Perkataan Allah hanya bagi ruang lingkup orang beriman

Lanjusoh 
KOTA BHARU, 2 Mac (Hrkh) - 
Laporan media yang menyebut Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kononnya menyifatkan tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah dianggap sebagai satu kekeliruan terhadap maksud sebenar.

Setiausaha Politik Menteri Besar, Anual Bakri Harun berkata, wartawan silap memahami apa yang disebut Menteri Besar kerana perkataan Allah hanya boleh digunakan bagi mereka yang telah menerima Islam.

"Bagi memahami konteks yang disebut Menteri Besar dengan lebih jelas kita kena memahami maksud surah Al Ikhlas iaitu Katakanlah (ya Muhammad), Dialah Allah yang Maha Esa, Allah yang dituju (meminta hajat). Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada satu pun yang menyerupaiNya.

"Oleh itu jelaslah nama Allah hanya wajar digunakan bagi mereka yang telah beriman dan tidak boleh menyalahi sifat 99 namaNya," kata beliau di sini.

Hari ini beberapa akhbar melaporkan Mursyidul Am menyifatkan tidak salah bagi orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah bagi merujuk kepada Tuhan.

Isu tersebut timbul ekoran akhbar mingguan Herald Cantholic masih berdegil menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mereka.

Anual berkata, wartawan yang mentafsir kenyataan Menteri Besar Kelantan agak menyimpang dari maksud sebenar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan