MB beralih ke blog setelah pusat enggan lulus lesen radio

Mohd Nor Yahya 
KOTA BHARU, 23 Mac (Hrkh) - 
Kecewa kerana Kementerian Penerangan enggan membenarkan kerajaan Kelantan mengendalikan radio sendiri menyebabkan Menteri Besar beralih kepada blog bagi menyebarkan dakwah.

"Sebelum ini kerajaan negeri pernah memohon lesen radio tetapi kerajaan pusat tak benarkan, jadi kalau ada blog saya boleh sampaikan segala-galanya kepada rakyat," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Katanya beliau akan menggunakan sebaik mungkin kemudahan blog bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat.

Menurutnya perkembangan teknologi maklumat sekarang perlu direbut termasuk membangunkan blog sendiri sebagai tatapan umum.

"Saya akan melangkah masuk ke era siber dengan menulis dan menyampaikan maklumat serta berdakwah melalui blog. Saya akan jadi blogger jugalah," ujar beliau ketika ditemui pada satu program di sini, baru-baru ini.Image

Ditanya mengenai isi kandung blog tersebut, katanya beliau cuba sedaya upaya untuk menulis sendiri terutamanya berkaitan Islam dan akan dibantu pegawai-pegawai di Pejabat Menteri Besar.

Blog Menteri Besar akan dilancar sempena majlis pelancaran Wi-fi A�Ptus.Net sebuah agensi di bawah Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan (PKINK) bertempat di ruang legar KB Mall, Khamis ini.

Di Kelantan beberapa wakil rakyat mempunyai blog sendiri termasuk Adun Bunut Payong, Dato' Takiyuddin Hassan, Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar, Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad dan Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman.

Manakala Dato' Husam Musa mempunyai laman web yang dibangunkan sejak beberapa tahun lalu. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan