HANTU ALTANTUYA MENUNGGU NAJIB DI PENANTI?


   

UMNO tidak pernah mengelak daripada mencetuskan pilihanraya kecil demi mengisi strateji politiknya, kata pengarang Harakah Ahmad Lutfi Otman.

Pada tahun 1997, rakyat terpaksa melalui dua pilihanraya kecil serentak, semata-mata untuk menabalkan Datuk Seri Abu Hassan Omar sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib.

UMNO ketika itu bingkas mengarahkan Abu Hassan mengosongkan kerusi parlimen Kuala Selangor untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang yang turut dikosongkan oleh Jamaluddin Adnan.

Kedua-dua calon itu ketika itu sihat tanpa apa-apa masalah kesihatan, mengapa perlu diadakan pilihanraya kecil kalau bukan untuk memenuhi agenda politik UMNO.

“Mengapa.tidak timbul soal membuang masa dan tenaga, apatah lagi membazirkan dana awam, ketika itu” tanya Lutfi dalam artikelnya.

Lutfi berkata Perdana Menteri Najib Razak sebenarnya khuatir pilihanraya kecil Penanti  akan menambahkan tekanan politik pada UMNO dan diri beliau sekiranya parti itu kalah sekali lagi. 

Berikut artikel penuh Lutfi: 


APRIL 22 – Walaupun baru tidak sampai 20 hari Dato’ Seri Najib Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6, namun sudah banyak petanda awal yang menunjukkan era pemerintahannya belum dapat menggamit keyakinan rakyat.

Retorik perubahan yang diuar-uarkannya nampak dangkal dan bersifat kosmetik, hanya sekadar mahu mengelabui pandangan orang ramai.

Mungkin Najib menjangkakan rakyat mudah tersilau dengan beberapa pengumuman yang dilafazkan di hari pertama menadi PM, seperti membebaskan 13 tahanan ISA, menarik balik penggantungan permit penerbitan Harakah dan Suara Keadilan, selain cebisan tindakan populis mendekati golongan bawahan, seperti ditunjukkan dalam lawatan mengejut ke Jalan Petaling (“China Town”), Kampung Kerinchi (majoriti Melayu) dan Jalan Tun Sambanthan, Brickfields (“Little India”).

Sampai bila dapat bertahan tanpa permaidani merah?

Akhbar harian, seperti biasa, memuja-muji kunjungan Najib yang dibuat tanpa protokol itu: “Tanpa permaidani merah dan tanpa bunga manggar, Perdana Menteri, Najib Razak membuat lawatan mengejut di sekitar ibu negara bagi bertemu dan mengetahui masalah rakyat biasa. Beliau yang memakai baju khaki lengan pendek hijau cair dan seluar khaki coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di kawasan perniagaan di Jalan Petaling, kawasan perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields.”

Ternyata pancingan Najib tidak mengena walaupun “umpan dimakan ikan” apabila calon BN tewas dengan lebih teruk lagi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, lima hari selepas beliau menggantikan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi – yang hanya sempat menerajui kerajaan selama lima tahun lima bulan – berbanding keputusan pilihan raya umum, Mac 2008. Rakyat sukar “disihirkan” lagi, tidak sepertimana pilihan raya umum ke-11 apabila mandat terbesar dalam sejarah diberikan kepada Abdullah yang baru enam bulan menerajui negara, juga dengan pelbagai janji dan jaminan retorik.

Meneruskan tradisi perdana menteri terdahulu, Najib turut mengemukakan slogan untuk memukau rakyat, “Satu Malaysia”, pastinya sebagai percubaan untuk menarik kembali sokongan kepada Umno-BN, yang sejak Mac 2008 mengalami kemerosotan yang cukup ketara. Namun, bagi seorang profesor sains politik, segala “pembaharuan” yang cuba ditonjolkan Najib “serba tidak menjadi”.

“Bagi saya konsep One Malaysia lebih teruk retoriknya, hatta berbanding dengan konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan Abdullah Badawi. Ya, cuba saudara sebutkan dengan saya, apa yang Najib hendak tekankan dalam konsep barunya itu?

“Apa yang barunya dalam nilai-nilai One Malaysia itu, seperti ketabahan, rendah diri, kesetiaan dan sebagainya? Hal-hal seperti itu, bagi saya, tidak perlu diceritakan lagi.

Najib nampaknya terperangkap dalam satu benda yang dia sendiri tak boleh buat demi kepentingan rakyat. Ini semua kerana beliau mendapat salah nasihat,” tegas pensyarah muda yang petah berkata-kata itu.

“Rakyat Malaysia mahu tindakan segera menyelesaikan pelbagai masalah harian yang menyesakkan hidup. Mereka sudah jelak dengan macam-macam slogan yang akhirnya tidak membawa makna apa-apa kepada kehidupan mereka,” tambahnya lagi.

Beliau turut mengkritik Najib yang pada awalnya, seperti ditunjukkan di Petaling Street, tidak mahu disambut dengan perarakan bunga manggar atau permaidani merah, tetapi dalam kunjungannya selepas itu tetap diraikan sebagai pembesar.

“Semuanya retorik kosong sahaja, daripada seorang perdana menteri baru,” ujar profesor sains politik itu lagi.

Kenyataan Najib yang hanya mendedahkan rasa takutnya kepada suara rakyat terbongkar apabila beliau tidak bersetuju pilihan raya kecil diadakan, ekoran perletakan jawatan Adun Penanti, Pulau Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin. Baginya, pilihan raya kecil tanpa didahului oleh kematian wakil rakyat hanya membuang masa, tenaga dan wang rakyat.

Ya, sejak bila pula Umno-BN prihatin dengan dana awam yang dibazirkan melalui pilihan raya kecil? Wow, sejuk hati mendengar pemimpin utamanya mula berbicara soal perbelanjaan berhemat sehingga sanggup tidak mahu turut serta dalam pilihan raya kecil demi menyelamatkan wang pembayar cukai. Bermimpikah kita? Saya teringin juga mendengar pandangan, sahabat lama saya, Dato’ Seri Dr Mohd Khir Toyo mengenai isu pembaziran duit rakyat ini.

Dari segi lain, konsep Satu Malaysia menekankan “Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan”. Soalnya, mengapa Najib terlalu takut untuk berdepan dengan suara rakyat apabila keadaan memaksanya bertindak begitu? Kenapa perlu direka alasan yang tidak masuk akal, yang hanya menyebabkan orang ketawa atau geli hati mendengarnya?

Bukankah menganjurkan pilihan raya kecil itu juga satu amalan lazim demokrasi, yang apabila sampai waktunya pemimpin dan parti politik harus turun mendapat mandat semula daripada rakyat?

“Apakah Najib takut berdepan soalan rakyat yang mahu bukti apakah benar rakyat yang didahulukan?” soal profesor yang ternyata menyimpan banyak persoalan yang belum terjawab.

“Jika Abdullah Badawi salah besar kerana menaikkan harga petrol dahulu, mengapa Najib tidak boleh turunkan sehingga RM1.30 seliter? Mengapa perlu berbulan-bulan untuk mengkaji kadar tol dan pemansuhan ISA? Bukankah itu semua perkara mudah yang boleh diselesaikan dalam tempoh tidak sampai dua minggu?”

Namun, yang lebih menjolok mata, masakan Najib sudah lupa, pada 29 Mei

1997, dua pilihan raya kecil terpaksa diadakan serentak bagi meletakkan Dato’ Seri Abu Hassan Omar, ketika itu Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, sebagai Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib.

Dengan itu Abu Hassan mengosongkan kerusi Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di kerusi Dun Permatang, yang juga dikosongkan Jamaluddin Adnan. Mengapa tidak timbul soal membuang masa dan tenaga, apatah lagi membazirkan dana awam?

Malah, jika diteliti laporan muka depan The Star, 18 April lalu, perbelanjaan SPR mengendalikan lima pilihan raya kecil, di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan pasukan polis (PDRM).

Menurut laporan akhbar berkenaa, semasa pilihan raya kecil Permatang Pauh, SPR membelanjakan RM409,000, manakala pihak polis, RM2.5 juta; di Kuala Terengganu, SPR (RM580,000), polis (RM11.5 juta); di Bukit Gantang, SPR (RM600,000), polis (RM7 juta); di Bukit Selambau, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta); dan Batang Ai, SPR (RM400,000), polis (RM5 juta). Jumlah kesekuruhan, SPR membelanjakan RM2.4 juta, sementara pihak polis, RM31 juta.

Bagaimanapun, sidang Parlimen pada 18 Februari lalu dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Dato’ Chor Chee Heung bahawa polis telah membelanjakan sebanyak RM15.53 juta di Kuala Terengganu, iaitu RM4 juta lebih tinggi daripada anggaran kos dalam jadual di atas.

Ramai pemimpin Pakatan Rakyat mengkritik kehadiran begitu ramai anggota polis, sehingga ada yang menganggarkan jumlahnya melebih 10,000 orang, seolah-olah Kuala Terengganu menjadi zon perang. Di mana saja anda akan bertemu polis dan khemah putih tempat penginapan mereka jelas menarik perhatian masyarakat setempat.

Di Parlimen juga, Chor memaklumkan bahawa perbelanjaan pasukan polis untuk mengawasi pilihan raya kecil Permatang Pauh hanya kurang sedikit daripada Kuala Terengganu. Ini bermakna kos di Permatang Pauh juga sekitar RM15 juta, jauh lebih besar daripada anggaran seperti ditunjukkan dalam jadual.

(Kalau benar kita memerlukan pengawasan daripada pihak polis seramai itu, mungkin kos sebesar itu boleh diterima. Tetapi, semua orang tahu, rakyat kita bukan perusuh atau penjenayah, yang meletakkan undang-undang dalam tangan mereka. Kita tidak memerlukan kawalan ketat sebegitu rupa. Banyak pihak melihat kehadiran pasukan keselamatan itu adalah satu strategi BN (tidak pasti sama ada pendekatan itu akhirnya memakan diri BN sendiri) untuk mencapai kemenangan).

Perbelanjaan itu belum termasuk yang dihanguskan jentera kempen BN, yang bukan sahaja menggunakan peruntukan parti, malah membazirkan bukan sahaja wang rakyat tetapi juga kemudahan dan jentera kerajaan.

Bayangkan berapa ramai menteri yang turun berkempen menggunakan dana awam? Ada kementerian yang mengadakan hari bertemu pelanggan di kawasan pilihan raya, yang langsung tidak ada kena mengena, selain untuk turut berkempen memenangkan BN. RTM yang membuat liputan langsung, misalnya semasa Tun Dr Mahathir Mohamad turun ke Bukit Gantang, tentunya menghabiskan wang yang bukannya sedikit.

Saya pernah mendedahkan ratusan ribu ringgit wang universiti digunakan untuk perbelanjaan pemantau pilihan raya oleh urusetia Hal Ehwal Pelajar  (HEP) bagi mengesan mahasiswa yang berkempen untuk pembangkang, antaranya di Machap, Melaka dan Ijok, Selangor.

Walaupun undang-undang pilihan raya membataskan perbelanjaan kempen setakat RM200,000 untuk pilihan raya kawasan Parlimen dan RM100,000 untuk Adun, tetapi dipercayai jentera BN membelanjakan jauh lebih besar daripada itu.

Lim Kit Siang menganggarkan untuk kempen di Batang Ai sahaja - kawasan yang dijangka BN menang mudah - parti itu membelanjakan kira-kira RM70 juta.

Saya tidak mahu anda terperanjat atau “terkejut beruk” jika kita menjumlahkan semua perbelanjaan BN untuk lima pilihan raya kecil itu. Wang rasuah politik itu sebenarnya datang daripada dana awam juga, yang diperolehi melalui salahguna kuasa dan amalan tumbuk rusuk.

Ringkas cerita, kalaupun Najib takut berdepan kempen di Penanti, iaitu salah satu Dun di bawah Permatang Pauh, kita cadangkan carilah daleh lain, alasan yang boleh diterima akal sedikit.

“Mungkin Najib takut dikejar hantu Altantuya kot? Yalah, Penanti adalah kubu Anwar, takkan Najib nak mengulangi sumpahnya lagi sepertimana yang dibuat semasa kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh dulu,” soal pensyarah sains politik tadi. 

- Harakahdaily-

Tiada ulasan:

Catat Ulasan