Dua Calon Timbalan Presiden UMNO Bakal Digantung?


   

Desas desus kini bertiup kencang di ibu pejabat Umno dan seluruh akar umbi parti bahawa bukan satu malah dua calon Timbalan Presiden yang berentap pada permilihan parti 24 Mac ini akan kehilangan hak untuk bertanding berhubung kesalahan politik wang.

Nama yang disebut-sebut termasuk Ketua Menteri Melaka, Ali Rustam dan Ketua Penerangan, Senator Muhammad Mohd Taib.

Mesyuarat Lembaga Disiplin Umno yang akan bermesyuarat pukul 4 petang ini dijangka mengesahkan khabar angin sejak seminggu lalu samada benar pemimpin tinggi Umno akan digantung dari bertanding.

Umno yang bakal memilih barisan pemimpin parti dari peringkat tertinggi termasuk jawatan-jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Pemuda, Ketua Wanita, Ketua Puteri dan Majlis Tertinggi dikatakan diselubungi dengan penyakit politik wang yang amat gawat.

Sindrom ini dilihat terlalu sukar dibendung sehingga Pengerusi Lembaga Disiplin, Tengku Ahmad Rithaudeen Tengku Ismail mengeluarkan kenyataan supaya dibubarkan sahaja sayap Pemuda, Wanita dan Puteri bagi mengekang gejala rasuah politik yang sudah sebati dengan parti politik Melayu terbesar itu.


Ini disebabkan lembaga disiplin tersebut telah menerima lebih daripada 900 aduan mengenai politik wang dari  cawangan dan bahagian umno seluruh Umno.

Selain Ali dan Muhhammad seorang lagi calon bagi jawatan Timbalan Presiden ialah Naib Presiden Umno, Muhyiddin Yasin.

Muhyiddin merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, manakala Muhammad Taib adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. 

Mohd Ali enggan mengulas spekulasi yang mengatakan beliau sedang disiasat oleh Lembaga Disiplin Umno.

 -TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan