Krisis Politik Pahang Semakin Panas, Ahmad Tajuddin Sahut Cabaran Adnan Untuk Sumpah Mubahalah Di Masjid Negara Selasa Ini


KUANTAN [6.00 pm] - Nampaknya kemelut politik UMNO Pahang semakin panas sekarang ini, berikutan isu cabar mencabar supaya letak jawatan antara Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob dengan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar iaitu Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman. Sebenarnya perbalahan antara kedua-dua pemimpin terbabit sudah pun bermula semenjak nama Ahmad Tajuddin tidak dipilih sebagai calon pilihanraya umum ke-12 lalu untuk kawasan DUN Lepar, parlimen Paya Besar. Susulan daripada itulah beliau seolah-olah "berpatah arang dan berkerat rotan" dengan pucuk pimpinan tertinggi UMNO Pahang itu. Krisis yang melanda menyebabkan Ahmad Tajuddin meletakkan jawatan Setiausaha Perhubungan UMNO Pahang gara-gara tidak sehaluan lagi dengan Adnan Yaakob. Akhirnya berbagai "rahsia sulit" tentang aset UMNO Pahang telah dibongkarkan oleh Ahmad Tajuddin termasuk penjualan tanah milik UMNO di kawasan Maran suatu ketika dulu. Berita ini sungguh mengejutkan kerana ramai yang tidak percaya, bagaimana orang UMNO boleh menghentam pucuk pimpinan mereka sendiri. Hingga ada desas-desus Ahmad Tajuddin bersedia menyertai Pakatan Rakyat ketika itu. Namun, segalanya tidak menjadi kenyataan apabila beliau menang merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Paya Besar dalam pemilihan tahun lepas. Kemenangannya itu pula mengalahkan proksi Adnan, Datuk Manan Ismail yang juga merupakan Ahli Parlimen Paya Besar. Kemenangan Ahmad Tajuddin biarpun penuh dengan "tipu muslihat" akhirnya memberi "millage politik" kepada beliau. Kononnya perwakilan UMNO bahagian itu masih dahagakan khidmatnya dan menolak orang Adnan. Namun, kemenangan Ahmad Tajuddin itu sebenarnya tidak bermakna kerana hampir majoriti orang-orangnya tewas ditangan team Manan Ismail.

Akhirnya kini Ahmad Tajuddin menjadi Ketua Bahagian sedangkan majoriti orang dibawahnya adalah dari team Manan Ismail iaitu orang yang ditewaskan semasa pemilihan pucuk pimpinan tertinggi bahagian itu. Ahmad Tajuddin sungguh berbangga dengan kemenangannya, sedangkan beliau tahu sudah pasti orang-orang Manan akan menyerang serta menjatuhkannya dari dalam. Inilah yang amat digusarkan sebenarnya. Tambahan pula Manan Ismail yang ditewaskan itu juga adalah proksi Najib Razak yang bakal ditabalkan sebagai Presiden UMNO tidak lama lagi. Inilah yang membuatkan Ahmad Tajuddin sedikit tercabar, dan susulan daripada tindakan Lembaga Displin UMNO menjatuhkan hukuman kepada Manan Ismail dan orang kanannya yang merupakan wakil rakyat di ketiga-tiga DUN di parlimen Paya Besar maka ia memberi sedikit ruang untuk Ahmad Tajuddin 
"berkokok" dan "besar kepala". Kononnya beliau lebih bersih dari seteru politiknya itu, walhal mereka sebenarnya sama sahaja bahkan datang dari parti politik yang sama. Akhirnya Ahmad Tajuddin dengan bangganya mencabar dan menggesa supaya Menteri Besar Pahang, Dato' Seri Adnan Yaakob meletakkan jawatan beliau. Ini kononnya bagi mengambil tanggugjawab atas penglibatan orang-orang Adnan dalam kes politik wang yan berlaku di bahagian itu. Demi maruah dan harga diri Ahmad Tajuddin mahu Adnan melepaskan jawatanya itu dengan segara. Berlakulah pertembungan politik yang tidak dijangka-jangka sebenarnya. Isu ini semakin panas bila Adnan pula mencabar Ahmad Tajuddin yang meletakkan jawatan kerana gagal menerajui UMNO Bahagian Paya Besar.

Tajuddin Akan Gagalkan Adnan Menang MT


Cabaran itu tidak berakhir begitu sahaja, dan terkini Ahmad Tajuddin menyatakan beliau sedia menyahut cabaran Datuk Seri Adnan Yaakob untuk 
bersumpah (mubahalah) berhubung dakwaannya mengenai campur tangan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Pahang dalam pemilihan Umno bahagian itu tahun lepas. Ahmad Tajuddin mencadangkan mubalahah itu diadakan pada pukul 10 pagi Selasa depan di Masjid Negara, Kuala Lumpur"Saya akan menunggu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pahang di tempat berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Ahmad Tajuddin sebelum ini menggesa Adnan meletak jawatan sebagai mengambil tanggungjawab terhadap keputusan Lembaga Disiplin Umno menggantung keahlian Anggota Parlimen Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail selama setahun dan memberi amaran kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Md Sohaimi; ADUN Lepar yang juga Naib Ketua Bahagian, Mohd Shohaimi Jusoh dan Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian, yang juga ADUN Panching Mohd Zaili Besar. Kesemua mereka adalah anggota Umno Bahagian Paya Besar yang didapati bersalah melanggar Tata Etika Ahli UMNO. Adnan dalam kenyataannya semalam bagaimanapun menafikan beliau menjadi dalang serta mencabar Ahmad Tajuddin untuk bermubahalah pada tarikh dan masa yang akan ditetapkan.

[Nampaknya, Ahmad Tajuddin benar-benar ingin menguji kewibawaan Menteri Besar Pahang itu sebenarnya. Bukankah 24 Mac iaitu hari Selasa yang dijanjikan itu adalah hari pertama Perhimpunan Agung UMNO. Maka mungkinkah apa yang dilakukan oleh Ahmad Tajuddin ini bertujuan untuk menggagalkan usaha Adnan menang dalam perebutan jawatan sebagai Ahli majlis Tertinggi UMNO agaknya. Apapun mesej ini jelas membuktikan memang sedang wujud keretakan yang begitu besar dalam UMNO Pahang yang wajar diambil kesempatan oleh pemimpin Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan jentera mereka dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang sebenarnya. Kami akan melaporkan perkembangan terkini isu ini].    http://pahangdaily.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan