kemaskini 10.05pm Proses pengurangan undi masih berjalan. Persaingan bagi jawatan timbalan presiden dikuasai Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan meninggalkan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.
Keputusan tidak rasmi: Muhyiddin mendapat 1575, Muhammad meraih 916. Manakala bagi jawatan naib presiden pula, tiga calon yang mendapat undi tertinggi setakat ini difahamkan ialah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Maklumat awal yang diperolehi oleh Malaysiakini menunjukkan Muhyiddn dan Muhd Taib saling mendahului jumlah kutipan undi. Pengundian untuk memilih jawatan tertinggi Umno memakan masa kira-kira tiga jam dan berakhir jam 3 petang ini, melibatkan lebih 2,500 perwakilan.
Ia diadakan tidak lama selepas para perwakilan berhenti rehat mulai jam 11.15 pagi setelah mendengar ucapan dasar presiden Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Lapan orang calon bersaing untuk mengisi tiga kerusi naib presiden, termasuk Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Rais Yatim, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Datuk Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik. Manakala 49 orang lain bertanding untuk 25 kerusi ahli Majlis Tertinggi (MT).
Perwakilan dua bahagian yang akan menghadapi pilihanraya kecil antara 29 Mac hingga April ini diberikan keutamaan untuk membuang undi sebelum pulang ke Bukit Gantang dan Merbok.
Keputusan dijangka diumumkan lewat malam ini.
Proses pengundian disiarkan secara langsung di televisyen litar tertutup di PWTC, tempat berlangsung perhimpunan agung parti sehingga Sabtu ini.
Selain jawatan-jawatan penting itu, turut dipertaruhkan adalah jawatan pengerusi tetap dan timbalannya.
Difahamkan, para perwakilan cenderung memangkah Muhammad berbanding Muhyiddin, susulan larangan bertanding yang dikenakan kepada seorang lagi calon, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Muhammad dan Mohd Ali dianggap pemimpin yang dekat dengan presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Sementara bagi jawatan naib presiden, kecenderungan perwakilan diramal lebih memihak kepada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Bekas ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein diura-urakan berada di tangga keempat persaingan tersebut.
Sesi perbahasan usul oleh para perwakilan dimulakan jam 3.30 petang dan tamat tiga jam kemudian.
Sekarang para perwakilan dan kumpulan penyokong calon-calon yang bertanding sedang menanti dengan penuh debar keputusan pemilihan. -malaysiakini- |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan