GMP enggan tunduk batalkan Himpunan 7 Mac ini

Roy Rasul 
KUALA LUMPUR, 5 Mac (Hrkh) -
 Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) tetap bertegas meneruskan Perhimpunan 100 ribu rakyat Mansuhkan PPSMI di Istana Negara pada 7 March biarpun kerajaan merayu mereka agar membatalnya.

Tegas Setiausahanya, Hasni Abbas, perhimpunan tersebut sebagai menyatakan perasaan rakyat yang tidak sanggup lagi menerima pelaksanaan Pembelajaran Pengajaran Metamatik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)

Justeru itu ujarnya, rayuan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Wee Ka Siong yang meminta supaya mereka bersabar dan tidak mengadakan perhimpunan itu tidak dipedulikan mereka.

"Kami buat perhimpunan ini supaya kerajaan prihatin terhadap suara rakyat, lagi pun sudah lama kami perjuangan isu ini," katanya semasa diminta mengulas rayuan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Dr Wee Ka Siong di Lobi Parlimen pada Selasa lalu.

Sementara itu, semasa di bercakap kepada wartawan Wee berkata beliau dengan rendah hati meminta supaya semua pihak bertenang dan bersabar.

"Kita akan cuba sedaya upaya dan kita telah mendengar apa yang patut kita dengar dan apa yang patut kita terima, kita terima," katanya. Beliau meminta rakyat tunggu dalam bulan Mac ini kerana isu tersebut akan dibentangkan kepada jemaah menteri pada bulan Mac ini juga.

"Saya rasa sama-sama kita menunggu daripada kita bertindak dan turun beramai-ramai, dan akhirnya keputusan mungkin menghampiri kepada apa yang mereka hendak.

"Saya rasa kita jangan buat andaian pada waktu ini sehingga rumusan itu dicapai dan kata putus daripada kabinet. Itu nasihat saya dan permintaan serta rayuan saya," rayunya.

Katanya, sama-samalah semua orang menunggu rumusan tersebut dan mungkin pada waktu ini mereka perlu bersabar untuk menanti keputusan yang mungkin tidak menghampakan rakyat.

Dalam pada itu, membidas rayuan Wee itu, Hasni berkata mengapa sekarang baru kerajaan hendak meminta rayuan dan pandangan rakyat sedang semasa melaksanakan PPSMI pada 2002 dahulu tidak menghirau pandangan rakyat.

Malah katanya, sejak dilaksanakan pelbagai memorandum bantahan dan rayuan dihantar tetapi tidak diendah kerajaan. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan