Mahkamah Tolak Permohonan Musa Hassan dan Gani Patail

Mahkamah Tinggi hari ini menolak dengan kos permohonan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan; Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan kerajaan Malaysia untuk mengetepikan saman RM100 juta terhadap mereka oleh penasihat undang-undang kumpulan Hindraf, P Uthayakumar.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof membuat keputusan itu dalam kamarnya hari ini selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan memerintahkan satu perbicaraan penuh diadakan secepat mungkin.

Uthayakumar diwakili peguam M Manogaran manakala Peguam Kanan Persekutuan, Rozi Bainon mewakili ketiga-tiga defendan.

Manogaran ketika ditanya media apakah alasan mahkamah menolak permohonan itu, berkata: "Hakim perlu mendengar keterangan saksi tentang beberapa perkara berhubung perkara itu (saman) melalui perbicaraan."

Musa, Abdul Gani dan kerajaan Malaysia sebelum ini memohon supaya saman itu ditolak bagi mengelak rasa benci terhadap kerajaan dan mengelak konflik perkauman.

Uthayakumar, yang ditangkap pada 13 Disember tahun lalu dan ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana disyaki terbabit menganjur tunjuk perasaan oleh Hindraf, menyaman ketiga-tiga pihak itu kerana mendakwanya mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Sri Lanka.



http://greenboc.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan