Fairus: "Saya kecewa pelbagai tuduhan tidak berasas"

Sidang akhbar itu akan diadakan bagi menjawab segala persoalan berhubung isu peletakan jawatannya dan beliau melahirkan rasa kecewa terhadap laporan media yang mendakwa kononnya beliau tidak menjalankan tugas sebagai timbalan ketua menteri dan anggota Exco kerajaan negeri dengan berkesan.

"Siapa cakap saya tidak menjalankan tugas dan tidak membela nasib hak orang Melayu di Pulau Pinang?

"Saya berasa kecewa dengan dakwaan yang dilempar oleh pelbagai pihak yang telah merosakkan nama baik saya sekeluarga," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Sabtu lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa Mohammad Fairus akan meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dan anggota Exco berkuat kuasa 8 April, tetapi kekal sebagai anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti dan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sehari selepas itu, akhbar melaporkan Mohammad Fairus, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Pembangunan Koperasi, Penerangan dan Perhubungan Masyarakat mendakwa menjadi mangsa konspirasi dalaman parti.

Bagaimanapun, Mohammad Fairus enggan mengulas lanjut berhubung isu konspirasi dalaman yang dimaksudkannya itu.

Hari ini, Lim menolak khabar angin bahawa satu lagi pilihan raya kecil akan diadakan di negeri ini ekoran peletakan jawatan Mohammad Fairus.

KOMEN ANWAR

Mohammad Fairus Khairuddin yang meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkuat kuasa 8 April depan hanya memberi alasan ingin menumpukan perhatian kepada pelajaran di peringkat pascaijazahnya, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Yang dia sampai kepada saya ketika dia (Fairus) datang ke rumah saya, bahawa dia dah fikir panjang dan nak tumpu selesaikan program pasca ijazah... itu yang dia bagi tahu.

"Dia kata dengan permasalahan yang banyak dia fikirkan, dia rasa sesuai dia nak ke situ (letak jawatan), jadi itu yang saya dengar rumusan yang dibincang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa majlis pelancaran buku bertajuk "Saya Pun Melayu" oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim dan

"Kemilau Peribadi Nik Abdul Aziz Nik Mat" oleh Abdul Shukur Haron dan Annual Bakri Haron di sini hari ini.

Anwar berkata, Mohammad Fairus tidak menjawab dengan tepat mengenai dakwaan tentang konspirasi dalaman parti itu sehingga menyebabkan beliau meletak jawatan.

"Dia (Mohammad Fairus) sebut media exaggerate (mengenai dakwaan konspirasi), saya kata kepada dia, you tahu media begitu you kena cermat la jawab... saya tanya ada masalah dalaman?, dia jawab longgar begitu... postgraduate program.

"Beliau ada merujuk dengan saya mengenai program apa dan di mana, saya katakan padanya you patut ada semakan menyeluruh kurikulumnya," katanya.

Anwar berkata, Mohammad Fairus bagaimanapun masih kekal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Penanti dan juga anggota PKR.

"Setakat ini dia (Mohammad Fairus) bagi tahu dia masih boleh berkhidmat pada Jumaat, Sabtu dan Ahad... tiga hari seminggu, saya fikir ia agak munasabah," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai peluang pakatan pembangkang memenangi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak; Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dan DUN Batang Ai, Sarawak; Anwar berkata pihaknya bekerja keras ke arah itu.

"Kami berkeyakinan tetapi kami juga bersikap realistik bahawa kami berdepan tugas yang sukar.

"Kami tahu taktik Najib (Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak). Kami telah meminta Keadilan, PAS dan DAP supaya memastikan jentera berkeadaan baik di peringkat akar umbi," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan