KOTA BHARU, 24 Mac (Hrkh) - "Saya terharu disebabkan khianat pemimpin Umno terhadap Dato' Seri Ir Nizar Jamaluddin menyebabkan orang Cina dan India turut sama menangis.
"Saya sendiri tengok mereka menangis selepas peristiwa rampasan kuasa berlaku Febuari lalu," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta reaksinya terhadap Menteri Besar Pakatan Rakyat dicalon bertanding di parlimen Bukit Gantang.
Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, keputusan bersama pemimpin tertinggi parti perlu diterima semua pihak.
"Saya juga akur terhadap keputusan tersebut biar pun pada awalnya bimbang pengaruh Nizar boleh hilang apabila memegang dua jawatan penting di negeri dan pusat.
"Saya takut berulang seperti kes dialami Dato' Asri Muda dahulu yang juga menerajui dua jawatan. Tetapi sekarang nampaknya zaman dah berubah, jadi saya restulah keputusan tersebut.
"Saya juga ada telefon kepada pemimpin PAS di Kuala Lumpur dan minta kirim salam kepada Nizar," kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.
Ir Nizar diumumkan sebagai calon PAS bagi pilihan raya kecil Bukit Gantang 7 April ini oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada satu ceramah di Padang Taman Kota Jaya, Taiping, malam tadi.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, rakyat di Perak amat memahami suasana politik terkini yang berlaku di tempat mereka.
Kata beliau juga pemimpin Umno sekarang sudah tenggelam dalam najis rasuah apabila ia diakui sendiri Lembaga Disiplin parti terbabit.
"Kalaulah peringkat tinggi pun dah ada rasuah, Umno di peringkat bawah akan lebih teruk lagi. Oleh itu saya rasa dah tak ada sebab orang ramai masih hendak undi Umno sekarang." kata beliau.
Beliau juga berkata, PAS memberi sokongan padu terhadap calon KeADILan yang bertanding di Dun Bukit Selambau, Kedah dan Batang Ai di Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan