|
Keputusan ini adalah berturut-turut selepas mahkamah memutuskan SPR berkuasa menentukan kekosongan kerusi Dun. Keputusan-keputusan ini menepati telahan beberapa pemerhati politik bahawa institusi mahkamah akan diperalatkan oleh BN untuk merungkaikan krisis Perlembagaan di Perak.
Saya tidak mengatakan mahkamah telah diperalatkan oleh Kerajaan BN, tetapi apa yang diputuskan oleh mahkamah telah merosakkan sistem pengasingan kuasa di dalam negara ini dan membentuk keyakinan rakyat tentang hakikat ini. Mahkamah bukan hanya perlu berlaku adil, tetapi perlu dilihat adil!
Ketika Tun Abdullah Badawi baru menjadi Perdana Menteri dahulu, antara yang terkandung dalam projek integritinya adalah memulihkan imej badan kehakiman. Dilantiknya Datuk Zaid Ibrahim untuk merangka pelan pemulihan ini sehingga �pengakuan� terhadap kesilapan kerajaan dalam pemecatan hakim pada 1989 disahkan melalui pembayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang dipecat.
Selain itu Suruhanjaya Perlantikan Hakim turut diwujudkan. Tetapi, apabila Najib berkuasa, imej kehakiman kembali tercalar dengan campur tangan yang �begitu disyaki� oleh rakyat dalam isu politik di Perak ini.
Tidak sia-sialah kerajaan melantik bekas Timbalan Pengerusi Lembaga Disiplin Umno sebagai Ketua Hakim Negara! Najib memang mewarisi legasi Dr Mahathir yang pernah mengongkong kebebasan mahkamah.
Dari Perlis sampai ke Sabah, Umno bersulam dengan masalah. Di Terengganu yang kaya itu, Adun BN mahu membuat undi tidak percaya terhadap Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Said. Idris Jusoh dan Rosol Wahid masih berminat dengan jawatan itu walaupun istana Terengganu murka dengan mereka.
senyum ahli Umno Sabah
Kedudukan beberapa pemimpin Umno di Selangor, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Melaka mula tergugat. Tetapi yang tersenyum ialah ahli-ahli Umno di Sabah. Apa tidaknya sejak satu kerusi Naib Presiden Umno dimenangi oleh wakil Sabah, mereka mendapat tambahan seorang lagi menteri. Pada zaman Pak Lah dulu, Datuk Anifah Aman kelihatan mengetuai ahli-ahli Umno Sabah melakukan �pemberontakan� terhadap Umno, kini keluarga Datuk Seri Musa Aman menambahkan koleksi menteri di kalangan mereka.
Beberapa negeri yang dikuasai Umno di Semenanjung tidak berpuas hati dengan jumlah menteri dari Sabah itu, tetapi itulah hakikatnya.
Dalam keadaan tersepit seperti ini, Umno tidak mempunyai pilihan melainkan membangkitkan semula isu-isu perkauman Melayu. Utusan Malaysia segera membangkitkan isu perkauman yang sempit. Beberapa bulan sebelum ini mereka membesar-besarkan isu kononnya Pakatan Rakyat menderhakai Sultan Perak, kemudian memutarbelitkan isu pemberian tanah kepada orang-orang Cina. Hatta, apabila pemimpin DAP berhujah dengan al-Quran pun, dijadikan isu juga. Tujuannya hanya satu, untuk membakar api perkauman orang-orang Melayu.
Kita jangan lupa siapakah dahulu yang menyeru orang-orang Melayu berhimpun di Stadium Jalan Raja Muda dengan membawa senjata walaupun sebatang mancis. Bukanlah Ketua Pemuda Umno ketika itu mahu �membakar� kepentingan orang-orang Cina, sehingga berpuluh-puluh pemimpin pembangkang di-ISA-kan, termasuk Ibrahim Ali dan saya sendiri. Ketua Pemuda Umno itu kini sudah menduduki Seri Perdana dan dia nampaknya mahu membakar semula api perkauman ini.
Strategi subversif yang bersifat perkauman seperti ini sudah tidak relevan lagi hari ini. 60 tahun dahulu PAS telah memberitahu Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak (bapa Najib) bahawa kerakyatan jangan secara jus soli, tetapi mereka berkeras juga. Hari ini orang Cina dan India sudah menjadi warganegara yang sah. Dan kita mesti mengiktiraf hak-hak mereka sebagai warganegara, walaupun hak istimewa orang Melayu tetap perlu dipertahankan.
Tetapi mengapa pada zaman Najib ini, isu perkauman mahu dibakar semula secara sempit, tetapi berselindung di sebalik slogan �One Malaysia�. Utusan Malaysia tidak akan membicara soal ketuanan Melayu jika tidak disuruh oleh Umno. Tetapi Umno mahu menjerat orang Melayu bahawa mereka akan terpinggir jika menolak Umno, atau setidak-tidaknya Kerajaan BN mempunyai ruang untuk menjalankan semula Operasi Nyah 2 jika isu perkauman ini disambut oleh pembangkang.
Rakyat sudah sedar sebenarnya bahawa Umno sudah kehilangan locus standi untuk bercakap soal Melayu. Bukankah Umno yang menghancurkan segala kepentingan bangsa Umno. Bukan DAP, MCA atau MIC yang meragutnya, bukan juga PAS, PKR atau Semangat 46 yang menjualnya. Tetapi Umno sendiri yang menggadainya satu persatu.
Umno hari ini sudah kehabisan senjata. Mereka tidak boleh lagi bercakap soal pembangunan kerana negeri-negeri yang dikuasai Umno lebih 50 tahun pun kekal mundur dan miskin jua. Mereka juga tidak boleh lagi bersuara tentang integriti kerana Umno adalah juara politik wang, rasuah dan penyelewengan. Hanya satu senjata yang masih boleh diguna untuk menarik semula orang-orang Melayu... perkauman!
Umno hanya ada perkauman sahaja. Hanya perkauman yang masih relevan bagi Umno. Tanpa senjata perkauman Umno akan hancur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan