Berjayakah Najib menongkat kerajaan BN Perak?

  
Lanjusoh 
Mon | Feb 23, 09 (HRKH)

SETELAH gagal dalam misi di Permatang Pauh dan Kuala Terengganu, Dato' Seri Najib Razak berjaya menebus dosa seketika di Perak. Kejayaan merampas kerajaan Perak tanpa melalui saluran demokrasi menjadi kenangan buat Najib. 

Maka layaklah baginya menggantikan tempat Dato' Seri Abdullah hujung Mac depan.

Persoalannya mampukah Najib menongkat kerajaan BN Perak dengan sekadar menculik dan membeli Adun.

Apa yang pasti keadaan di Perak tidak akan tenang seperti sebelum ini.

Jarak tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) hasil bayaran paling mahal di abad ini, pastinya akan terus menghantui Najib.

Kehadiran Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Jelapang, Hee Yit Fong kepada BN kerana nafsu. Hati budi mereka sudah dibaluti wang ringgit.

Kata seorang ustaz, mampukah wang jutaan ringgit membuat seseorang itu gembira. Mungkin ya atau tidak. Setakat mana Jamaluddin, Osman dan Yit Fong mampu meratah makanan dengan duit berguni kalau 'kencing manis' sudah terbenam dalam tubuh.

Begitu juga dengan Adun Bota, Nasaruddin Hashim yang main-main sorot dalam drama politik. Ketika manusia di seluruh dunia sedang mencari keadilan dan kebenaran, kepalsuan pula menjadi pilihan empat Adun terbabit.

Tindak tanduk mereka mampu dicatatkan dalam diari 'pembelot' politik negara. Selepas adegan pertama 'menculik' dan 'membeli' wakil rakyat berlaku pada 1961 dan 1968.

Sejarah membeli Adun pembangkang pertama kali dalam sejarah berlaku di Terengganu. Peristiwa itu menyebabkan kerajaan PAS Terengganu yang diketuai Daud Samad tumbang melalui undi tidak percaya.

Sebelum itu PAS menubuh kerajaan di Terengganu melalui pilihan raya umum pertama pada 1959 apabila memenangi 13 dari 24 kerusi Dun.

Perikatan pula memenangi tujuh kerusi dan empat kerusi lagi dimenangi Parti Negara.

Namun, tiga tahun selepas PAS mentadbir kerajaan, Perikatan membeli empat wakil rakyat PAS dengan tawaran lumayan. Dan akhirnya kerajaan negeri di bawah PAS tumbang.

Manakala di Kelantan seramai lima wakil rakyat dikurung selama sebulan di Jalan Pekeliling Kuala Lumpur pada 1968 bertujuan meruntuhkan kerajaan PAS.

Bekas wakil rakyat Tanah Merah Timur, Che Omar Mohamad, 82 merupakan satu-satunya saksi yang masih hidup.

Empat lagi wakil rakyat yang terbabit dengan episod 'culik' tersebut iaitu Adun Kota Bharu Timur, Haji Saufi Idris, Adun Tok Uban, Haji Abdullah Yusof, Adun Pasir Puteh Tenggara, Abdul Rahman Mohd Salleh dan Adun Tanah Merah Barat, Yusof Abdul Latif.

Menurut Che Omar sejak hari pertama mereka dikurung dan dikawal rapi SB. Pada pilihan raya kedua selepas merdeka, PAS mempunyai 21 wakil rakyat dengan kelebihan lima kerusi berbanding Perikatan.

Kerajaan PAS diketuai Mohd Asri Muda dan Timbalan Menteri Besar, Nik Abdul Rahman Nik Mat.

Apabila memikirkan kekuatan PAS tidak mampu digugat melalui demokrasi, akhirnya Perikatan memilih jalan bacul. Namun akidah agama dan intergriti yang menjalar dalam urat darah wakil rakyat terbabit membuatkan mereka tidak hanyut seperti berlaku di Perak dan Terengganu.

Seorang pengamat politik yang kini menyiapkan tesis PhD, Kamarulzaman Yusof berkata, isu yang berlaku di Perak menuntut keberanian pihak istana.

"Namun keputusan tidak membubarkan Dun pastinya akan memberi impak yang negatif terhadap kerajaan BN dalam jangka masa panjang," katanya di sini.

Osman dan Jamaluddin yang didakwa terbabit dengan rasuah tidak hadir di Mahkamah Sesyen Ipoh 10 Febuari lalu atas alasan kesihatan. Kes mereka ditangguhkan manakala waran tangkap dikeluarkan terhadap Osman kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen. Mereka dituduh terbabit dengan rasuah berhubung projek pembangunan Iskandar bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Jamaluddin dituduh menerima rasuah sebanyak RM5,000 daripada Mohamad Imran Abdullah sebagai dorongan mendapatkan projek di tanah seluas 36 ekar.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu pada 14 Ogos lalu di Tingkat 1, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Kedua-dua mengaku tidak bersalah. Osman dan Jamaluddin sudah 'nyawa-nyawa ikan' sekarang. Kalau gagal diselamatkan di Mahkamah Sesyen kerajaan BN pula akan hilang majoriti.

Ketika itu BN hanya akan mentadbir dengan kelebihan satu kerusi yang disumbang Yit Fong. Dan kemungkinan tempoh tiga tahun lagi menjelang pilihan raya ke-13 ruang Yit Fong kembali ke pangkuan Pakatan Rakyat masih terbuka.

Itu juga belum diambil kira faktor Dato' Raja Ahmad Zainuddin Omar, Dato' Ahmad Fakeh Adam dan Dato' Hamdi Abu Bakar yang masih berdendam dengan Umno Perak.

Bekas pensyarah kanan UIA, Dr Mohamad Fadzli Hassan berkata, kerajaan BN langsung tidak menghormati pilihan rakyat dan amalan demokrasi.

Katanya, apa yang berlaku sekarang nampak sangat usaha untuk memecahkan rakyat Perak.

"BN menggelabah dan desperado apabila mengambil alih kerajaan tanpa memberi mandat semula kepada rakyat," katanya.

Bekas anggota parlimen Bachok yang juga seorang sarjana Sains Politik, Wan Nik Wan Yusof tidak nampak suatu keputusan yang bijak tanpa membubarkan Dun Perak.

Pakatan Rakyat di Perak ketika di bawah Dato' Seri Nizar Jamaluddin benar-benar diuji. Tidak mudah untuk menjadi dewasa politik seperti di Kelantan.

Fenomena tersebut sebenarnya sudah ditempohi di Kelantan selama empat tahun. Debar yang cukup panjang. Kelantan ketika itu hanya dibezakan dengan satu kerusi. Dan kerusi itu pun dengan sekadar dua undi.

Berbanding apa yang berlaku di Perak sekarang sebenarnya jauh lebih selesa.

Perbezaan tiga kerusi, dikira sudah selesa untuk meneruskan pentadbiran kerajaan. Sedangkan Kelantan sebelum Mac 2008 hanya berkuasa di atas dua undi di satu kerusi.

Biar pun Kelantan ketika itu dikatakan berada di hujung tanduk, namun jati diri setiap 23 Adun tidak mampu digugatkan dengan sekarung duit. Bekas Adun Kemuning, Haji Zakaria Yaakub mendedahkan pernah didatangi agen Umno pada waktu Subuh dengan tawaran duit berguni.

Tawaran demi tawaran mendatangi ramai Adun PAS sepanjang 48 bulan itu. Sedangkan di Perak hanya 11 bulan, ada wakil rakyat Pakatan Rakyat sudah kelabu mata. Inilah pentingnya jati diri. Dalam Islam disebut sebagai akidah.

Pensyarah Kanan Pengajian Media Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, tiga bekas Adun Pakatan Rakyat cuba membawa Perak di ambang kemusnahan.

Dosa Najib kini menghantui kerajaan BN Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan