PO59 BUKIT GANTANG : Bantahan PPSMI bergema dalam p'raya

Selain demonstrasi besar awal bulan ini, dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut berkumbang di Bukit Gantang yang kini menghadapi pilihanraya kecil.

Tokoh-tokoh utama Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) akan turun berkempen dua hari di situ menjelang pengundian pada 7 April ini. 

Profesor bahasa Dr Abdullah Hassan, Dr Shaharir Mohd Zain dan penyajak Dinsman dijangka menyampaikan ceramah.  

“Diharap pengundi menolak (calon) Umno kerana perwakilan sanggup menaikkan (menteri pelajaran) Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai naib presiden Umno,” kata setiausaha GMP Hasni Abbas ketika dihubungi 
Malaysiakini hari ini. 

Hishammuddin semalam menyatakan dasar PPSMI akan dipinda dalam masa terdekat selepas kabinet membuat keputusan. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk konkrit pindaan tersebut. 

GMP, yang menuntut dasar itu dimansuhkan termasuk di sekolah menengah dan universiti, juga akan berkempen pada pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau pada 5 dan 6 April.

Selain tokoh-tokoh ini, penasihat GMP Sasterawan Negara Datuk A Samad Said menyampaikan ceramah.
-malaysiakini-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan