Pesuruhjaya Kehakiman Riduan Ibrahim menarik diri dari mendengar kes saman Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam exco kerajaan negeri terhadap Speaker V. Sivakumar. Hakim Riduan yang membuat keputusan di dalam kamar kemudian memerintahkan kes itu supaya didengar oleh seorang hakim Mahkamah Tinggi lain. Ketika mendengar perbicaraan itu pagi tadi Hakim Riduan membuat keputusan untuk tidak mendengar kes saman Dr. Zambry dan enam exco serta kes saman ketiga-tiga ahli Dewan Undangan Negeri terhadap Speaker. Menurut panel peguam Chan Kok Keong tindakan Hakim Riduan itu dibuat berasaskan penghakiman Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengenai kes Sivakumar. Sementara itu panel peguam Dr. Zambry, Reza Hassan menyifatkan keputusan Hakim Riduan untuk menarik diri dari mendengar kes itu patut dihormati oleh semua pihak yang terbabit dalam kes berkenaan. Sebaik sahaja kes itu dipindahkan ke mahkamah satu Hakim Datuk Wan Afrah Wan Ibrahim menetapkan 2 April depan bagi mendengar kes berkenaan. Sementara itu panel peguam Sivakumar akan memfailkan permohonan untuk menggugurkan kes itu atas alasan Speaker dilindungi oleh immuniti mengikut Artikel 72, Perlembagaan Persekutuan. Menurut Leong pihaknya akan memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini, esok. Pada masa sama, panel peguam Dr. Zambry juga akan memohon untuk mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan bagi merujuk kes itu ke mahkamah berkenaan. Menurut Reza permohonan untuk mendapatkan kebenaran berkenaan telah difailkan oleh pihaknya pagi tadi. -TVAntara.com.my- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan