersatu lawan PAS di Johor jika gagal runding - Muhyiddin

Malaysiakini

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menegaskan partinya bersedia berdepan PAS pada pilihan raya negeri (PRN) Johor sekiranya kedua-dua parti itu bertanding di kerusi yang sama.

Muhyiddin dipetik Harian Metro berkata pertembungan itu disebabkan ketiadaan 'musyawarah' bersama PAS berhubung kerusi yang ditandingi dalam PRN Johor.

"Pasal tak ada lagi nak 'bermesyuwarah'. Kau lawan sana, kau lawan sini, nak lawan sama kerusi," katanya selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu malam tadi.

Muhyiddin berkata Bersatu akan mengumumkan senarai calon bagi PRN Johor dalam masa terdekat.

Sementara itu, Muhyiddin dipetik media tempatan menjelaskan Bersatu tidak mahu sebarang konflik dalam PN namun parti itu bersedia menghadapi apa juga kemungkinan susulan keputusan PAS memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.

"Itu keputusan berdasarkan pertimbangan mereka, kita terima dan kita sudah pun buat kenyataan rasmi bahawa keputusan itu dibuat oleh PAS, bukannya Bersatu.

"Kita bersedia untuk berjuang, apa yang hendak takut sangat kerana inilah politik, kita akan hadapi dan kita berjaya," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Menurut Muhyiddin lagi, Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar wajar mengadakan pertemuan dengan semua parti komponen bagi membincangkan agihan kerusi PRN Johor.

Bagaimanapun, katanya, Bersatu sehingga kini belum menerima sebarang tarikh mesyuarat berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menegaskan Bersatu akan kekal sebagai komponen dalam PN serta akan menggunakan logo gabungan politik berkenaan pada PRN Johor dan Negeri Sembilan, masing-masing pada 11 Julai dan 1 Ogos ini.

Menurutnya Bersatu tidak boleh disingkirkan daripada PN secara unilateral atau berdasarkan keputusan satu pihak sahaja.

"Kalau ikut perlembagaan, ada perkara-perkara dan fasal-fasal tertentu yang perlu dipatuhi... mereka mesti mematuhi peruntukan tersebut dan perlu mencapai konsensus," katanya seperti dipetik Bernama.

Sebelum ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika merasmikan Konvensyen Reset di Kelantan pada 13 Jun lalu menegaskan hubungan partinya dengan Bersatu sudah berakhir, sekali gus menyerahkan kepada parti pimpinan Muhyiddin itu untuk menentukan sama ada mahu kekal dalam PN atau sebaliknya.

Abdul Hadi juga mengumumkan penyertaan - parti pimpinan Hamzah Zainuddin yang digerakkan bekas ahli Bersatu yang dipecat - Wawasan Negara ke dalam PN.

“PAS dah bersetuju dan kita dah berpisah dengan Bersatu.

“Jadi terpulanglah kepada dia (Bersatu) nak keluar atau nak kekal lagi, terpulang pada dialah.

“Tapi Parti Wawasan Negara (pimpinan Hamzah Zainudin) nak masuk PN tidak ada masalah,” katanya.

Orang Rohingya guna nama Nik Ahmad

KOSMO!

PETALING JAYA – Perkongsian seorang pengguna media sosial mengenai seorang individu berketurunan Rohingya yang menggunakan nama berunsurkan Melayu mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.

Menerusi hantaran di Threads, pengguna @ezanbeautyempire memuat naik tangkap layar yang memaparkan nama seorang lelaki Rohingya iaitu Nik Ahmad Nurul Amin.

Menurut pengguna tersebut, dia terkejut apabila mengetahui individu berkenaan yang didakwa berketurunan Rohingya menggunakan nama yang lazimnya dikaitkan dengan masyarakat Melayu, khususnya di Kelantan.

“Cuba korang teka ni nama orang apa? Terperanjat kita. Dia kata bapa dia datang ke Selangor, tak pernah pergi Kelantan. Clue (klu) dia R…….

“Sekarang tengah hangat diperkatakan,” tulisnya.

Perkongsian itu kemudiannya mengundang pelbagai komen daripada pengguna media sosial yang mempertikaikan penggunaan nama Nik oleh individu berkenaan.

Seorang pengguna @nusarasa.eateries, mendakwa golongan tersebut kini semakin cenderung menggunakan nama Melayu tradisional bagi menyerupai identiti masyarakat tempatan.

“Dorang sekarang dah pandai ambil nama Melayu asli macam Nik, Wan, Che untuk nampak macam Melayu. Tu sebabnya isu ini kena banteras awal,” katanya.

Sementara itu, @eyna_reynna turut mempersoalkan bagaimana individu berketurunan Rohingya boleh menggunakan gelaran seperti ‘Nik’ yang sinonim nama awal keluarga masyarakat Melayu Kelantan.

“Rohingnya tapi macam mana boleh ‘ceduk’ nama Nik tu?” soalnya.

Seorang lagi pengguna @standforjannah, berpendapat penggunaan nama sedemikian menunjukkan usaha untuk menghilangkan identiti asal.

“Puak ni dah mula nak padam identiti sendiri,” tulisnya.

“Senang je nak jadi ‘Malaysian’. Pandai cakap Melayu, pakai tudung, nama Melayu. Lepas dah dapat semua, identiti pun hilang,” kata @zeezakiah. – KOSMO! ONLINE.

2 pekerja maut dirempuh ketika selenggara jalan

FMT Reporters

Kedua-dua mangsa cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian awal pagi tadi.
2 pekerja maut dirempuh ketika selenggara jalan Gambar IPD Kulai 17626
Anggota polis melakukan pemeriksaan di lokasi kemalangan tiga lori hingga menyebabkan dua pekerja maut ketika melakukan kerja penyelenggaraan di KM 49.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Selatan, Kulai. (Gambar IPD Kulai)
PETALING JAYA: Dua pekerja maut dirempuh ketika sedang melakukan kerja penyelenggaraan jalan dalam kemalangan tiga lori di KM 49.3 Lebuh Raya Utara Selatan, arah Selatan, Kulai, awal pagi tadi.

Ketua Polis Kulai, Tan Seng Lee, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2 pagi membabitkan mangsa yang juga pekerja syarikat Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel).

“Kemalangan itu melibatkan lori muatan ayam dipandu seorang lelaki warga tempatan bersama kelindan, manakala lori syarikat Propel dipandu seorang lelaki tempatan dan kelindan seorang lelaki warga Bangladesh.

“Sebuah lagi lori tangki dipandu lelaki tempatan berusia 31 tahun.

“Kejadian berlaku apabila pekerja berkenaan melakukan kerja-kerja penyelenggaraan di kiri jalan sebelum lori muatan ayam merempuh lori Propel,” katanya dalam kenyataan, menurut Sinar Harian.

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan kedua-dua pekerja terbabit cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Pemandu dan kelindan lori muatan awam pula mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim,

“Pemandu lori tangki tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Ahmad Aafuan Abnu Naim 017-7573507.

Cemburu mesej lelaki lain, suami ‘barai’ gerai isteri

KOSMO!
VIRAL di media sosial, seorang suami merosakkan barangan jualan isteri di Makassar. - dok. Istimewa
JAKARTA – Gara-gara cemburu melihat isterinya berkomunikasi dengan lelaki lain, seorang suami bertindak mengugut dan merosakkan barangan jualan isterinya dalam kejadian di Makassar, wilayah Sulawesi Selatan, lapor portal berita detikSulsel.

Suspek dikenali sebagai RN, 36, akhirnya ditangkap polis di daerah Gowa pada Sabtu lalu selepas video kekecohan tersebut tular di media sosial.

Ketua Unit Siasatan Jenayah Balai Polis Rappocini, Iptu Muh Ali Djaras berkata,  tangkapan dibuat selepas polis mengenal pasti identiti suspek melalui rakaman video yang tersebar.

Suspek melakukan ugutan terhadap isterinya pada Sabtu lalu sekitar  6.00 pagi (waktu tempatan)

“Suspek cemburu selepas menemui mesej perbualan isterinya dengan lelaki lain ketika memeriksa telefon bimbit mangsa.

“Motif sementara yang kami peroleh adalah rasa cemburu suspek selepas mengetahui tentang komunikasi mangsa dengan lelaki lain,” katanya.

Dalam keadaan marah, suspek mendatangi mangsa yang sedang menjual dan mengambil sebuah cerek plastik mengandungi adunan kuih lalu membalingnya ke arah mangsa.

Tindakan suspek menyebabkan mangsa melarikan diri ke dalam rumah kedai berhampiran tempatnya berniaga. 

Sementara itu, suspek turut menyiram bahan api jenis diesel ke dalam baldi yang mengandungi adunan kuih milik mangsa sebelum melarikan diri.- AGENSI