Sudah ditakdirkan Abdullah menjadi Perdana Menteri dalam tempoh yang relatif singkat. Bermula dengan kejutan menang besar dalam pilihan raya umum 2004, Abdullah juga terkejut besar dengan tsunami politik 8 Mac 2008 yang memaksa dirinya berundur lebih awal. Sukar hendak dipastikan legasi tinggalannya yang menjadi kenang-kenangan generasi akan datang. Kalau projek Islam Hadarinya pun sudah dilupakan -- malah tidak difahami rakyat -- ketika beliau masih seorang Perdana Menteri, maka apa lagi mahu diharapkan dengan program lain yang diperkenalkannya. Namun begitu, beberapa langkah awal Abdullah untuk membenarkan Malaysia lebih menikmati suasana keterbukaan dan demokratik, mungkin akan dihargai satu masa nanti.
Sejak hari-hari pertama Abdullah mengangkat sumpah sebagai perdana menteri, Najib bukan pilihan utama untuk dilantik sebagai timbalannya. Beliau mengambil masa agak panjang, itu pun selepas "dipaksa" Dr Mahathir Mohamad, bagi memilih Najib. Orang lebih suka mengaitkan Muhyiddin Yassin -- yang juga dilihat rapat dengan Anwar Ibrahim -- sebagai tokoh yang wajar digandingkan bersama Abdullah. Bagaimanapun, siapa menyangka Muhyiddin kemudiannya menjadi tokoh paling lantang menolaknya ke tepi dinding dan memaksa Abdullah mempercepatkan pelan peralihan kuasa. Ternyata dari segi ini, Najib terhutang budi kepada Muhyiddin.
Semua sepakat bahawa imej Najib sebagai bakal perdana menteri begitu suram dan mendung. Bebannya menanggung pelbagai tuduhan dan dakwaan nampak berat dan meletihkan. Sepatutnya beliau melangkah masuk Seri Perdana dengan sorak-sorai yang bergemuruh, dengan harapan baru rakyat yang menggunung. Itulah suasananya ketika Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir mengambil alih kuasa, malah begitulah juga sambutan luar biasa rakyat sewaktu Abdullah memulakan beberapa langkah pembaharuan. Bukan sahaja Najib dicurigai, tetapi lebih buruk lagi, isterinya, Rosmah Mansur turut "digeruni". Ia sudah tentu suatu perkembangan yang menyedihkan, bukan sekadar buat pasangan suami-isteri ini, malah kepada negara ini seluruhnya.
Abdullah tiada pilihan kecuali meneruskan pelan peralihan kuasa walaupun mungkin kini beliau menyedari Najib dan isterinya merupakan satu bebanan berat buat negara. Sudah terlalu lewat untuk Abdullah mencari jalan keluar dan beliau pula sememangnya tidak berkeupayaan menyanggah arus biarpun jika berbuat demikian beliau akan mendapat sokongan majoriti. Personalitinya tidak cukup kuat untuk membawa -- apatah lagi menjayakan -- suatu misi perubahan. Di kala mendapat sokongan hebat pada 2004, Abdullah mensia-siakan peluang terbaik itu, seolah-olah beliau hanya mahu menjadi seorang perdana menteri yang paling seronok ketika memerintah, sekadar bersantai memperagakan diri. Hanya ketika di hujung pemerintahannya, Abdullah nampak begitu tergesa-gesa untuk mencari sentuhan bermakna, tetapi ia sudah cukup terlewat.
Jika Abdullah boleh dianggap malang, nasib Najib sebagai pengganti lebih tidak keruan. Bayangkan sahaja, anak-anak kecil pun sudah mempersoalkan wibawanya untuk menerajui negara, apatah lagi untuk memartabatkan Malaysia di persada antarabangsa. Beberapa kes mutakhir, misalnya rampasan kuasa di Perak, semakin menunjukkan belang Najib yang menakutkan itu. Ia langsung tidak membantu Najib untuk memulihkan imejnya yang sedia buruk. Bayangkan sahaja jika BN kalah di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, reputasi Najib terus menjunam dan ini menyukarkan beliau untuk memimpin negara keluar dari suasana kemelesetan dan ketidak-tentuan. Ya, mungkin segalanya diatur bagi menyempurnakan Najib sebagai perdana menteri terakhir dari BN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan