Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Salam dan selawat kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dipanjangkan usia bagi membolehkan kita terus mengkoreksi diri agar hidup dalam keredaan-Nya. Bagi mendapat keredaan-Nya, kehidupan kita perlu berpandukan hukum-Nya, antaranya hukum feqah yang membabitkan soal halal, haram, makruh dan sebagainya dalam apa juga pekerjaan.
Namun dalam kehidupan kita hari ini, berlaku kecenderungan sesetengah pihak mengaburi mata masyarakat dengan mengetengahkan istilah yang apabila diungkapkan seolah-olah telah menenggelamkan kejahatan seseorang pesalah atau untuk 'mengiyakan' sesuatu yang jelas haram. Misalnya diciptakan istilah 'bunga' dan 'faedah' bagi menggantikan apa yang jelas haram iaitu 'riba'. Mengapa 'riba' tidak disebut 'riba' tanpa sembunyi-sembunyi lagi.
Suatu ketika dulu, jenayah rasuah diistilahkan sebagai duit kopi, duit pelincir dan sebagainya. Pada akhir-akhir ini timbul pula istilah politik wang. Hanya istilah saja membezakannya; hakikatnya rasuah adalah tetap rasuah yang mengundang kemurkaan Allah SWT dan perlu dihukum di dunia lagi. Apabila istilah-istilah ini diciptakan, maka terlepaslah tertuduh atau pesalah daripada cemuhan masyarakat dan hukuman dunia; tetapi ingat, hukuman Allah SWT tiada siapa yang dapat menyelamatkan diri dengan bersembunyi di belakang istilah-istilah ciptaan terkini seperti politik wang dan pemberian hadiah.
Perasuah dan penerima rasuah perlu dihukum berdasarkan ketentuan Ilahi; demikian juga mereka yang berzina (jangan diistilahkan dengan merendek), merompak (mendapat komisen atau peratus), memakan riba (faedah) dan sebagainya. Setiap Muslim sewajarnya bersikap lulus (bersih dan telus); jika riba katakan riba; jika rompak katakan rompak dan jika rasuah katakan rasuah.
Apabila seseorang itu didapati bersalah melakukan jenayah termasuk rasuah (hukum jenayah Islam terbahagi kepada tiga iaitu hudud, qias dan takzir) dia perlu dihukum berdasarkan hukum Allah SWT. Hukum Islam adalah yang tertinggi, tiada yang boleh mengatasinya. Jika tidak berhukum dengan hukum Allah, bermaksud seseorang, sesebuah masyarakat atau negara itu cuba menolak ketentuan dan perintah-Nya.
Tiada apa yang boleh disembunyikan daripada hukum Allah. Firman Allah SWT bermaksud: "Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayat, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani." (Maksud Firman Allah Taala Surah Al-Baqarah:159-160)
Apabila sesuatu kesalahan itu enggan diadili berdasarkan perintah Allah, tetapi undang-undang kelompok atau parti yang menjadi pegangan, bermaksud siapa lebih tinggi, Allah atau kelompok berkenaan? Inilah yang kita khuatiri kerana undang-undang Allah SWT tidak mengenal bulu, semuanya tertakluk kepada hukum-hakam-Nya. Nabi Muhammad s.a.w. sudah memberikan contoh yang terbaik dengan berkata jika anakandanya, Fatimah mencuri, tangannya juga akan dipotong, tiada kecuali baginya.
Tetapi apa yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini, pemimpin perasuah yang berselindung di sebalik istilah politik wang, tiada perasaan; sebaliknya mereka terus berkempen ke sana ke sini, menyatakan kononnya mereka yang terbaik manakala pengikut masing-masing terus dengan aksi mengumpu menyatakan pemimpin sanjungan mereka dianiaya sedangkan tokoh lain masih bebas lepas.
Sehubungan itu, kita meminta pemimpin umat Melayu apatah lagi Islam berhenti daripada bersandiwara dalam istilah bahasa sebaliknya kembalilah kepada Islam sepenuhnya. Jika zina katakan zina, jika rompak katakan rompak dan jika rasuah katakan rasuah supaya mereka yang bersalah dapat dihukum mengikut hukum-hakam Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan