PPSMI bukan isu kecil - Teras

Bashir Ishak 
ALOR SETAR, 17 Mac (Hrkh)
 - Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid mengingatkan kerajaan yang memerintah bahawa isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) bukannya satu perkara kecil.

Berucap dalam program "Gema Rakyat - Isu PPSMI, Kita Pantang Berundur" di Dewan Sri Mentaloon, Kediaman Rasmi Menteri Besar Kedah di sini malam tadi, beliau menyifatkan isu perjuangan memartabatkan kembali Bahasa Melayu adalah sama juga dengan memperjuangkan Islam.

"Di dunia ini hanya ada dua bahasa yang diiktiraf penggunaannya dalam Islam iaitu bahasa Arab dan Bahasa Melayu. Ini kerana bahasa Melayu telah berkembang dengan banyak menggunakan perkataan-perkataan Arab," katanya.

Menyentuh tentang himpunan rakyat membantah PPSMI 7 Mac lalu, beliau melahirkan rasa kesalnya dengan sikap pihak berkuasa yang bertindak ke atas peserta himpunan tersebut.

"Kita berarak bukan untuk membuat kekasaran, tapi untuk menyatakan kasihnya kita kepada bahasa.

"Ingatlah kerajaan yang memerintah, bahawa apa yang dibuat mereka terhadap nasib Bahasa Melayu ini akan dihukum oleh rakyat melalui "Bahasa Undi"," katanya.

Program tersebut yang dianjurkan oleh Teras dan Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Kedah (Wehdah) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Kedah turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Dato' A.Samad Said dan dihadiri sekitar seribu orang. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan