Pemimpin kanan PAS memberikan reaksi berbeza berhubung cadangan mengadakan kaedah rundingan untuk memilih barisan pemimpin tertinggi parti pada muktamar, Jun ini.
Naib Presiden PAS Mohamad Sabu berkata cadangan tersebut sewajarnya dibincangkan dalam mesyuarat PAS terlebih dahulu sebelum diluluskan.
"Perkara tersebut belum dibincangkan lagi," katanya kepadaMalaysiakini.
Beliau diminta mengulas cadangan mursyidul am PAS mengadakan syura dalam muktamar kali ini bagi mengelakkan persaingan sengit khususnya antara dua kumpulan besar, pro-muzakarah dengan Umno dan pro-Pakatan Rakyat.
Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini berkata PAS seboleh-bolehnya mahu mengurangkan sebarang perselisihan dalam parti itu, termasuk dalam soal pemilihan pemimpin.
Mohamad menambah, jawatankuasa pusat PAS akan bermesyuarat hujung minggu ini, antara agendanya persiapan menghadapi pilihanraya kecil parlimen Bukit Gantang dan kawasan DUN Bukit Selambau pada 7 April ini.
Katanya, seingatnya pemilihan pemimpin tertinggi parti pernah berlaku secara syura tetapi tidak pasti tarikhnya.
Bagaimanapun, tambah bekas tahanan ISA itu, pertandingan dalam pemilihan nanti "tidak memberi masalah besar kepada PAS" kerana ia merupakan amalan biasa.
Seorang lagi naib presiden PAS Ahmad Awang dan ketua Pemuda PAS Salahudin Ayub bersetuju dengan cadangan mursyidul am PAS itu.
"Saya mengalu-alukan cadangan tersebut dan kita akan memikirkan kemungkinan cadangan tersebut boleh dilaksanakan," kata Ahmad, yang juga pesuruhjaya PAS Perak.
Tambahnya, kaedah syura pernah dicadangkan pada pemilihan 2004 tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana calon-calon yang bertanding tidak bersedia.
"Maka pertandingan berjalan seperti biasa," katanya.
Ditanya mengapa Nik Aziz mencadangkan perkara tersebut kali ini, Ahmad berkata:
"Saya rasa mursyidul am menyedari pada pemilihan 2006, satu dua hari sebelum pemilihan, ada (pemimpin) yang rancak berkempen sehingga suasana (pemilihan) berakhir dengan ada pihak yang tidak berpuas hati.”
Walaupun bersetuju dengan saranan Nik Aziz, Salahudin bagaimanapun menyifatkan idea itu masih "terlalu awal" untuk dibincangkan.
"Amalan ini (syura) adalah cara kita, mengutamakan syura sebagai asas perbincangan dan membuat pemilihan parti," katanya.
"Tetapi jangan salah faham, perundingan adalah satu musyawarah dan pertandingan juga satu syura."
Ahli parlimen Kubang Kerian itu sebelum ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tersebut. Tidak pasti sama ada beliau berminat bertanding jawatan lebih tinggi. -malaysiakini-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan