Isyarat jelas rakyat tolak PPSMI, himpunan 100,000 berjaya! - Abu Bakar Chik




Azamin Amin  KUALA LUMPUR, 7 Mac (Hrkh) - Sungguhpun himpunan 100,000 hari ini dianggap hebat dan luar biasa kejayaannya namun insiden kekasaran dan serangan pihak polis yang terpaksa menurut arahan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik berkata serangan bertubi-tubi dan tanpa belas kasihan itu tidak mematahkan semangat tinggi dan 'membakar' hasrat rakyat khususnya para pejuang bahasa yang mahu menjujung dan memartabatkan Bahasa Melayu sekaligus membantah dasar PPSMI yang diperkenal kerajaan BN.

"Saya bersyukur dan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat seluruhnya yang sanggup bersusah-payah mengharungi asakan pihak polis untuk menyampaikan suara hati mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

"Target dan hasrat kita hari tercapai dengan terkumpulnya lebih 100,000 rakyat dan serahan memo juga berjaya disampaikan," katanya ketika dhubungi Harakahdaily kira-kira jam 5.00 petang tadi.

Beliau juga kagum dengan semangat para pejuang bahasa yang menunggu dan bersama-sama rakyat berarak dari mula acara sehinggalah himpunan bersurai seusai bacaan doa di adakan di pekarangan masjid negara kira-kira 4.45 petang tadi

"Isyaratnya sudah jelas, rakyat sangat-sangat tidak puas hati terhadap dasar kerajaan BN dalam menggangkat bahasa Melayu dan meneruskan dasar PPSMI itu. Oleh itu rakyat mahukan perubahan dan tidak mahu melihat lagi kedegilan kerajaan BN.

"Justeru kita berharap agar Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-raja akan memperhalusi dan mempertimbangkan isu ini demi kedaulatan Bahasa Melayu di negara ini," katanya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu.

Sementara itu, beliau yang kecewa dengan sikap dan tindak tanduk polis yang sewajarnya melindungi orang awam dan para peserta daripada berlaku insiden tidak diingini sebaliknya mencetuskan suasana huru-hara mengakibatkan ramai pihak yang diasak teruk dan mengalami kecederaan.

"Asalnya polis benarkan, tiba-tiba di penghujung meraka bertindak kasar kepada orang ramai. Saya kira ini bukan kehendak mereka tetapi terpaksa ikut arahan BN yang tidak peduli keselamatan rakyat dan meremehkan suara mereka

"Yang hadir ada 60, 70 tahun ke atas malah kanak-kanak juga terpaksa menghadapi gas pemedih mata dan insiden kejar-mengejar yang menjadikan suasana hiruk-pikuk sedangan PDRM berperanan menjaga keselamatan. Saya sangat kecewa dengan tindakan polis yang hanya mengikut telunjuk Bn yang terang menganiaya rakyat" katanya dengan penuh semangat.

Katanya pihak polis perlu menghormati rakyat yang bersungguh-sungguh hadir untuk menunjukkan sokongan memartabatkan bahasa melayu dan bukan datang seperti 'penjenayah' yang wajar diperlakukan sebegitu rupa.

Di akhir perbualan beliau sekali lagi merasa bersyukur dan menganggap ianya satu sejarah telah tercipta membuktikan rakyat sudah berani bersuara untuk memastikan kerajaan bertindak demi kepentingan bahasa, bangsa dan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan