Beberapa wakil rakyat malahan seorang timbalan menteri terkejut dengan pengumuman kenaikan kadar tol di lima lebuhraya bermula 1 Mac ini. Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) menyifatkan kenaikan kadar tol pada masa kini tidak wajar. "Baru-baru ini sudah diberitahu bahawa kerajaan akan beri keutamaan kepada rakyat dalam apa saja keputusan bila ada syarikat konsesi meminta kenaikan tol, tapi saya terkejut bila dapat maklumat harga tol akan dinaikkan bermula Ahad ini," katanya, lapor Bernama. Kerajaan hari ini mengumumkan kadar tol di Lebuh Raya Utara Selatan (Plus), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya) dan Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) akan dinaikkan akan dinaikkan antara 0.68 sen dan 50 sen. Puad berkata kerajaan seharusnya menangguhkan dahulu kenaikan kadar tol ini sehingga mini bajet dibentangkan pada 10 Mac ini. Datuk Seri Azmi Khalid (BN-Padang Besar) tidak menafikan merasai bebanan kenaikan tol biarpun memahami akan perjanjian yang dibuat kerajaan bersama syarikat konsesi lebuhraya. "Dulu semasa jadi menteri tak pernah bayar tol, saya tak tahu berapa, tak pernah merasa. Tapi sekarang, saya tingggal di Shah Alam dan sering datang ke Kuala Lumpur dan melalui beberapa tol, saya sangat merasai beban tol itu. Kalau saya merasai, orang lain pun tentu merasai," katanya. Rasa terkilan Azmi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, berkata beliau faham bahawa terdapat perjanjian kerajaan dengan syarikat konsesi yang mengizinkan kenaikan tol dibuat. "Dalam perjanjian memang ada kenaikan tol oleh pengusaha tol, memang susah kerajaan nak elak. Kalau boleh kerajaan kaji dengan teliti supaya perkara ini tidak membebankan rakyat, " katanya. Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong turut melahirkan rasa terkilan dengan pengumuman kenaikan itu dan meminta kerajaan menelitinya semula. "Kita masih ada mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, saya harap perkara ini dikaji semula bagi meringankan beban pengguna jalan," katanya. Wee turut merayu kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan yang akan membentangkan mini bajet pada 10 Mac ini agar memikirkan semula kenaikan kadar tol itu. Zuraida Kamaruddin (PKR-Ampang) turut mempersoal kenapa kerajaan menaikkan tol di saat harga minyak sudah diturunkan. "Ini satu perkara yang harus kita tolak. Kenaikan ini akan memberi tekanan kepada rakyat kerana harga barang-barang masih tidak diturun ditambah dengan kelembapan ekonomi sekarang, " katanya. 'Kenaikan tidak wajar' Di Pulau Pinang, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, kenaikan kadar tol di lima lebuhraya menjelang 1 Mac ini adalah tidak wajar dan akan menambah beban rakyat terutama di tengah krisis ekonomi global semasa. Beliau berkata sekarang ini bukan masa yang sesuai untuk menaikkan kadar tol kerana rakyat semakin tersepit dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan sudah pasti kenaikan itu akan memburukkan lagi keadaan. "Kerajaan sepatutnya menunggu keadaan ekonomi kembali stabil ataupun setahun dua lagi untuk menaikkannya," katanya kepada pemberita semasa mengulas pengumuman kenaikan kadar tol hari ini. Lim berkata sebaiknya kerajaan pusat membeli Plus seperti yang beliau cadangkan sebelum ini, sebagai usaha membantu rakyat. "Jika kerajaan pusat miliki Plus, rakyat tidak perlu bimbang mengenai kenaikan kadar tol di masa depan terutama dalam keadaan genting seperti sekarang ini," katanya. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan