Raja perlu elakkan 'pagar yang membawa rebah'

Harakahdaily 

Mukadimah

Krisis politik dan Perlembagaan yang berlaku di Perak mendorong minat masyarakat untuk mengkaji hubungan antara istana dan rakyat khususnya dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan demokrasi berparlimen. Setakat manakah peranan institusi Raja dalam sistem demokrasi? Berikut adalah sedutan Titah Utama, Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah sempena Forum Khas Melayu Islam Beraja sempena Hari Keputeraan Sultan Brunei Darussalam di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, pada 20 September 2006.

Budaya feudalisme dan budaya autokrasi bukan budaya yang boleh dikaitkan dengan dikaitkan dengan institusi. Budaya feudalisme dan budaya autokrasi berlaku kerana perbuatan individu apabila individu menjadi mabuk kuasa. Budaya tersebut subur apabila manusia menjadi takjud kepada individu, melakukan pendewaan terhadap individu hingga berasa takut yang melampau kepada individu.

Tidak dinafikan budaya feudalisme dan budaya autokrasi pernah berlaku dalam istana - pernah berlaku di kalangan Raja tetapi budaya feudalisme dan budaya autokrasi turut dilakukan di kalangan mereka yang tidak berketurunan Raja dari kalangan rakyat biasa dan berlaku dalam sistem republik dalam pemerintahan berpaksikan tentera malah dalam sistem atas nama agama.

Malah kajian menunjukkan bahawa bilangan rejim diktator dan autokrasi hari ini berlaku di negara-negara yang tidak berada di bawah pemerintahan Raja.

Masyarakat dunia sedang dan akan terus melalui proses evolusi yang semakin rancak. Era teknologi maklumat-era komunikasi telah menembus sempadan negara-sempadan negeri. Kekebalan Raja turut terjejas kerana proses perundangan bersifat sejagat ditambah pula dengan gaya hidup Raja dan kerabat Diraja yang tidak lagi terkurung dalam lingkungan tembok istana.

Ekonomi berpaksikan pengetahuan memberikan satu kemerdekaan baru, membina kekayaan bersumberkan intelek sekali gus mengurangkan keperluan insan mendapat naungan. Kemajuan pendidikan memudahkan minda dan jiwa manusia bersifat lebih bebas dan lebih terbuka. Pendalaman pengetahuan agama menyedarkan manusia bahawa terdapat kuasa yang Maha Agung di atas segala kuasa dan kerajaan di dunia. Media pula mencanai minda masyarakat yang menuntut kepada amalan ketelusan dan kebertanggungjawaban kepimpinan.

Raja perlu memiliki hikmah merangkai yang lama dengan yang baru membawa pembaharuan di samping memelihara tradisi. Raja harus bersedia membolehkan berlakunya perubahan dalam rangka kesinambungan budaya Raja berkewajipan mengizinkan modenisasi tanpa melupus kekayaan adat yang kekal diwarisi. Sesungguhnya Raja telah membuktikan keupayaannya memenuhi peranan sedemikian secara berkesan.

Biar apa pun sistem Raja itu dilandaskan, peranan Raja bukanlah sekadar menjadi simbol untuk melaksanakan tugas-tugas kerajaan dan istiadat semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku-tanpa nyawa-tanpa jiwa. Raja perlu memperlihatkan watak tegas, bijaksana, adil dan saksama.

penasihat berwibawa

Adalah menjadi keperluan bagi Raja mempunyai barisan pembesar dan penasihat dari kalangan mereka yang arif ilmuwan, dari kalangan mereka yang tidak mempunyai muslihat, dari kalangan mereka yang tidak berkepentingan terselindung supaya Raja disembah menasihat dengan maklumat yang tepat secara objektif - secara rasional berasakan fakta - bersandarkan data agar Raja terlindung dari berpagarkan sokong yang membawa rebah.  

Baca selanjutnya:-http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=019957&Itemid=60

Tiada ulasan:

Catat Ulasan