Bebalnya Zambry, Berkokok Di Kandang Harimau!!

Sesetengah orang ghairah bercakap hingga melupai dia berada di gelanggang mana. Kerana berjawatan besar dalam agensinya, ada isteri yang menganggap dia juga adalah boss dalam rumah tangga, sedangkan mengikut Islam, suami adalah ketua keluarga.

Begitu juga ada Menteri yang terbawa-bawa dengan jawatannya sebagai ketua politik menganggap dia juga boleh menentukan urusan masjid, tetapi apabila diminta mengimamkan solat terketar-ketar memberi pelbagai alasan.

Dan hari ini, Menteri Besar Kudeta Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dijadualkan berlangsung pada 7 Mei ini akan tetap diteruskan. Beliau berkata persidangan berkenaan akan tetap diadakan pada tarikh yang telah ditetapkan itu walaupun Speaker V. Sivakumar masih tidak memberi kata putus mengenai tarikh tersebut.

Sepatutnya Zambry perlu sedar dia cuma ketua pentadbiran negeri yang bertanggung jawab untuk mengemudikan perjalanan kerajaan negeri, manakala urusan DUN pula adalah di bawah tanggung jawab Speaker. Apabila Menteri Besar bercakap bagi pihak DUN dia kelihatan bertindak secara tidak menghormati perlembagaan dan tidak mempedulikan doktrin pemisahan kuasa antara legislatif dan eksekutif, yang menjadi prinsip demokrasi di negara ini.

Sebagai warga sebuah negara demokrasi kita sangat kecewa dengan gelagat Zambry yang nampak jelas bertindak secara bebal dengan tidak menghormati kuasa Speaker yang masih sah di sisi undang-undang.

Zambry perlu sedar dalam DUN dia cuma ADUN biasa. Kuasa Speaker melebihi kuasa Menteri Besar di dalam DUN dan kuasa Perdana Menteri dalam Parlimen. Speaker boleh menentukan perjalanan DUN mengikut bidang kuasa yang ditetapkan kerana beliau adalah pengerusi yang mengemudikan mesyuarat DUN. Mesyuarat DUN tidak sama dengan Mesyuarat EXCO di mana Menteri Besar adalah Pengerusi Mesyuarat EXCO.

Oleh itu Zambry tidak perlu bercakap lebih-lebih melebihi kuasa yang ada padanya. Apabila berada di dalam kandang harimau mengaumlah, jangan berkokok, nanti semua harimau akan membaham anda! - pendikar gunung kriang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan