PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pertemuan dengan parti-parti politik utama hari ini - secara berasingan - bagi membincangkan pendekatan baru bagi menguruskan perjalanan pilihan raya dengan tenang dan terurus.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, tujuan utama pertemuan itu ialah mendapatkan pandangan dan kerjasama parti-parti politik bagi memastikan pilihan raya dapat dijalankan dengan berhemah.
Antara tiga perkara dijangka disentuh ialah:
- Mengehadkan kehadiran penyokong parti politik ketika hari penamaan calon
- Mengawal kempen selepas berakhirnya tempoh berkempen menjelang hari pengundian
- Menetapkan tempoh bertenang sebelum proses pengundian bermula
Pertemuan itu diadakan secara berasingan sebelah pagi dan petang ini di Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
Pukul 10.30 pagi pertemuan membabitkan Barisan Nasional (BN) yang akan diwakili oleh Umno, MCA, MIC dan Gerakan.
Mulai 2.30 petang pula pertemuan disertai oleh komponen Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP.
"Kami sudah menjemput kesemua parti terbabit untuk hadir dalam perbincangan dan mereka bersetuju mengambil bahagian... surat sudah dikeluarkan kepada Setiausaha Kerja dan Setiausaha Agung parti dan saya tidak pasti siapa yang akan diwakili.
"SPR berharap pemimpin kanan parti akan hadir untuk mengadakan perbincangan," kata Wan Ahmad ketika dihubungi mStar Online.
Katanya, ketiga-tiga perkara berkenaan telah dibincangkan dalam satu mesyuarat peringkat SPR di Kota Kinabalu baru-baru ini.
Mengulas lanjut tujuan pertemuan itu, beliau memberitahu, pihaknya akan membincangkan kaedah untuk mengehadkan kehadiran penyokong ketika hari penamaan calon dan menguatkuasakan peraturan larangan berkempen ketika hari pengundian khususnya sepanjang tempoh dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang.
"Sebenarnya, buat masa sekarang kita ada undang-undang untuk menguatkuasakan tempoh bertenang ini iaitu tidak boleh berkempen sama sekali sebaik sahaja hari berkempen rasmi berakhir 12 tengah malam (menjelang hari pengundian).
"Tetapi sejak kebelakangan ini peraturan ini tidak dipatuhi oleh semua... semua parti yang bertanding kerana ada penyokong mereka berkempen sehingga 5 petang (hari mengundi)," katanya.
SPR menetapkan masa mengundi dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.
"Jadi, kami hendak mendapatkan kerjasama parti-parti politik untuk menguatkuasakan peraturan ini... SPR dan polis tidak mahu mengambil tindakan drastik (walaupun boleh)... kami merasakan berbincang dan mendapatkan kerjasama adalah lebih baik bagi memastikan pilihan raya dapat dikendalikan dengan tenang dan berkesan," katanya.
Malah kata beliau, pada pertemuan hari ini - yang pertama bagi membincangkan tiga aspek berkenaan - SPR juga akan mengutarakan idea agar satu tempoh bertenang selama 24 jam atau dua hari, yang dilaksanakan di beberapa negara lain, untuk dibincangkan bersama.
"Kami hendak mendapatkan input daripada parti-parti politik," katanya.
SPR dijadual mengadakan pertemuan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung tujuan yang sama kemudian.
-mstar.com.my-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan