Mengapa Salahkan Rakyat?


Krisis perlembagaan di Perak timbul apabila Sultan membuat pilihan yang salah dan jelas memihak kepada BN. Sultan ada pilihan lain yang lebih nuetral, iaitu dengan membubarkan Dewan Undangan Perak dan menyerahkan semula kepada rakyat Perak untuk membuat pilihan melalui pilihan raya yang adil dan bebas, tetapi yang peliknya baginda tidak memilih jalan tengah itu.

Dalam pilihan raya Mac 2008, rakyat telah memilih Pakatan Rakyat untuk mentadbir Perak. Biarpun majoriti penguasaan kerusi agak kecil, iaitu 31 Pakatan Rakyat berbanding 28 BN, namun ia sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Pakatan Rakyat berhak memimpin. Dalam sistem demokrasi, kelebihan satu undi memberi makna kemenangan dan ia tidak boleh dipertikai lagi.

Pencetus segala kemelut politik di Perak adalah Sultan sendiri. Ketika mana seluruh rakyat jelata tertumpu dan mengharapkan kebijaksanaan baginda mencari jalan keluar yang boleh memuaskan hati semua pihak, saya hairan mengapa Sultan Azlan Shah memilih untuk menyokong BN. Kewibawaan institusi raja-raja Melayu yang selama ini dilihat berada di atas daripada percaturan politik terjejas dengan teruk sekali. Sultan Azlan Shah, bekas Ketua Hakim Negara, mengetepikan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak dan dengan itu meletakkan baginda dalam kancah kontroversi yang begitu merugikan.

BN memang cukup takut untuk berdepan dengan rakyat. Sebab itu mereka cuba untuk mengelak dari mengadakan pilihan raya. Mereka lebih suka membeli Adun-Adun Pakatan Rakyat dengan tawaran lumayan, kalaupun tidak dengan ugutan dan ancaman. Mereka umpama perompak dan penyamun, yang mengetepikan hak rakyat untuk memilih pemimpin.

Yang peliknya, mengapa Sultan tidak menggunakan segala kebijaksanaan baginda untuk memilih penyelesaian yang tidak akan menyinggung mana-mana kelompok atau parti yang bersaing untuk meraih kuasa? Saya tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa Sultan seolah-olah sudah dibeli oleh orang-orang politik. Raja-Raja Melayu masih dianggap sebagai pelindung untuk semua rakyat berteduh. Jika benar dakwaan Sultan sudah tidak lagi boleh berperanan memayunngi rakyat, maka ini bermakna kita sudah menempuh satu era gelap yang membawa negara mundur ke belakang.
Episod hitam Sultan dianggap memihak BN apabila timbul krisis politik hendaklah dipadamkan segera. Apatah lagi kedudukan Sultan Azlan Shah sebagai sultan yang dihormati rakyat tidak wajar dicemarkan hanya kerana perselisihan politik antara BN dan Pakatan Rakyat. Justeru, setiap raja-raja Melayu harus sentiasa cermat sebelum memutuskan sesuatu perkara. Rujukannya adalah Perlembagaan atau Undang-Undang Tubuh Negeri Perak. Pilihannya pula tidaklah sepayah mana.

Menteri Besar, Dato' Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sudah menghadap memohon perkenan baginda untuk membubarkan Dun. Sultan Azlan Shah yang terkenal arif dan bijaksana itu, hanya perlu memperkenankanya atau tidak memperkenankan. Baginda boleh membiarkan Nizar terus sebagai menteri besar sehinggalah ia diputuskan melalui usul tidak percaya yang akan dibawa ke persidangan Dun tidak lama lagi. Bagaimanapun ramai mengharapkan Sultan Azlan membubarkan sahaja Dun untuk mendapatkan kembali mandat rakyat. Memang tidak ada dalam kuasa baginda untuk memecat seseorang menteri besar, apatah lagi tambah sebab dan alasan yang kukuh.

Keadaan sekarang memang sudah kelam-kabut. Nizar dan anggota Exco Kerajaan Pakatan Rakyat Perak tentu tidak akan duduk diam selepas mereka dilucutkan jawatan. Reaksi mesti ada, masakan mereka duduk diam melongo. Sesiapa pun pasti akan memberi reaksi atau tindak-balas jika dizalimi atau dianiaya. Kita ada undang-undang yang mesti dipatuhi, tidak kira ia seorang Sultan atau rakyat biasa.

Jika rakyat sudah mula mempersoalkan kewibawaan Sultan, mungkin kerana dipengaruhi "Mat Kemian" yang sering masuk-keluar Istana, maka janganlah mudah untuk melabelkan rakyat yang hina itu sebagai penderhaka pula! 


Pak Tam Mat, Jitra

Tiada ulasan:

Catat Ulasan