PERAK – Retak Membawa Belah (Bhgn 5)

Sogok-menyogok 

Sejak Dr. Zambry Abdul Kadir dinobatkan sebagai menteri besar Perak (H), pada Jumaat 6 Februari, 2009; menteri besar yang ke-10 masih mahu bertahan dengan jawatannya. Ini bererti krisis politik yang dianggap paduka Sultan dapat reda, terus membara.

Keadaan menjadi terus kalut kerana UMNO menaja tunjuk perasaan di merata negara melibatkan pelajar-pelajar universiti dan beberapa pertubuhan NGO yang merupakan sayap dan organisasi serpihan UMNO juga. Tunjuk perasaan ini bukan terhad kepada Perak, malahan di merata negara. Contohnya di Kedah, inisiatif UMNO itu telah membabitkan juga BBPM dan Persatuan Kerabat DiRaja Kedah. Yang anehnya semasa imuniti raja-raja dibogelkan oleh TKT Mahathir, tidak pula badan-badan seperti ini yang berani melalak.

Satu ketika dahulu, Ir. Nizar pernah mencabar Najib Razak, kalau dia fikirkan kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan beliau sudah hilang kepercayaan rakyat, apa salahnya dibubarkan Dewan Undang Negeri Perak supaya diadakan Pilihan Raya Umum semula? Malahan semasa sultan memutuskan agar Dewan Undangan Negeri tidak dibubarkan, kita lihat beberapa orang jaguh UMNO seperti Zahid Hamidi, Muhamad Taib, Khairy Jamaluddin, Hishamuddin Hussein dan Mustapha Yakob melalak betapa “rakyat Perak sudah sedar bahawa hanya UMNO dan BN yang boleh membela nasib rakyat”. Semua mereka in lupa bahawa rakyat baharu sahaja menolak kepimpinan BN dan UMNO daripada bumi Perak pada Pilihan Raya Umum bulan Mac 2008 dahulu.

Pemimpin UMNO itu bersuara lantang kini setelah tiga orang ADUN Pakatan Rakyat bertindak keluar daripada PR untuk menjadi wakil rakyat bebas. Mereka adalah ADUN DAP bagi Jelapang, bernama Hee Yit Foong, ADUN PKR bagi Changkat Jering Kapten (B) Osman Jailu dan ADUN PKR bagi Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi. Sebelum itu ADUN Bota Nasaruddin Hashim yang melompat keluar UMNO untuk masuk PKR telah berpaling semula masuk UMNO.

Kini, Dr. Zambry sudah pun mengumumkan barisan Exco seramai enam orang yang dianggotai oleh lima orang wakil UMNO dan seorang wakil MCA. Zambry juga telah melantik tiga orang sebagai penasihat beliau.

Kemudian, seorang pemimpin DAP Perak telah memfailkan bantahan di mahkamah membantah pelantikan tiga orang penasihat itu kerana tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan. Bayangkan kalau mereka diberikan gaji sebanyak RM250,000 setahun bererti kerajaan BN/UMNO Perak memang membazirkan wang rakyat. Tiga orang yang dilantik ini bukanlah EXCO tetapi mempunyai taraf yang sama dengan Exco. Apa gunanya melantik seorang penasihat agama Islam sedangkan Perak mempunyai seorang mufti dan beribu-ribu orang imam? Apa gunanya ada seorang penasihat penerangan sedangkan sudah ada Jabatan Penerangan Negeri? Apa perlu seorang penasihat khas urusan kaum India sedangkan sudah wujud parti MIC dan Gerakan di merata Perak?

Ramai rakyat yang tertanya-tanya kenapa anggota Exco hanya seramai enam orang sehinggakan Zambry memegang sepuluh portfolio. Dia jawab bahawa dia selesa dengan bilangan Exco yang kecil semacam itu. Tetapi saya fikir lambat laun keempat-empat orang ADUN PR itu akan dilantik menjadi Exco juga. Mungkin ini merupakan sebahagian janji yang ditabur untuk membuat mereka lompat parti. Cuma buat ketika ini pelantikan mereka tidak boleh diumumkan kerana adanya masalah undang-undang yang perlu dibereskan. Lagi pun, dua orang ADUN Bebas itu (Jamaludin dan Osman Jailu) sedang menghadapi tuduhan rasuah di mahkamah. Kes perbicaraan telah ditangguhkan pada 15 Julai.

Satu lagi penghalang kerancakan aktiviti kerajaan pimpinan Zambry ialah pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen yang dijangka diadakan awal April nanti. Sudah tentu Najib tidak mahu BN dan UMNO kalah di Bukit Gantang, walaupun menyedari itu adalah kubu kuat PAS. Mungkin Zambry terpaksa merencana lebih banyak undi pos dimasukkan dalam daftar pengundi, sepertimana dia menang besar di Pangkor dahulu.

Adalah sangat sukar untuk BN menang dalam mana-mana pilihan raya kecil kerana yang ditentang oleh BN dan UMNO bukannya wakil parti pembangkang ataupun mana juga calon bebas. Yang menjadi tentangan wakil UMNO BN nanti ialah rakyat marhaen. Perkara ini menjadi lebih ketara apabila rakyat marhaen sedar bahawa wang telah berpindah tangan untuk menyogok tiga orang wakil rakyat PKR berpaling tadah. Mengikut artikel di Malaysia Today, Bekas Timbalan Speaker Perak (Hee Yit Foong) yang merupakan seorang OKU itu telah sanggup berpaling tadah setelah disogok lima belas juta oleh Najib dan dibayar oleh Vincent Tan. Khabarnya lagi sepuluh juta akan dilunaskan dalam masa terdekat.

Saya pernah menulis akan perkara sogokan wang ini di mana pengendali nombor “Toto” dan “Empat Nombor Ekor” diberikan lesen menjual tiket dalam isu jualan khas untuk membolehkan mereka membiayai BN dalam setiap pilihan raya. Apa sangatlah lima belas juta? Jika benar upah sedemikian disediakan oleh Najib dan BN, bererti dua orang ADUN PKR yang berpaling tadah itu turut menerima habuan haram untuk menyara anak isteri mereka. Limpahan 'kemewahan' haram itu akan disalurkan pula kepada cucu-cicit mereka dan suku-sakat yang menadah ikhsan.

Saya juga diberitahu lama dulu lagi rencana UMNO untuk merampas kembali empat negeri pimpinan PR itu telah dirancang dengan berbelanjakan RM200 juta. Waduuuhhhhhhhh banyak sungguh duit tauke judi yang disalurkan untuk sogok-menyogok dan memancing ADUN PR.

Menyentuh cerita dua orang ADUN bekas PKR yang dikenakan perbicaraan kerana rasuah, ada yang bertanya macam mana Najib boleh memancing mereka keluar PKR sedangkan mereka diancam tuduhan BPR. Saya fikir mereka sudah mendapat jaminan BPR (kini SPRM) untuk lepas daripada hukuman mahkamah. Besar kemungkinan mereka akan menerima hukuman “ACQUITTAL NOT AMOUNTING TO DISCHARGE” yang membawa erti mereka dibebaskan dengan bersyarat. Ini bererti mereka perlu akur dengan telunjuk BN dan UMNO supaya mereka tidak didakwa semula atas kes rasuah yang sama itu.

Inilah yang menyedihkan saya kerana kes BPR itu adalah kes yang lemah. Sengaja direncana oleh UMNO untuk memerangkap dua orang ADUN tersebut. Apa yang mereka hadapi itu adalah satu rencana besar UMNO untuk memerangkap mereka agar lompat parti. Tetapi disebabkan wujudnya Akujanji mereka semasa menerima pelantikan untuk bertanding dalam pilihan raya dahulu, UMNO telah mengubah strategi dan meminta mereka isytiharkan diri keluar parti dan menjadi wakil BEBAS.

Seperti yang saya katakan dahulu, paduka Sultan telah menyoal mereka ke manakah kecenderungan mereka dalam politik? Mereka jawab akan menyokong kerajaan UMNO. Cuma paduka Sultan lupa bertanya berapa juta yang mereka terima? Adalah tidak masuk akal kalau wakil rakyat itu sanggup belot hanya kerana bertukar ideologi politik. Yang paling menarik hati saya ialah sikap Hee Yit Foong, yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Speaker. Kalau kita ambil sejarah dia menjadi wakil rakyat, pemilihan dibuat sendiri oleh Lim Kit Siang yang sedar akan sentimen para pengundi.

Lim Kit Siang ambil-kira jasa Hee Yit Foong yang satu ketika bertugas sebagai kerani di pejabat DAP. Sebagai seorang pengidap penyakit polio, dia diberikan undi simpati oleh para pengundi yang mahu mengnyahkan wakil rakyat MCA. Tentulah Hee Yit Foong tidak sanggup meninggalkan jawatan lumayan kalau dia tidak menerima janji imbuhan yang lumayan. Setidak-tidaknya dia kini mampu membeli kerusi roda yang canggih yang bernilai hampir satu ratus ribu seperti yang digunakan oleh Dick Cheyney di Amerika Syarikat.

Sekarang rakyat Perak mahu tahu siapakah nanti yang akan menjadi wakil UMNO bertanding di Bukit Gantang. Ada pelbagai nama yang dibincangkan. Saya cadangkan agar PAS turunkan Ir. Nizar dan UMNO pula turunkan Dr. Zambry agar bertanding di situ. Barulah kita dapat satu rumusan jitu di mana kecenderungan pengundi dalam krisis politik Perak. Walaupun Tuan Guru Nik Aziz tidak bersetuju dengan usaha meletakkan Nizar di Bukit Gantang, saya fikir beliau harus ambil kira keinginan rakyat Perak. Lagi pun, khabarnya Nizar sudah pun keluar daripada rumah rasmi menteri besar dan menyerahkan TOYOTA CAMRY yang diguna oleh barisan Exco.

Saya amat berharap Nik Aziz akan sedar bahawa Ir. Nizar dan kemelut politik Perak adalah satu katalis baru bangkitnya gelombang reformasi kedua menurut kebangkitan reformasi yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dahulu. Gelombang reformasi yang dimulakan oleh Anwar Ibrahim dahulu telah menjatuhkan sebuah pemerintahan kukubesi dan sungguh diktatorial pimpinan TKT Mahathir Mohamad. Reformasi yang dimulakan oleh Ir. Nizar adalah kesinambungan gelombang yang sama tetapi akan menghapuskan UMNO.

Yang saya nampak sekarang ini perbuatan UMNO berkumpul menunjuk perasaan dengan dibantu segala sayap pembodeknya seperti PAKIDA, GPMS, Belia 4B adalah satu proses di mana UMNO akan hancur daripada dalam (implosion) juga. Adalah amat menyedihkan apabila kita lihat orang-orang Melayu terutama mereka yang muda-muda berkumpul buat kerja yang tidak mendatangkan faedah. Apakah tidak cukup dengan Perlembagaan yang ada untuk menjaga keselamatan golongan DiRaja? Apakah tidak cukup dengan satu pasukan polis pengiring yang khas untuk raja-raja dan di sesetengah negeri bila raja bergerak ada pula sebuah ambulans khas yang mengekorinya.

Di manakah Putra UMNO, Belia 4B dan GPMS apabila ada sultan yang meminta menteri besarnya mengirimkan duit untuk melunaskan hutang yang ditimbunnya semasa berjudi di kasino London? Apakah yang mereka lakukan apabila tersebar berita betapa Mirzan Mahathir kerugian lebih tiga juta berjudi di sebuah kasino di Monte Carlo? Apa pula yang mereka lakukan semasa tersembul berita bagaimana seorang bekas ketua menteri Sabah (Osu Sukam) yang ditagih hutang berjuta oleh sebuah kasino di London?

Bukankah perbuatan Melayu yang rugi besar di kasino itu satu perbuatan biadab kepada bangsa Melayu?

Saya mesti mengaku betapa emosinya saya dalam hal ini terutama sekali bila menulis tentang kehancuran UMNO sebab saya pernah menjadi ahli UMNO sejak Malaya mencapai kemerdekaannya.

Apa jadi bila ekonomi merudum?

Kelmarin, Setiausaha OPEC (Pertubuhan Negara Pengeluar Minyak) telah mengumumkan betapa kemungkinan pengeluaran minyak pada tahun hadapan dicatu sehingga berlaku pemotongan sebanyak satu ratus lima puluh juta tong sehari. Ini satu pemotongan yang besar berasaskan “52 day average” ataupun kiraan purata selama 52 hari. Tujuan mereka sebenar untuk mengekalkan harga satu tong minyak jangan turun daripada US42 setong.

Sebagai sebuah negara pengeluar minyak bagaimana gerangan rencana kerajaan mahu mengurangkan perbelanjaan bajetnya kalau harga minyak terus menurun? Adakah kita dengar sebarang rencana daripada Najib?

Adakah kita dengar Pemuda UMNO mengendalikan seminar ekonomi melibatkan GPMS. Belia 4B. PAKIDA, Persatuan Kerabat DiRaja ataupun MUBARAK untuk mengerah otak membincangkan masalah ekonomi negara? Apakah Pemuda UMNO yang dipimpin oleh Hishamuddin Hussein masih yakin dengan kata-kata Najib Tun Razak akhir tahun lalu yang berkata : “...KRISIS EKONOMI AMERIKA TIDAK AKAN MENJEJASKAN EKONOMI NEGARA.......”? Cubalah buka akhbar lama dan baca apa kata Najib Tun Razak dan juga pemimpin UMNO yang lain mengenai ketahanan Malaysia menangani krisis ekonomi dunia.

Akan tetapi, apa yang terjadi sekarang? Najib mahu membentangkan satu bajet khas untuk menangani krisis ekonomi dunia. Dengan lain perkataan, UMNO sebagai sebuah parti yang berlagak sebagai payung hidup orang Melayu sentiasa membohongi bangsanya sendiri. 
 

Marhaintua 
28 Februari, 2009.                                                                                                                                                http://www.marhaen.info/v1/index.html#Baca

Tiada ulasan:

Catat Ulasan