Senang Hati Tengok Azmil Pakai Jubah

KERANA ghairah mengintip gerak geri Abdullah Ahmad Badawi dan Anwar Ibrahim selama berada di Madrasah Zuwiyah Nurul Iman, Selasa lalu menyebabkan saya terlupa untuk mencatat sesuatu mengenai seorang insan artis bernama Azmil Mustafa. Sebenarnya perkembangan pada diri Azmil lebih istimewa dan lebih berharga daripada pertemuan antara kedua negarawan itu.


Azmil pelakon popular tahun-tahun 80-an pernah menjadi pasanganideal bersama Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dalam filem Ali Setan, 1, juga hadir sama ke majlis berkenaan. Azmil yang diberitakan sudah meninggalkan seni lakonan dan mengubah corak kehidupan dan gaya pakaian (berjubah dan berserban) dengan mendekati diri kepada Allah dan menerjunkan diri ke alam dakwah.

Saya bernasib baik pada hari itu ditempatkan sebaris dengannya di ruang tetamu khas kemudian bertemu pula di meja makan yang sama. Kesempatan yang ringkas itu sempatlah saya bertanya serba sedikit mengenai perkembangan dirinya kini. Penilaian spontan saya mengenai Azmil dia seorang yang ramah dan mudah diajak berbual. Dia juga berterus terang mengenai dirinya.

Azmil kini tinggal di Damaskus, Syaria. Menurutnya beliau ke sana dalam rangka mendalami ilmu agama serta belajar bahasa Arab. Menurutnya tidak ada sesiapa yang membiayai beliau di sana dan semuanya, makan minum dan perbelanjaan lain ditanggung oleh Allah taala.

"Tidak ada sapa-sapa sponsor, semuanya saya serahkan kepada Allah. InsyaAllah kalau kita yakin semuanya selesai. Serah diri kepada Allah," ujarnya.

Saya kagum dengan pendirian dan keyakinan Azmil kepada Rahman dan Rahim Tuhan. Beliau di Syaria bukan bersendiri sebaliknya anak dan isteri turut dibawa sana. Calang-calang orang dapat melakukan seperti apa yang dibuat Azmil itu. Dia bukan saja menjaga nyawanya seorang tetapi nyawa anak-anak dan isteri juga.

Untuk beberapa hari ini beliau berada di Malaysia, pulang semata-mata untuk menyertai himpunan para wali di Zuwiyah Nurul Iman di Hulu Langat itu.

Ditanya apakah beliau akan terus meninggalkan dunia lakonan yang memperkenalkan dirinya itu, Azmi menjelaskan: "kalau ada tawaran untuk filem yang sesuai dengan cara hidup saya kini, insyaAllah saya akan menerimanya."

Mudah-mudahan Azmil akan istiqamah dengan ciri kehidupannya hari ini. Dan didoakan juga selepas kembali ke tanah air apabila menamatkan pengajian beliau akan mendapat tawaran berlakon dalam filem yang secocok dengannya itu. Orang berbakat macam Azmil rugi kalau meninggalkan senbi lakon kerana seni lakon juga merupakan medium untuk berdakwah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan