Seruan Zaid wajar dan betul, Yang DiPertuan Agong ada kuasa tolak Najib sebagai Perdana Menteri!





SERUAN bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Mohd. Zaid Ibrahim supaya Yang diPertuan Agong tidak melantik Dato Seri Mohd Najib Tun Razak benar-benar menggemparkan. Dalam satu ucapan di sebuah hotel di ibu negara Rabu lalu bekas menteri kabinet itu menyatakan Najib mempunyai banyak beban dan tanggungan yang boleh menyulitkan negara.

Selain Zaid, Timbalan Pengerusi DAP, Tunku Aziz Tunku Ibrahim juga turut menyatakan sentimen yang sama. Beberapa pihak, termasuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan calon Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju dan menyifatkan seruan bekas Ketua Umno Bahagian Kota Bharu itu sebagai tidak bertanggung jawab dan berniat jahat. Bagaimanapun Profesor Dr Abdul Aziz Bari berpendapat seruan Zaid itu mempunyai asas dan kewajaran.

Katanya, Raja-Raja sendiri, dalam melantik beberapa orang hakim termasuk Ketua Hakim Negara pada 2000 dan Presiden Mahkamah Rayuan pada 2002 "melanggar peruntukan dalam perlembagaan". Tetapi, jelas Aziz lagi, pelanggaran itu perlu kerana jika tidak keseluruhan maksud perlembagaan itu akan terjejas.

Beliau juga menyebut keputusan istana Terengganu yang bertegas menolak Dato Seri Idris Jusoh yang ketika itu dikatakan mempunyai sokongan majoriti di dalam DUN Terengganu.

Aziz menegaskan perkara ini pada forum mengenai politik semasa di Surau An-Nur Bandar Baru Bangi Khamis lalu. Forum anjuran Gabungan Mahasiswa UKM bersama dengan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi itu pada mula dijadualkan di dalam kampus UKM tetapi dibatalkan oleh pihak universiti pada saat-saat akhir.

Ahli panel lain dalam forum tersebut termasuklah Exco Kerajaan Kelantan, Dato Husam Musa dan Pengerusi Mahasiswa Bersatu Perak, Hafed Sabri. Ia dipengerusikan oleh penganalisis politik Prof. Madya Dr Ahmad Nizamuddin Sulaiman. Ahli Parlimen Umno Batu Pahat, Dato Dr Fuad Zarkashi yang pada mulanya memberikan persetujuan mengundurkan diri di saat akhir.

Ketika diminta mengulas lanjut, Aziz berkata Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang disebut oleh Muhyiddin tidak mutlak dan memberi hak kepada Najib untuk menjadi Perdana Menteri.

"Dalam sebuah sistem demokrasi yang adil, terbuka dan telus memang Yang diPertuan Agong wajib mengikut kehendak majority sebagaimana yang ditetapkan oleh Perkara 43(2)(a) itu. Tetapi di dalam sebuah sistem yang kotor dan penuh dengan misteri dan penipuan baginda perlu bijak dan berani kerana jika tidak negara ini akan jatuh ke kancah kebinasaan sebagaimana yang ditakuti oleh Zaid," ujarnya.

Pakar perlembagaan itu berkata di dalam sebuah sistem yang telus dan adil seperti United Kingdom umpamanya memang raja tidak mempunyai peranan yang signifikan kerana semuanya ditentukan dengan adil dan telus oleh sistem politiknya.

"Ini jelas tidak berlaku di Malaysia," tambah profesor undang-undang itu lagi. Katanya perlembagaan tidak harus ditafsir secara harfiah (literal) sehingga membenarkan pencuri dan penyamun bermaharajalela.

Diminta menjelaskan apakah seruan Zaid itu tidak mempunyai kesan menyeret istana ke dalam politik, Aziz berkata: "Menyeret itu maksudnya negatif sedangkan apa yang Zaid mahu ialah istana bertindak menyelamatkan negara dari diambil oleh seorang yang komitmennya terhadap demokrasi amat meragukan. Ini telah pun dilakukan oleh istana dalam penolakan Idris Jusoh di Terengganu. Melihat apa yang diperkatakan tentang Najib adalah amat naïf untuk mengatakan beliau seorang yang bersih," katanya.

Ditanya mengenai krisis di Perak Aziz berkata ia juga berbeza dengan apa yang disuarakan oleh Zaid kerana apa yang diminta Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ialah supaya kekeliruan itu diselesaikan dalam dewan atau dewan dibubarkan.

"Nizar tidak meminta istana menyokongnya. Beliau mahukan kerajaan yang beliau pimpin diadili oleh rakyat di tengah-tengah kekeliruan yang timbul setelah berlaku pencolekkan dan kehilangan tiga orang ADUN itu," tambahnya.

Aziz berkata apa yang perlu dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong telah dilakukan oleh Sultan Idris di Perak pada 1977 dalam krisis baginda dengan Tan Sri Ghazali Jawi.

"Ada laporan mengatakan bahawa baginda tidak berkenan dengan menteri besar itu kerana individu tersebut dikatakan terlibat dengan rasuah. Malah ada yang mengatakan ada tangkapan. Apa pun yang sebenarnya berlaku baginda tidak mahu terlibat dengan seorang yang integritinya dipersoalkan dan saya fikir itu betul malah menjadi tugas raja sebagai penjaga perlembagaan itu sendiri. Dan apa yang menarik ialah Sultan Idris melakukannya dalam konteks perlembagaan," tegas Aziz.

"Oleh sebab itu saya fikir Sultan Idris lebih cekap dan lebih faham perlembagaan meskipun baginda tidak berkelulusan undang-undang. Dan kita jangan lupa baginda adalah penentang utama Dr Mahathir yang cuba hendak memindahkan kuasa darurat dari Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri dalam krisis Perlembagaan 1983 itu," tambah beliau.

Kesimpulannya, Aziz berkata, Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak menyelamatkan negara. "Jika tidak krisis yang berlarutan di Perak mungkin akan merebak ke peringkat nasional dan ini tidak baik untuk negara yang berada di dalam kesulitan ekonomi," tegasnya.    
http://sanggahtoksago.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan