PASIR MAS, 26 Mac (Hrkh) - Kalau sebelum ini ada pihak meragui kuasa yang ada seseorang Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), namun krisis yang berlaku di Perak sekarang telah menjelaskan keadaan sebenar.
Speaker Perak, V Sivakumar berkata, tindakannya menggantung tujuh Adun Barisan Nasional (BN) termasuk Dato' Dr Zambry Abdul Kadir adalah selaras dengan peruntukan undang-undang.
"Saya telah bertindak berlandaskan kuasa yang ada pada seseorang Speaker dan bukannya melakukan bermotifkan politik," katanya pada ceramah perdana di Mini Stadium Pasir Mas malam tadi.
Orang ramai membanjiri padang bagi mendengar krisis yang berlaku di Perak sekarang.
Sivakumar satu-satunya pemimpin Pakatan Rakyat mampu mempertahankan kedudukan sehingga sekarang.
Begitu juga katanya persidangan tergempar yang diadakan di bawah pokok dilakukan selepas mereka dihalang memasuki Dewan Undangan Negeri.
"Saya lakukan menggunakan kuasa yang ada pada Speaker. Sedangkan sebelum ini orang ramai tak tahu kuasa Speaker dalam menangani isu berkaitan wakil rakyat," katanya.
V Sivakumar juga berkata, kini Perak berada dalam kecelaruan politik kerana rakyat tidak diberi hak bagi memilih pemimpin menggunakan saluran demokrasi.
Menurutnya juga rakyat di Perak tidak menuntut jawatan Menteri Besar diberikan semula kepada Pakatan Rakyat, sebaliknya meminta dibubar Dun bagi membolehkan pilihan raya kecil diadakan.
"Umno dan BN sebenarnya takut untuk mengemukakan undi tidak percaya kepada Menteri Besar Pakatan kerana mereka tidak yakin akan kesepakatan sesama sendiri dalam dewan," ujar beliau.
Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Amran Haron berkata, kemelut politik di Perak secara terang telah dikotori 'kumpulan lanun' yang tidak sabar mendapat kuasa.
Menurutnya juga ketabahan dan kecekalan Dato' Seri Ir Mohd Nizar Jamaluddin menggambarkan kewibawaannya untuk terus memimpin Perak.
"Sebaliknya pihak lawan menggambarkan Nizar sebagai penderhaka apabila enggan meletak jawatan. Sedangkan apa yang dilakukan bagi mempertahankan demokrasi di Perak.
"Kalau Umno merasakan mereka betul, sepatutnya diletak Mohd Zambry menentang Mohd Nizar di Bukit Gantang bagi membolehkan rakyat Perak membuat pilihan," katanya.
Ketua Dewan Pemuda PAS Pasir Mas, Rozi Muhammad berkata, kemenangan Pakatan Rakyat di lima negeri telah menjatuhkan maruah Umno dan BN sehingga mereka menggunakan cara kotor merampas semula kerajaan di Perak.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim berkata, semua calon yang bertanding menggunakan lambang PAS pada pilihan raya umum ke-12 mengadakan bai'ah untuk terus kekal memperjuangkan Islam.
"Saya ingin menanyakan anggota parlimen Pasir Mas yang bertanding menggunakan lambang bulan menyedari atau tidak bai'ah tersebut," katanya.
Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman mencabar anggota Parlimen Pasir Mas, Dato' Ibrahim Ali mengadakan ceramah di stadium tersebut bagi melihat seramai mana penyokong yang masih setia bersamanya.
Pada majlis tersebut Sivakumar dihadiahkan cenderamata iaitu sebilah golok sebagai lambang penghargaan terhadap pengorbanannya mempertahankan kerajaan Pakatan di Perak.
Semalam beliau mengunjungi Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kota Darulnaim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan