Anwar: Jika mahu jimat BN usah bertanding di Penanti


   


Ketulusan dan ketelusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak teruji apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar beliau supaya jangan  meletakkan calon Barisan Nasional dalam pilihanraya kecil Penanti yang bakal diadakan dalam tempoh 58 hari lagi.

Cabaran itu dibuat kerana Najib semalam menyatakan bahawa pilihanraya kecil hanya permainan politik Pakatan Rakyat yang membazirkan dana awam. Beliau menyeru rakyat menolak taktik politik sedemikian.

“Kita akan akur dengan kenyataan Perdana Menteri supaya jangan membazir dana awam. Oleh itu saya menyeru pimpinan BN dan Umno supaya tidak meletakkan calon mereka dalam pilihanraya kecil Penanti. Beri Pakatan Rakyat kemenangan percuma.

”Tindakan ini bukan sahaja dapat menjimatkan dana pembayar cukai, masa dan juga tenaga tetapi ia adalah selaras dengan kenyataan Perdana Menteri,” kata Anwar di Permatang Pauh malam tadi.

Beliau berkata, kenyataan Najib itu sebenarnya adalah bertentangan dengan tindakannya yang mengatur konspirasi politik di Perak apabila dilantik menjadi Ketua Perhubungan Umno dan BN untuk menumbangkan kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu

Pilihanraya kecil di Penanti adalah yang keenam sejak pilihanraya umum Mac tahun lalu.
Ia bermula dengan parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang serta kerusi dewan undangan negeri Bukit Selambau dan Batang Ai.

Setakat ini PKR pimpinan Anwar menang dua; PAS dua, dan PRS/BN menang satu. Umno kalah dalam kesemua tiga pilihanraya kecil yang ditandinginya.

Dalam ucapannya Anwar menyifatkan peletakan jawatan Fairus sebagai ”tepat dan betul” kerana beliau kini dibelit penyiasatan Suruhanjaya anti-rasuah Malaysia (SPRM).

”Fairus mungkin tidak didakwa tetapi kepentingan rakyat dan parti mesti didahulukan. Saya menghormati keputusannya meletak jawatan tetapi parti akan memelihara dan melindungi kepentingannya. Kita akan menyediakan bantuan guaman untuknya,’ kata Anwar.

Mohammad Fairus mengemukakan surat peletakan jawatannya Khamis lalu dan ini membuka jalan pilihanraya kecil diadakan dalam tempoh 60 hari.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dijangka mengumumkan pada 24 April bila pilihanraya kecil akan diadakan jika disahkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Penanti berlaku.

Komen Najib mengenai isu Penanti ini agak menyimpang daripada kenyataan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menegaskan bahawa Umno dan BN sudah bersedia menggerakkan jentera pilihanraya bagi merampas kerusi tersebut.

Bagaimanapun akhbar tempatan hari ini segera menyiarkan statistik Polis Diraja Malaysia dan juga SPR untuk membuktikan bahawa kos lima pilihanraya kecil yang dikendalikan sejak pilihanraya umum tahun lalu adalah besar.

SPR dilaporkan membelanjakan RM2.4 juta untuk mengendalikan pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh (RM 409,000); Kuala Terengganu (RM 580,000); Bukit Gantang (600,000), dan untuk dua kerusi dewan undangan negeri Batang Ai (RM400,000) dan Bukit Selambau (RM400,000).

Sementara polis pula berbelanja sejumlah RM31 juta untuk mengawal kententeraman dan keselamatan awam  bagi kelima-lima pilihanraya kecil berkenaan.

Pecahan perbelanjaan polis adalah seperti berikut -- Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 (RM 2.5 juta); Kuala Terengganu pada 24 Januari 2009 (RM 11.5 juta); Bukit Gantang (RM 7 juta); dan RM 10juta di Batang Ai dan Bukit Selambau.

-TVAntara.com.my-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan